April 1, 2011

Budak 19 bulan maut digesel kereta api

KELUARGA mendukung mayat Mohd Adam ke bilik mayat Hospital Machang untuk bedah siasat.

Keluarga tak sedar mangsa berjalan ke landasan

MACHANG: Seorang budak lelaki berusia 19 bulan yang baru pandai berjalan maut, selepas terkena geselan gerabak kereta api ekspres Senandung Wau di Kilometer 457.5, di Kampung Sungai Bedal, dekat Temangan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa, Mohd Adam Mukhriz Mohd Afif dikatakan tercampak kira-kira 10 meter dari landasan.

Ketika kejadian, datuk dan nenek mangsa berada di kebun berhampiran landasan kereta api, manakala ibu saudara bayi malang itu berada di rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari landasan.

Datuk mangsa, Mahmud Mat Daud, 58, yang menjaga cucunya itu sejak dua bulan lalu berkata, Adam biasanya bangun pada waktu tengah hari namun pada semalam dia bangun awal dan menuju ke landasan tanpa disedari sesiapapun.

“Saya dan isteri ketika itu berada berdekatan tempat kejadian terkejut apabila mendengar bunyi hon kereta api, isteri cuba menyelamatkan Adam, tetapi tidak sempat,” katanya.

Bapa mangsa, Mohd Afif Jaafar, 27, tidak menyangka mimpi melihat dirinya meninggal dunia akibat kemalangan selama tiga hari berturut-turut menjadi petanda dia akan kehilangan anak sulung daripada dua beradik itu.

“Selepas mimpi kali ketiga, saya memohon cuti untuk balik kampung melihat Adam yang ditinggalkan bersama datuk dan neneknya.

“Bagaimanapun, hasrat untuk melihat Adam tak kesampaian apabila salah seorang saudara terdekat menghubungi saya kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) memberitahu mengenai kemalangan arwah,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Marang, Terengganu, ketika ditemui di Hospital Machang di sini, semalam.

Ketua Bahagian Pengurusan Polis (KBPD) Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kemalangan itu.

Berita Harian
1 Apr 2011


Merangkak atas landasan

MACHANG: Seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang baru pandai berjalan mati dilanggar kereta api selepas dia bertatih keluar dari rumah datuknya dan merangkak ke landasan kereta api kira-kira 40 meter dari rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohamad Adam Mukhriz, anak sulung daripada tiga beradik itu dikatakan tercampak kira-kira 10 meter dari landasan selepas dilanggar.

Mangsa berada dalam jagaan datuk dan neneknya dan mereka tidak menyedari kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah.

Datuknya, Mahmud Mat Daud, 58, berkata, biasanya Adam bangun agak lewat, namun semalam dia bangun awal dan menuju ke landasan kereta api tanpa disedari sesiapa.

“Saya dan isteri yang ketika itu berada di luar rumah, langsung tidak perasan kelibat Mohamad Adam. Saya dan isteri hanya tersedar dia tiada di dalam rumah apabila mendengar bunyi hon kereta api.

“Isteri saya cuba menyelamatkan Mohamad Adam, namun tidak sempat,” katanya yang menjaga Mohd Adam kira-kira dua bulan lalu selepas mendapat kebenaran daripada menantunya.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Afif Jaafar, 27, berkata, tiga hari lalu, dia bermimpi cedera parah di kepala dan mati akibat terbabit kemalangan dan mimpi itu berulang selama tiga hari. “Saya sangka mimpi itu hanya mainan tidur, tapi rupa-rupanya ia petanda anak sulung akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Menurut Mohd Afif yang menetap di Marang, Terengganu, selepas mengalami mimpi aneh itu, dia berasa tidak sedap hati dan memutuskan pulang ke kampung petang kelmarin selepas memohon cuti dua hari untuk menjenguk Mohd Adam.

“Bagaimanapun, hasrat untuk melihat anak tak kesampaian selepas dihubungi seorang saudara kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) mengenai kemalangan itu,” kata pekerja syarikat swasta itu ketika ditemui di Hospital Machang, semalam.

Sementara itu, Pengurus Keretapi Tanah Melayu (KTM) Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan kereta api Tren Ekspres Senandung Wau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

“Kereta api itu melanggar kanak-kanak berkenaan di landasan kereta api di Kampung Sungai Bedal selepas dia secara tiba-tiba muncul di landasan. Kini, kami bekerjasama dengan polis menyiasat kes ini,” katanya.

Ketua Bahagian Pengurusan Polis (KBPD) Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan muka selepas tercampak kira-kira 10 meter. Mangsa dilanggar kereta api di KM457.5, Kampung Sungai Bedal, Temangan, pagi ini (semalam),” katanya .

myMetro
1 Apr 2011


KTM siasat kes bayi maut kena gesel

KUALA KRAI: KTM Berhad akan membuat siasatan dalaman mengenai kejadian kanak-kanak 19 bulan yang maut selepas terkena geselan gerabak kereta api ekspres Senandung Wau di Kilometer 457.5 di Kampung Sungai Bedal, dekat Temangan, kelmarin.

Pengurus KTM Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman, berkata laporan mengenai hasil siasatan berkenaan akan dihantar kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi tindakan lanjut.

Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat, kelajuan kereta api yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan, itu berada pada kelajuan biasa iaitu 90 kilometer sejam (kmj) dan pemandu berkenaan sudah membunyikan hon terlebih awal bagi memberi amaran sebelum kejadian berlaku.

“Namun, pemandu gagal memberhentikan kereta api itu disebabkan faktor kelajuan dan berat, yang memerlukan jarak kira-kira 800 meter sebelum berhenti dengan baik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kejadian kanak-kanak 19 bulan yang baru pandai berjalan, maut selepas terkena geselan gerabak kereta api berkenaan sebaik keluar dari rumah datuknya dan merangkak ke landasan yang terletak berhampiran rumahnya.

Dalam kejadian menyayat hati itu, mangsa, Mohamad Adam Mukhriz Mohd Afif, dikatakan tercampak kira-kira 10 meter dari landasan.

Ketika kejadian, datuk dan nenek mangsa berada di kebun berhampiran landasan itu, manakala ibu saudara berada di rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kemalangan itu.

Ibrahim menasihatkan penduduk yang tinggal di sepanjang landasan kereta api dari Gua Musang ke Tumpat supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

Beliau berkata, walaupun penduduk di sekitar landasan kereta api itu sudah biasa dengan jadual perjalanan tren, mereka perlu sentiasa berhati-hati terutama terhadap pergerakan anak mereka.

Berita Harian
2 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment