May 18, 2011

Rintihan, hembusan dari lokap Mona


RAUB: Suara rintihan pada lewat tengah malam, hembusan nafas di tengkuk yang meremangkan bulu roma dan perasaan seperti diperhatikan seseorang, antara pengalaman seram ditempuhi anggota polis bertugas di lokap yang pernah menempatkan Mona Fandey bersama suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Hussin, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Suasana menyeramkan itu berlaku selepas ketiga-tiga mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2 November 2001 selepas didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 13 Julai 1993.

Selepas hampir 10 tahun kejadian menyeramkan itu ‘disimpan’ anggota balai berkenaan, baru sekarang ia didedahkan kepada umum dan orang ramai boleh menempuh sendiri pengalaman aneh itu apabila lokap berkenaan bakal dijadikan destinasi pelancongan dalam ‘Pakej Lawatan Berhantu’ yang dipromosikan Tourism Malaysia Pahang.

NGERI...lokap dan kawasan lokap di IPD Raub yang menempatkan Mona dan suaminya.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, cadangan memasukkan lokap berkenaan dalam Pakej Lawatan Berhantu disuarakan sendiri polis pada mesyuarat bersama agensi kerajaan di Raub baru-baru ini, sebagai satu lagi tarikan ke daerah berkenaan, selain keindahan semula jadi dan bangunan zaman kolonial yang masih terpelihara.

Menurutnya, lawatan berhantu terlebih dulu popular di luar negara sebelum fenomena itu menular ke Malaysia lebih lima tahun lalu sehingga banyak pengamal paranormal menawarkan aktiviti sedemikian.

myMetro
18 Mei 2011


Anak cabar tangkap hantu

PASIR MAS: “Saya cabar sesiapa yang mendakwa melihat atau berdepan pengalaman menakutkan membabitkan Mona Fandey atau ayah saya, datang bertemu saya. Tangkap hantu yang dikatakan Mona Fandey itu dan tunjukkan kepada saya.

“Rumah saya sentiasa terbuka 24 jam untuk sesiapa saja yang tidak berpuas hati atau mendakwa mendengar hal yang tidak elok berkaitan arwah. Sila berdepan dengan saya untuk mendapatkan penjelasan,” kata anak sulung perkahwinan pertama Mohd Affandi Abdul Rahman, Irwan Mohd Affandi, 34.

Irwan berkata, demikian mengulas laporan akhbar ini yang menyiarkan mengenai pengalaman seram ditempuhi anggota polis bertugas di lokap yang pernah menempatkan Mona Fandey bersama bapanya dan pembantu mereka, Juraimi Hussin, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan suasana menyeramkan itu berlaku selepas ketiga-tiga mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2 November 2001 apabila didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris, pada 13 Julai 1993.

Menurut Irwan, dia meminta supaya dihentikan kisah berkaitan ibu bapanya itu kerana mereka sudah lama tiada.

myMetro
20 Mei 2011



‘Ngangkung’ tepi rumah terbiar

Raub: Kes pembunuhan kejam itu berlaku 20 tahun lalu, tetapi keghairahan untuk cepat kaya menyebabkan segelintir individu sanggup ‘berkampung’ di rumah lama Mona Fandey di Kampung Peruas, Ulu Dong, di sini, semata-mata untuk mengamalkan amalan khurafat ‘menurun’ atau ‘ngangkung’ nombor ekor.

Mona atau nama sebenarnya, Maznah Ismail, 46, bersama suami, Mohd Affandi Abdul Rahman, 45, dan pembantu mereka, Juraimi Husin, 32, didakwa membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris di rumah berkenaan pada 1993.

Perkara itu didedahkan seorang pemuda dikenali sebagai Azli, 38, dari kampung berhampiran yang mendakwa pernah menyaksikan sekumpulan pemuda pergi ke rumah berkenaan kononnya untuk mendapat ‘petunjuk’ nombor ekor, sekali gus berpeluang meraih hadiah utama mencecah puluhan ribu ringgit.

Azli berkata, dia pernah bertemu seorang kaki nombor ekor dan bertanya mengapa perlu melakukan upacara karut itu di situ, dan jawapan diterimanya ialah, ‘memuja’ Mona lebih membuahkan hasil bagi mendapatkan nombor dihajati.

“Itu yang mereka percaya, jika menurun nombor ekor di situ, lebih mujarab. Mungkin disebabkan latar belakang Mona yang juga bomoh dan kes pembunuhannya tidak lama dulu.

myMetro 27 Jan 2013



Sanggup beri RM500 nak tahu kubur

Kajang: “Ada yang sanggup beri saya wang RM500 hingga RM600 semata-mata nak tahu yang mana satu kubur Mona Fandey. Nak ‘menurun’ nombor ekorlah tu,” kata penggali kubur Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, Azizi Jamil, 49.

Menceritakan pengalamannya, Azizi berkata, selama 13 tahun bekerja di tanah perkuburan itu, dia bertemu pelbagai jenis orang, terutama yang ingin melakukan perbuatan syirik iaitu ‘menurun’ nombor ekor di kubur Mona.

Begitupun, katanya, dia tidak pernah menunjukkan kubur wanita berkenaan jika tidak tahu dengan jelas latar belakang mereka atau bukan saudara Mona.

“Selalunya mereka datang jam 8 atau 9 pagi dan bertanya kubur Mona. Namun saya tak beritahu kedudukannya selagi mereka tidak berterus-terang mengenai tujuan atau siapa mereka.

“Apabila disoal sedemikian, mereka tergagap-gagap untuk menjawab. Lantas saya minta mereka pulang dan tidak memberitahu di mana kubur pasangan berkenaan, kecuali kepada waris mereka,” katanya.

Azizi berkata, kegiatan syirik itu bermula sejak tempoh 40 hari pengebumian Mona pada 2001 dan hingga ke hari ini masih ada yang datang bagi tujuan sama.

Katanya, baru-baru ini seseorang datang ke situ dan mengaku keluarga terdekat Mona serta mendakwa dirinya bomoh.

“Bila saya tanya mengenai Mona, dia seakan-akan cukup mengenali wanita berkenaan, dia juga kata dia bomoh dan ada hajat nak melawat kubur Mona.

“Ada sekali saya perhatikan dia memasukkan sesuatu ke kubur Mona, lepas tu sebelah malam dia ambil semula. Susah jika hal ini berlaku, tapi saya hanya penggali kubur di sini, apa saya boleh buat untuk halang mereka,” katanya sambil memberitahu, kali terakhir individu berkenaan berkunjung ke kubu Mona hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, setiap bulan, kira-kira dua hingga tiga kali dia pasti didatangi individu tidak dikenali untuk bertanyakan kubur Mona, dan ada yang tanpa segan silu berterus-terang mahu menurun nombor ekor di situ.

“Terakhir pada bulan lalu, seorang lelaki mengaku dia adik angkat Mona dan ingin menziarahi kuburnya. Dia sanggup menemui saya setiap hari, belanja saya rokok dan minum.

“Kerana bosan melayan kerenah lelaki itu, saya tipu dia dan tunjukkan kubur lama. Keesokannya saya ternampak kesan tanah baru digali, lilin, juga kertas yang tertulis angka kosong hingga sembilan berdekatan kubur palsu itu,” katanya.

Menurut Azizi, bukan saja kubur Mona menjadi pilihan perbuatan berdosa, malah ada individu sanggup menggunakan tanah kubur orang lain untuk melakukan perbuatan syirik seperti menanam gambar perempuan bersama jarum di pusara berdekatan.

Dia kecewa ada individu tidak bertanggungjawab cuba melakukan perkara itu, lebih-lebih lagi di tanah perkuburan, dan yang pasti ia akan mendatangkan aib kepada keluarga si mati.

Menurut Azizi, ahli keluarga Mona menziarahi pusaranya sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad mendapati kubur berkenaan ditanda dengan objek tertentu, dipercayai dilakukan ahli keluarganya, bagi memudahkan mereka melawat.

Bagaimanapun, maklumat lanjut dan gambar jelas kubur itu tidak dapat disiarkan bagi menghalang perbuatan syirik di kalangan masyarakat.

myMetro 27 Jan 2013



Tapak rumah timbul misteri

Kuantan: Jika lokasi pembunuhan dan kubur Mona Fandey dijadikan lokasi pemujaan nombor ekor, tapak rumah yang pernah diduduki Allahyarham di Tanjung Lumpur, di sini, pula dikaitkan dengan beberapa kejadian misteri.

Seorang wanita dikenali sebagai Ma berusia 50 tahun yang tinggal berhampiran tapak rumah itu mendakwa, selepas rumah diduduki Mona dirobohkan dan kenderaan berwarna hitam wanita itu dilupuskan penduduk kampung, pelbagai peristiwa aneh serta seram berlaku di sebatang pokok besar berhampiran rumah berkenaan.

“Beberapa penduduk yang sering melalui jalan itu mendakwa melihat kelibat seorang wanita melintas setiap kali hujan renyai, selain kerap diganggu sekumpulan kera berwajah pelik,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Mengimbas kisah silam itu, Ma berkata, pada mulanya dia menyangka penduduk kampung hanya mahu bergurau dengan mereka cerita seram kerana ingin melihat sama ada mereka berani atau tidak melalui laluan tanah merah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, semua peristiwa seram itu bukan rekaan apabila anak lelakinya berusia 18 tahun pernah diganggu sekumpulan kera yang tiba-tiba muncul ketika berjalan pulang ke rumah pada jam 12 tengah malam.

Katanya, terkejut dengan gangguan binatang yang dianggap misteri itu, anaknya berlari sekuat hati selepas kumpulan binatang liar berkenaan semakin agresif.

“Saya memang tak percaya dengan semua itu, tapi selepas anak menjadi mangsa, baru saya sedar ada sesuatu yang tidak kena pada pokok besar berkenaan, menyebabkan kami sekeluarga berwaspada ketika melalui laluan itu.

“Kini, semua kejadian pelik serta aneh berkurangan, namun pokok besar itu masih wujud di tepi jalan tetapi hanya tinggal ranting, manakala daunnya berubah menjadi kering,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah melihat Mona secara bertentang mata, Ma berkata, hanya sekali dia melihat wanita itu dan ia berlaku secara kebetulan apabila Mona memberi itik peliharaannya makan pada tengah malam.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Nor, 50, berkata, Mona sebenarnya hanya menumpang tinggal sementara di rumah berhampiran pokok besar itu selepas berpindah dari rumah sewa di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Lumpur, selain berkawan rapat dengan anak lelaki tuan rumah dikenali sebagai Pak Awang Dodol.

“Selepas Pak Awang Dodol meninggal dunia, Mona meninggalkan rumah berkenaan, termasuk membiarkan kereta berwarna hitam miliknya di depan rumah itu.

“Memang benar pokok besar itu ada sedikit gangguan selepas pemergian Mona, tapi syukur Alhamdulillah gangguan itu tidak terjadi pada keluarga saya walaupun setiap hari melalui laluan berkenaan untuk ke jalan utama,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad ke lokasi rumah yang didakwa pernah disewa Mona di belakang SK Tanjung Lumpur mendapati ia dirobohkan penduduk kampung kerana menjadi sarang penagih dadah.

Yang anehnya, walaupun rumah itu dirobohkan, sebatang pokok tanpa daun dibiarkan begitu saja dan difahamkan, ia pernah dijadikan tangga untuk naik ke rumah Mona.

myMetro 27 Jan 2013



‘Menurun nombor ekor perbuatan syirik’

Kuala Lumpur: Perbuatan menurun nombor ekor dengan mengunjungi tempat atau kubur yang dikatakan ‘keras’ adalah syirik, iaitu mempercayai kuasa selain Allah untuk mendapatkan sesuatu.

Penceramah bebas, Zawiyah Hassan berkata, perbuatan itu dikategorikan syirik besar dan ditekankan Allah dalam al-Quran bahawa dosa syirik dilakukan umat Islam tidak mendapat pengampunan daripada-Nya, sekali gus membuktikan besarnya kesalahan menduakan Allah.

“Seharusnya kaki nombor ekor insaf melakukan aktiviti menurun, sebaliknya menggunakan tulang empat kerat dianugerahkan Allah untuk mencari rezeki halal dan berkat bagi menampung kehidupan sendiri dan keluarga.

“Setiap titik peluh dikira sebagai pahala berbanding melakukan perkara syirik yang mendatangkan pulangan haram, sekali gus menjauhkan diri daripada Allah.

“Sememangnya sepanjang hayat Mona Fandey dikenali dengan perbuatannya, tetapi kita yang masih hidup tidak tahu hubungannya dengan Allah.

“Mungkin dia bertaubat sebelum menghembuskan nafas terakhir, jadi kita sebagai manusia tidak berhak menghukum orang lain,” katanya ketika dihubungi.

Zawiyah berkata demikian ketika mengulas tindakan individu kaki judi nombor ekor melakukan perbuatan syirik di kubur dan lokasi pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 1993.

Katanya, urusan arwah di dunia sudah berakhir, seharusnya kaki nombor ekor tidak melakukan perkara tidak elok di pusara Mona, sekali gus menghiris hati ahli keluarganya yang masih hidup.

myMetro 27 Jan 2013



0 comments:

Post a Comment