May 21, 2011

Bayi derita kaki bengkok

BALING - Derita seorang bayi yang baru berumur tiga bulan, Mohd Aiman Mohd Faizal yang mempunyai masalah kaki bengkok sejak dilahirkan mendapat perhatian Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Bayi kepada pasangan Mohd Faizal Ismail, 35, dan Suhaini Yusof, 35, kini terpaksa memakai simen pada kedua-dua bahagian kakinya untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.

Mohd Faizal berkata, simen yang membaluti kedua-dua kaki anaknya akan ditukar setiap minggu di Hospital Sungai Petani.

“Pada awalnya anak saya akan menangis setiap kali simen ditukar berikutan tidak biasa dengan keadaan itu. Memang sebak melihat keadaannya, tapi apakan daya saya,” katanya.

Menurutnya, pemakaian simen itu adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Doktor pakar dari Sungai Petani menyarankan agar kaki anak saya ini dipakaikan dengan kasut khas untuk memulihkan semula kakinya.

"Namun, disebabkan kekangan wang, saya terpaksa membatalkan hasrat untuk membeli kasut tersebut yang bernilai RM 600 untuk sepasang,” katanya.

Mohd Faizal yang hanya bekerja kampung itu mengatakan pendapatan bulanannya tidak mampu menampung kos pembelian kasut khas itu.

“Pendapatan bulanan saya kira-kira RM 500 sebulan. Lepas tolak sewa rumah, keperluan harian, ia tidak mencukupi. Selain itu, saya turut mempunyai seorang lagi tanggungan iaitu kakak kepada Aiman yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masalah anaknya itu dikesan sebelum kelahirannya lagi.

“Menurut doktor, anak saya lahir tidak cukup bulan. Namun, apa yang saya mampu buat. Saya hanya berserah dan redha dengan apa yang berlaku.

“Namun, saya bersyukur kerana Aiman tidak mempunyai masalah lain selain daripada kecacatan kakinya,” katanya.

Abdul Azeez juga akan merujuk masalah itu kepada Yayasan Pembangunan Baling seterusnya memberikan bantuan setimpal.

Beliau turut menyampaikan wang tunai kepada bayi itu seterusnya membantu mendapatkan kasut khas diperlukan.

“Kita akan cuba bantu sebaik yang mungkin untuk adik Aiman agar dia dapat menjalani kehidupan seperti anak yang lain,” katanya.

Sinar Harian
21 mei 2011


YPRB bantu bayi berkaki bengkok

BALING 26 Mei – Nasib seorang bayi yang memerlukan kasut khas berikutan kakinya yang bengkok mendapat perhatian Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB).

Bayi berkenaan, Mohamad Aiman Mohd. Faizal yang berusia tiga bulan mengalami kecacatan tersebut di kedua-dua belah kakinya sejak lahir.

Ekoran itu, dia terpaksa memakai balutan simen setiap hari yang perlu ditukar setiap minggu.

Pengerusi YPRB, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menanggung kos pembelian kasut khas itu yang bernilai RM600 atas dasar simpati dan keprihatinan yayasan itu terhadap bayi berkenaan.

“Kasut itu penting sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh pakar perubatan,” katanya selepas melawat bayi itu dan keluarganya di Kampung Seberang Pekan, di sini hari ini.

Ibu bayi berkenaan, Suhaini Yusof, 33, berkata, anak keduanya itu kini perlu menjalani rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Katanya, rawatan susulan pakar perubatan itu adalah bagi memastikan keadaan kakinya kembali normal.

Utusan
26 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment