May 11, 2011

Kerani hospital maut rempuh lori buat pusingan U

TAPAH: Seorang kerani wanita terbunuh apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori di KM1 Jalan Tapah-Changkat Petai di sini hari ini.

Noor Fadilah Mohamed Isa, 27, dari Tapah Road, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad, berkata ketika kejadian pada 6.40 pagi itu, Noor Fadilah yang memandu Perodua Viva ke tempat kerja di Hospital Slim River.

"Kereta yang dipandu mangsa merempuh belakang lori di hadapannya yang tiba-tiba membuat pusingan U," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Roslan berkata polis menahan lima pengusaha premis berusia dalam lingkungan 40-an dalam serbuan ke empat premis judi komputer haram di pekan Bidor semalam.

Turut ditahan dalam serbuan yang berakhir malam tadi itu ialah 14 lelaki berusia antara 21 dan 57 tahun kerana terbabit dalam kegiatan judi haram di premis berkenaan.

"Polis turut merampas 54 komputer dalam premis berkenaan," katanya. - BERNAMA

11 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment