April 17, 2011

Tujuh pendaki selamat sampai


KUALA LUMPUR: Pendaki negara yang terbabit dalam Ekspedisi Misi Perdana de’ Everest-Tibet 2011 selamat tiba di tapak perkhemahan Chinese Base Camp, Tibet, China, jam 1 tengah hari (waktu Malaysia), Rabu lalu.

Seramai tujuh pendaki diketuai bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus, 69, menempuh perjalanan empat jam dari Tinggri, Tibet ke tapak perkhemahan terbabit.

Khalid berkata, mereka akan bertolak ke tapak perkhemahan seterusnya, iaitu Interim Base Camp esok dan akan cuba menyesuaikan diri dengan ketinggian melebihi 5,000 meter.

“Perjalanan dari kem terakhir, Tinggri sehingga ke Chinese Base Camp berjalan lancar walaupun kami terpaksa menempuhi pos askar dan pihak berkuasa tempatan yang sangat tegas memeriksa dokumen perjalanan serta permit kami,” katanya.

Dalam misi berkenaan, selain Khalid, pendaki lain ialah Roslizawati Rasidi, 28; Muhammad Illaham Ishak, 35; Mohd Dendera Billah Zamzuri, 31; Zainul Fikri Mohd Idris, 32; Shahrul Azuan Shahruddin, 31, dan Mohamad Shaheir Sabaruddin, 28.

Selain tujuh pendaki utama itu, misi berkenaan disertai lima kru sokongan dan satu wakil media yang dijadualkan berlepas dari Nepal 5 April lalu sebelum berangkat ke Tibet empat hari selepas itu untuk memulakan pendakian.

Sebelum misi ini, kumpulan pendaki mendaki Gunung Kilimanjaro, Tanzania, malah untuk dua tahun pertama, pasukan itu mendaki beberapa gunung di dalam negara selain regim latihan ketat untuk memastikan tahap kecergasan dalam keadaan terbaik.

myMetro
17 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment