BOTA: Siapa sangka, daripada hanya guru biasa di sekolah luar bandar, seorang wanita tempatan meraih populariti lebih sejuta pengunjung laman web sosial dari seluruh dunia melalui klip video miming ‘gila-gila’ yang diciptanya.
Terbaru, lakonan nyanyian miming bersama solekan ekspresi muka melalui lagu ‘Kalau Berpacaran’ nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali berjaya membuatkan nama Cikgu Syida semakin diminati di kalangan pelayar Internet.
Cikgu Syida atau nama sebenarnya Roshida Abd Aziz, 30-an, berkata minatnya bermula dengan niat suka-suka berbekalkan kamera dan komputer yang dibeli 10 tahun lalu.
“Semuanya bermula apabila timbul hasrat membuat miming lagu ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Rahimah Rahim pada Ramadan tahun lalu sebelum klip video itu dimuat turun melalui laman web Youtube.
“Namun percubaan itu dibalas dengan kata-kata cerca dan hinaan. Lebih teruk, ada yang menuduh saya gila dan sakit mental kerana menghasilkan klip video itu,” kata guru Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang di Bota Kiri, di sini, ketika ditemui Metro Ahad.
SPONTAN... Cikgu Shida menjiwai watak.
Menurutnya, kata-kata kesat terbabit bukan hanya dilontarkan oleh kenalan dan rakan, malah turut dikirim puluhan pelayar di Internet.
“Namun semua itu tidak melemahkan semangat saya untuk memberi dan mencari hiburan tersendiri di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Internet,” kata guru Bahasa Inggeris itu.
Menceritakan pengalaman klip video pertamanya, dia mendakwa pernah merah muka dan menahan malu apabila rakaman itu dimuat turun daripada Internet dan ditayangkan ketika majlis alumni sekolah, hari raya lalu.
“Pada masa itu saya fikir nak sorok muka bawah meja kerana terlalu malu dan bimbang dikutuk rakan.
“Namun ia bertukar gembira apabila rakan memberi tepukan gemuruh dan kata-kata perangsang untuk meneruskan hobi itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Parit, di sini.
Anak kedua daripada lima beradik itu juga berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan minatnya kerana sudah ‘masak’ dan faham perangai gila-gilanya.
“Rakan sejawat turut faham minat dan kecenderungan saya yang gemar mencuba dan mencari kelainan. Saya anggap ia satu hiburan bagi membuat orang tertarik dan tersenyum,” katanya.
Dia yang juga anak perempuan tunggal pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, berkata membesar dalam lingkungan adik beradik lelaki menyebabkan jiwanya lebih kental dan mampu menyerap tekanan.
“Saya seronok melihat diri sendiri beraksi dengan pelbagai gaya muka, ditambah dengan solekan dan alatan tambahan seperti songkok dan baju Melayu yang dipinjam daripada adik-beradik lain.
“Niat saya bukan untuk menarik publisiti murahan tapi lebih kepada memberi hiburan kepada orang ramai melalui kelainan tersendiri,” katanya.
Ternyata percubaan luar biasa itu melonjakkan namanya sebagai ‘artis’ baru paling terkenal di Internet dan berjaya menarik pengunjung dalam dan luar negara.
“Yang saya tahu, sejuta pelayar Internet melihat klip video saya yang mula dimuat turun empat bulan lalu.
“Malah, klip video miming saya itu turut menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan termasuk dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia melalui ‘Fan Page’ (laman peminat) yang dibina dua bulan lalu,” katanya.
Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza menjemputnya sebagai tetamu khas dalam program bersama syarikat penyiaran Astro baru-baru ini.
Malah, rezekinya juga melimpah ruah apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah telemovie selain menjadi pelakon iklan.
“Saya juga ditawarkan menulis di dalam sebuah majalah humor. Walaupun begitu, kerjaya pendidik adalah keutamaan dan sebati dalam jiwa saya.
“Walau dianggap popular sekalipun, saya tetap akan ke sekolah dan menabur bakti sebagai guru kepada anak bangsa,” katanya.
myMetro
17 Apr 2011
Tak langgar etika perguruan
KUALA LUMPUR: “Selagi tidak melanggar etika perguruan dan mengabaikan pekerjaannya, dia boleh melakukan apa saja kerana itu haknya.
“Bagi saya, tindakannya tidak salah kerana dia tidak mengganggu individu lain, sebaliknya hanya mencari hiburan sendiri,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan ketika diminta mengulas penghasilan klip video miming Cikgu Syida.
Menurutnya, dia tidak melihat apa dilakukan guru itu boleh merosakkan profesyen guru, sebaliknya ia adalah perkembangan sihat.
Katanya, jika dilihat daripada sudut positif, ia menunjukkan daya kreativiti guru berkenaan kerana mampu melakonkan pelbagai aksi di depan kamera mengikut kesesuaian lagu.
“Meraih populariti sejuta pengunjung adalah luar biasa bagi individu biasa dan secara tidak langsung membuktikan guru zaman kini serba boleh.
“Walaupun buat masa kini dia lebih terarah menghasilkan klip video berbentuk hiburan, mungkin satu hari nanti dia mampu merakam video yang mempunyai unsur ‘edutainment’,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Katanya, melihat populariti diterimanya, dia percaya guru berkenaan ada peminat sendiri dan ia mungkin boleh dijadikan ruang untuk menerapkan elemen positif melalui penghasilan klip videonya.
Hashim berkata, laman Youtube mampu dilayari sesiapa saja dari seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus menaikkan institusi perguruan.
“Walaupun ada pihak berpendapat tindakan itu (penghasilan klip video) memburukkan nama guru, NUTP tidak melihat ia sebagai sesuatu yang salah dan tidak ada rasionalnya mengenakan tindakan terhadap Cikgu Syida.
“Sebaliknya, ia lebih kepada kebebasan individu untuk mencari hiburan sendiri dan pada masa sama berkongsi minat itu bersama orang luar,” kat
myMetro
17 Apr 2011
Adik terkejut
IPOH: “Dia pinjam baju Melayu dan songkok saya tanpa pengetahuan. Saya hanya menyedarinya apabila melihat aksi kakak saya di laman sosial Youtube,” kata adik Roshida Abd Aziz, Khairil Aizat, 22.
Menurutnya, dia dan keluarga langsung tidak tahu ‘aktiviti sampingan’ Roshida sehingga diberitahu rakan baiknya.
“Pertama kali melihat aksinya menyanyi lagu miming di laman web Youtube, saya terpegun dan terkejut. Saya tidak sangka dia sungguh berani.
“Malah, aksinya yang dilakukan di bilik tidur itu turut tidak disedari ibu bapa dan adik-beradik lain,” katanya.
Menurutnya, walaupun mulanya berasa aneh, mereka sekeluarga menganggap apa dilakukan Roshida tidak lebih daripada aktiviti hiburan dan keseronokan.
Dia berkata, ayah dan ibunya hanya tersenyum dan ketawa bila ditunjukkan aksi menggelikan hati kakaknya.
“Yang saya lihat, karakter kakak saya berbeza berbanding di dalam klip video terbabit. Dia sebenarnya pendiam dan banyak menghabiskan masa di depan komputer.
“Dia juga kreatif kerana pandai melukis, aktif dalam kegiatan seni tarian selain serius dalam mendidik anak murid,” katanya.
Khairil berkata, populariti kakaknya menyebabkan mereka sekeluarga dikenali seluruh penduduk kampung yang turut tertarik dengan klip video berkenaan.
“Mungkin pada mulanya ada yang memandang sinis hobinya, namun lama kelamaan mereka mula menerima kelainan yang cuba ditonjolkan kakak saya,” katanya.
myMetro
17 apr 2011
'Tak sabar cuba bidang baru'
PARIT: “Saya akhirnya ‘dilamar’ tetapi bukan daripada jejaka untuk dipinang, sebaliknya tawaran berlakon dalam sebuah telefilem,” kata ratu miming, Roshida Abd Aziz, 30, atau dikenali sebagai Cikgu Shida yang kini popular di kalangan pelayar Internet tempatan apabila klip video miming diciptanya meraih populariti luar biasa selepas ditayangkan di laman web Youtube.
Cikgu Shida yang masih bujang dilamar sebuah syarikat perfileman baru-baru ini untuk berlakon dalam sebuah telefilem bertajuk ‘Cikgu Shida Cari Jodoh’ yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri depan.
Telefilem 90 minit itu akan memulakan penggambaran Jumaat ini, dan paling menarik, Cikgu Shida akan tampil sebagai pelakon utama.
Cikgu Shida yang ditemui di kediamannya di sini semalam berkata, dia menerima tawaran itu dan menganggap ia rezeki buatnya, malah tidak sabar-sabar mahu mencuba bidang baru itu.
“Tajuknya menarik... Cikgu Shida Cari Jodoh, malah saya difahamkan telefilem itu berkisar mengenai seorang cikgu wanita yang gila-gila selain turut menyelitkan kisah suka duka dan kehidupan seorang cikgu.
“Ini mungkin rezeki baru saya dan ‘lamaran’ ini cukup untuk mengubat segala duka saya sepanjang terbabit dalam hobi berkenaan. Saya mengakui tidak sabar-sabar mahu mencuba lapangan (telefilem) baru yang lebih mencabar itu,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka perangai gila-gilanya yang dipaparkan dalam klip miming itu menarik minat sebuah syarikat perfile man, seterusnya mengabadikannya di layar perak.
Cikgu Shida berkata, cubaannya menampilkan pelbagai ekspresi muka dan gaya serta solekan dan serta berlatarbelakangkan barangan terpakai yang dibuat untuk suka-suka akhirnya diterima masyarakat.
Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang seni itu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang, Bota Kiri itu berkata, dia pernah dicerca, dihina dan tidak kurang dianggap menghidap sakit mental.
“Saya mengambil semua tohmahan itu sebagai sesuatu yang positif dan ia tidak melemahkan hasrat saya untuk mencari hiburan tersendiri, di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Facebook,” katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan hobinya kerana mereka sudah ‘masak’ dan faham perangai ‘gila-gila’nya.
“Begitu juga rakan sejawatan, malah mereka memahami jiwa dan watak saya yang suka mencari kelainan,” katanya.
Cikgu Shida satu-satunya anak perempuan pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, dan faktor itu mungkin menjadi kekuatan utama untuk dia menyerap semua tekanan dihadapi.
Terkini, klip mimingnya bertajuk ‘Kalau Berpacaran’ nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali yang dimuat turun melalui laman Facebook menghampiri dua juta pelawat sejak lima bulan lalu.
Malah, miming itu juga menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan, selain mendapat pujian rakannya di luar negara termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Australia.
myMetro
28 Mei 2011
Cikgu Shida hebat
BERBAKAT... Cikgu Shida berlakon dalam telemovie WWW.Cikgu Shida.Com.
PARIT: “Bukan sekadar ‘miming’, malah dia juga bakal menjadi pelakon hebat,” begitulah reaksi awal pengarah telemovie WWW.Cikgu Shida.Com, Isqandar Jebat ketika ditanya mengenai penampilan sulung ratu miming, Roshida Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shida yang berjaya menambat hati hampir dua juta peminat laman web Youtube kerana aksi gila-gilanya.
Malah, gelagat kelakar dan penampilan bersahaja Cikgu Shida yang melakonkan pelbagai watak ketika sesi penggambaran turut ‘memecahkan perut’ kru hingga terpaksa dihentikan buat seketika.
Telemovie WWW.Cikgu Shida.Com menampilkan pelbagai watak Cikgu Shida bermula daripada penarik kereta, gadis kampung cantik, menjadi bomoh serta ketua kampung, bakal menemui penonton untuk tayangan Aidilfitri tahun ini melalui saluran Astro.
Cikgu Shida ketika ditemui di lokasi penggambaran berkata, dia penat namun penampilan pertama dalam bidang lakonan sungguh menyeronokkan.
“Mana tak penatnya, kadangkala ‘shooting’ (penggambaran) habis jam 3 pagi. Besok ‘scene’ (babak) baru kena hafal dialog lagi.
“Mujur tuan director (pengarah) orangnya baik... asyik-asyik ‘cut’ (potong). Mungkin dia tak tahan melihat aksi (kelakar) saya,” katanya menceritakan detik awal babak pertama menjadi penarik kereta.
myMetro
12 Jun 2011
0 comments:
Post a Comment