May 11, 2011

Tembak isteri miang

SIASAT...anggota forensik menemui kelongsong peluru di tempat kejadian.

KINARUT: Berang melihat isteri kesayangan bermesra dengan lelaki lain, seorang anggota polis yang baru selesai menjalankan tugas bertindak di luar dugaan apabila melepaskan tembakan terhadap pasangan terbabit, semalam.

Anggota polis berpangkat koperal itu yang sedang menunggang motosikal dikatakan terkejut apabila melihat kelibat isterinya bersama seorang lelaki di dalam Proton Waja berhampiran rumahnya di Jalan Papar Lama, di sini, kira-kira jam 7 pagi.

Isteri polis terbabit cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan, namun dikejar suaminya sambil mengarahkannya memberhentikan kenderaan.

Bagaimanapun, isteri itu tetap memecut keretanya dan dalam keadaan kelam-kabut itu, suaminya melepaskan beberapa das tembakan, namun tidak mengenainya.

SEMBUNYI...isteri suspek dan kekasihnya dibawa menaiki kenderaan polis ke tempat kejadian.

Tindakan luar dugaan suaminya itu menyebabkan si isteri terus memecut kenderaan ke Balai Polis Kinarut dan membuat laporan polis.

myMetro
11 Mei 2011


Polis berang tembak kereta isteri bawa kekasih

KOTA KINABALU: Akibat terlalu marah selepas melihat isterinya menaiki kereta dengan seorang lelaki, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan ke arah kereta berkenaan, di Kilometer 25, Jalan Kota Kinabalu-Papar, di Kinarut, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, anggota polis berpangkat lans koperal berusia 30-an itu dipercayai melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol dan mengenai badan kereta itu.

Bagaimanapun, isterinya berusia lewat 20-an dan lelaki, dipercayai teman lelaki isterinya yang juga anggota PGA bertugas di Tawau tidak cedera.

Sebelum kejadian, suspek dipercayai menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari Markas PGA di Kinarut selepas selesai bertugas syif malam.

Ketika melalui jalan berkenaan, suspek dipercayai terserempak dengan isterinya yang memandu kereta Proton Waja bersama lelaki terbabit yang duduk di tempat duduk bahagian depan.

Suspek kemudian membuat pusingan ‘U’ dan mengejar kereta berkenaan sebelum dipercayai mengarahkan isterinya memberhentikan kereta.

Bagaimanapun, isteri suspek memecut kereta ke arah bandar raya ini, menyebabkan suspek berang lalu mengejarnya sebelum dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan.

Isterinya kemudian memandu ke Balai Polis Kinarut, sebelum membuat laporan polis. Tidak lama selepas itu, suspek turut tiba di balai polis berkenaan untuk membuat laporan polis sebelum menyerah diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata polis merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan suspek untuk melepaskan tembakan dan menahan suspek.

Berita Harian
11 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment