April 17, 2011

Pegawai kanan ditangkap khalwat

GEORGE TOWN – Seorang pegawai kanan bergelar Datuk di sebuah kementerian ditangkap kerana berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel mewah di Batu Feringghi dekat sini awal pagi semalam.

Suspek yang berusia 51 tahun, itu ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi mencegah maksiat pada kira-kira pukul 4 pagi.

Pasangannya yang merupakan bekas pembantu peribadi suspek berusia 28 tahun turut ditahan kerana berada di dalam bilik tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah JHEAIPP, Sazali Hussein ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

Kosmo
17 Apr 2011


Intip Datuk berkhalwat

GEORGETOWN: Hasil intipan beberapa jam, seorang pegawai kanan sebuah kementerian berpangkat Datuk ditangkap khalwat bersama pembantunya berusia 28 tahun di sebuah hotel di Batu Feringghi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 4 pagi, pegawai berusia 51 tahun itu ditahan bersama wanita berkenaan selepas dipercayai bersekedudukan di sebuah bilik hotel itu dalam keadaan mencurigakan.

Mereka ditahan dua anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta seorang anggota polis.

Pasangan terbabit dibawa secara berasingan ke Balai Polis Batu Feringghi, dengan pegawai berkenaan menggunakan laluan pantai di belakang hotel untuk mengelak diserbu pihak media yang menunggu hampir dua jam.

Pegawai berkenaan dilihat mengenakan kemeja T merah, manakala wanita terbabit memakai kemeja T putih dan kedua-duanya memakai jeans ketika dibawa ke Balai Polis Batu Feringghi yang terletak 300 meter dari hotel berkenaan.

Difahamkan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan, kedua-duanya boleh didenda tidak kurang RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah JHEAIPP, Sazali Hussein ketika dihubungi mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan sebuah kementerian berjawatan Timbalan Ketua Setiausaha kerana dipercayai berkhalwat.

Pegawai kanan terbabit pernah memegang jawatan tinggi dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama lima tahun sebelum dinaikkan pangkat ke jawatannya kini sejak 21 Ogos tahun lalu.

myMetro
17 Apr 2011


Timbalan KSU Dituduh Berkhalwat

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, (kanan) dan pasangannya Nur Diayana Norslan, 29, selepas dituduh berkhalwat di Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut di George Town, Isnin. Mereka membayar jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang. Salim dan Nur Diayana mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lepas.

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia Dan Sukan, Datuk Salim Parlan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkhalwat di Mahkamah Syariah di sini, Selasa.

Salim, 51, dituduh melakukan kesalahan itu bersama pasangannya Nur Diayana Norslan, 30, yang dipercayai pembantu peribadinya semasa serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) di sebuah bilik di hotel mewah Batu Ferringhi pukul 5 pagi Sabtu lalu.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah 1996 negeri sementara Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen yang sama. Nur Diayana juga mengaku tak bersalah atas tuduhan itu.

Jika sabit, setiap mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Salin hadir di Mahkamah Syariah Batu Gantong kira-kira pukul 815 pagi berkemeja biru dan berseluar kelabu bersama isterinya. Sementara Nur Diayana tiba berasingan sejam kemudian berbaju kurung dengan corak bunga.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, (kanan) bersama isterinya (belakang) dan pasangannya Nur Diayana Norslan, 29, (paling belakang) di Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut di George Town, Isnin. Mereka membayar jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang. Salim dan Nur Diayana mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lepas.

Isteri Salim yang duduk bersama Nur Diayana, memakai cermin mata gelap sambil membuat catatan semasa prosiding. Bagaimanapun pegawai mahkamah mengarahkannya membuka cermin mata hitamnya.

Hakim Syariah Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 20 Jun bagi sebutan semula dan menetapkan RM2,000 ikat jamin dengan seorang penjamin yang menetap di Pulau Pinang bagi setaip tertuduh.

Peguam kedua-duanya, Wan Faridul­hadi Mohd Yusoff mencadangkan supaya 'isteri pertama' Salim dibenarkan sebagai penjamin.

“Tidak perlu untuk menetapkan penjamin yang menetap di sini.

“Kedua-dua anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mustahil untuk mereka tidak hadir pada prosiding akan datang. “Dan, ikat jamin tak sepatutnya terlalu tinggi kerana seolah-olah anak guam saya telah bersalah sebelum perbicaraan," ujarnya.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Ketua Pendakwa Syariah negeri, Mohd Zulkhairi Aziz berkata, pihaknya akan memanggil empat saksi.

mStar
19 Apr 2011


Salim Parlan, pasangan mengaku tidak bersalah tuduhan khalwat

PULAU PINANG 19 April - Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lalu.

Nur Diayana Norslan, 30, bekas pembantu peribadi kepada Salim, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya, yang menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Salim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi, 16 April lalu pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding itu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,000 daripada RM3,000, seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Jumlah RM3,000 dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan selesai kerana jumlah itu sama dengan denda maksimum dalam pertuduhan itu," katanya.

Wan Faridulhadi memberitahu mahkamah bahawa isteri Salim yang turut hadir pada prosiding hari ini bersedia untuk menjadi penjamin kepada kedua-dua tertuduh.

''Hal ini (perkahwinan kedua) memang telah diketahui isteri pertama Salim serta keluarga, sebab itulah isterinya itu sanggup menjadi penjamin tetapi gagal berbuat demikian kerana bukan pemastautin tetap negeri ini,'' katanya.

Nik Bukhari Hashimy kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Pulau Pinang bagi setiap tertuduh.

Salim tiba di mahkamah bersama isterinya pada kira-kira pukul 8 pagi manakala Nur Diayana yang berbaju kurung putih berbunga merah jambu serta bertudung warna sama tiba berasingan sejam kemudian.

Sementara itu, di luar mahkamah, Wan Faridulhadi berkata, Salim dan Nur Diayana telah berkahwin di luar negara dan dalam proses mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

Salim, isteri dan Nur Diayana dilihat pulang pada pukul 11.10 pagi setelah seorang ahli perniagaan membayar jaminan.

mStar
20 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment