April 19, 2011

Warga asing guna taktik kemalangan untuk samun diberkas

KUALA LUMPUR - Taktik sekumpulan warga asing yang melakukan samun dengan berlakon “dilanggar” kenderaan terbongkar dengan penangkapan empat lelaki di sebuah rumah di Kampung Pandan, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, mereka yang dipercayai warga India berumur antara 23 dan 27 tahun ditahan selepas ”mementaskan lakonan” di Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) kira-kira pukul 11 malam Sabtu lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohan Singh berkata, mangsa mereka ialah seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai chef di sebuah hotel yang dalam perjalanan ke rumah abangnya di Wangsa Melawati.

Ketika sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapan kereta mangsa dan terjatuh seolah-olah dilanggar keretanya, menyebabkan beliau berhenti dan keluar dari kereta untuk membawa lelaki itu ke hospital.

Bagaimanapun, rakan ”mangsa kemalangan” yang berada di situ meminta mangsa menghantar mereka ke rumahnya di Kampung Pandan, dan apabila tiba di rumah tersebut mangsa telah diikat tangannya dan mulut dilekat dengan pita oleh empat lagi rakan mereka yang ada di rumah terbabit. - Bernama

19 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment