May 11, 2011

Anak trauma lihat bapa mati

BEGINILAH keadaan lori yang terbalik hingga mengakibatkan Zuraimi menemui ajal di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut semalam.

BESUT – Dua beradik mungkin mengalami trauma seumur hidup selepas menyaksikan bagaimana bapa yang disayangi menemui ajal dalam keadaan tragis apabila dihempap sebuah lori membawa muatan kayu dalam kejadian di Kampung Batu 13, Hulu Besut dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8 malam itu berlaku di hadapan mata Mohd. Ikmal Hakim Zuraimi, 7, dan adiknya, Amirul Hamdi, 5, yang ketika itu mengikut bapa mereka, Zuraimi Jusoh , 40, menaiki lori tersebut untuk menghantar bekalan kayu ke sebuah kilang yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas lori yang dipandu Zuraimi gagal mendaki jalan berbukit. Lebih malang apabila brek kenderaan itu rosak menyebabkan ia gagal dikawal dan lori itu menuruni bukit dengan laju secara mengundur.

Kosmo
11 Mei 2011


‘Ayah, jangan tinggal Hakim’


JERTIH: “Ayah jangan tinggal Hakim, Ya Allah selamatkan ayahku,” begitu kata Mohd Ikmal Hakim, 7, ketika menyaksikan saat kematian bapa tersayang akibat dihempap lori yang dipandunya, malam kelmarin.

Bapanya, Zuraimi Jusoh, 34, meninggal dunia akibat parah di dada selepas kepala lori dipandunya yang membawa muatan kayu terbalik sebelum menghempapnya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa memandu lori terbabit sambil ditemani dua anak, Mohd Ikmal Hakim dan Amirul Hamdi, 5, yang duduk di bahagian depan sebelah pemandu.

Zuraimi dalam perjalanan menghantar kayu ke sebuah kilang papan di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

NGERI...keadaan lori dipandu Zuraimi (gambar kecil) terbalik ketika mendaki bukit di Kampung Batu 13, Hulu Besut, kelmarin.

Mohd Ikmal Hakim berkata, ketika mendaki bukit kira-kira 100 meter saja lagi untuk tiba di kilang berkenaan, lori itu tiba-tiba menggelungsur ke belakang dan cubaan ayahnya mengawal kenderaan gagal.

Menurutnya, lori itu menggelungsur sejauh 50 meter sebelum terlanggar bonggol kecil lalu terbalik.

“Dalam keadaan cemas itu, ayah cuba menyelamatkan kami berdua daripada tercampak keluar tetapi ayah yang terpelanting dari tempat duduk pemandu.

“Kami turut tercampak keluar daripada lori itu tetapi bersyukur kerana tidak cedera. Namun, kami sedih melihat ayah berlumuran darah dan tidak sedarkan diri akibat dihempap kepala lori dipandunya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lapan Kotak, semalam.

Mohd Ikmal Hakim berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu bapanya kecuali menangis sebelum ditenangkan orang ramai yang datang memberikan bantuan.

MOHD IKMAL...selamat

Sementara itu, saksi kejadian, Azmi Shaari, 34, berkata, dia sedang menonton televisyen di rumahnya tidak jauh dari lokasi kemalangan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

“Saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan sebaik tiba di tempat kejadian, ternampak dua kanak-kanak menangis sambil meminta tolong menyelamatkan bapa mereka yang tersepit di bawah kepala lori yang terbalik,” katanya.

Menurutnya, dia dan beberapa penduduk kampung membantu mengeluarkan mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Besut, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah mangsa yang juga bapa kepada lima anak berusia tiga hingga 11 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lapan Kotak, kira-kira jam 11 pagi semalam.

myMetro
11 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment