April 1, 2011

Tiga pegawai SPRM dibuang kerja tahun lalu

KUALA LUMPUR 31 Mac - Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam salah laku ketika menjalankan tugas sepanjang tahun lalu.

Ketiga-tiganya adalah daripada 54 aduan pelbagai kesalahan dikendalikan panel bebas, Jawatankuasa Aduan yang memantau salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai SPRM.

Selain tindakan buang kerja, seramai 13 pegawai diberi amaran, lima tangguh gaji, tiga lucut hak, seorang didenda, seorang diturunkan pangkat manakala lain-lain merupakan aduan yang tidak berasas.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Aduan, Datuk Mohd. Noor Abdullah, sebanyak 40 daripada 54 aduan dikemukakan berhubung kes salah laku antaranya tidak hadir bertugas, gagal mengendali barang kes, gangguan seksual dan kekerasan.

"Enam aduan berhubung salah guna kuasa, enam aduan berkenaan cuai ketika bertugas, satu aduan kerana gagal patuhi prosedur kerja manakala satu lagi dikategori sebagai pelbagai.

"Tiga daripada enam aduan salah guna kuasa mengaitkan salah laku kekerasan bagaimanapun ketiga-tiga aduan itu digugurkan kerana tidak berasas," katanya.

Beliau menambah, setiap aduan dikemukakan kepada jawatankuasa dipandang serius kerana setiap kelemahan yang wujud terutama ketika siasatan berjalan akan menyebabkan kelewatan kes terbabit dibawa ke pendakwaan.

"Setiap kes perlu dijalan dan diselesaikan dalam masa tertentu dan pihak jawatankuasa pula untuk mengenal pasti kelemahan dalam prosedur kerja SPRM yang mungkin menimbulkan aduan," katanya.

Utusan
1 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment