February 8, 2011

Dijemput ajal pada hari jadi


LEDANG: “Sepatutnya semalam (kelmarin) kami menyambut ulang tahun kelahirannya yang genap setahun, namun Tuhan lebih menyayanginya dan dia pergi dulu meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Kamaronzaman Samah, 41, bapa kepada Mohamad Azry Shah, yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tong berisi air di rumah mereka di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di sini, semalam.

Mengimbas kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Kamaronzaman yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, isterinya, Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu manakala anak bongsunya itu dikatakan merangkak mengikut abangnya, Mohamad Faizul Shah, 9.

“Faizul keluar melalui pintu dapur yang terbuka untuk bermain dan tanpa disangka, Azry merangkak mengekorinya.

“Apabila mendapati Azry tiada di dalam rumah, isteri bergegas mencarinya sebelum ditemui lemas dalam tong berisi air berkenaan,” katanya.

REDA...Kamaronzaman mententeramkan Norezan selepas kehilangan anak tersayang.

Menurutnya, Norezan cuba menyelamatkannya namun anak bongsu daripada lima beradik itu gagal diselamatkan dan isterinya kemudian menghubunginya memaklumkan kejadian.

Dia yang berada di tempat kerja di Seri Melaka, Sengkang, dekat sini, bergegas pulang tetapi hanya mampu menatap jasad anak kesayangannya itu.

“Azry dikejarkan ke klinik berhampiran oleh adik saya tetapi dia gagal diselamatkan.

“Kami kini kehilangan penyeri keluarga, apa yang buat kami lebih terharu ialah Azry belum sempat memakai baju baru dibelikan Norezan sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

TONG MAUT...Azry lemas di dalam tong berisi air ini.

Bapa saudara Azry, Mohd Safie Samah, 37, berkata tong besar itu berisi air yang disimpan untuk kegunaan harian berikutan bekalan air paip terputus sejak beberapa hari lalu akibat banjir.

“Azry mungkin memanjat baldi yang terletak berhampiran tong itu lalu terjatuh ke dalamnya, dia mungkin hendak bermain dengan air dalam tong itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Tiada unsur jenayah dalam kejadian dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, pagi tadi (semalam),” katanya.

myMetro
8 Feb 2011


Insiden kematian masih gagal dijadikan iktibar

KUALA LUMPUR: “Saya kesal kejadian seperti ini masih berulang dan kerap berlaku biarpun sering kali ibu bapa dan penjaga didedahkan mengenai bahaya takungan air terhadap bayi dan kanak-kanak.

“Mereka perlu mengambil iktibar dengan memastikan kanak-kanak jauh dari takungan air biarpun hanya sedalam enam inci kerana boleh membunuh,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Dr Zulkifli mengulas laporan akhbar ini semalam, mengenai kematian Mohamad Azry Shah, setahun, yang lemas selepas terjatuh dalam tong berisi air di rumahnya di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.

Bapa mangsa, Kamaronzaman Samah, 41, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang sewaktu isterinya Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu manakala Mohamad Azry dikatakan merangkak mengikut abangnya yang keluar melalui pintu dapur tanpa disedari.

Mangsa dijumpai lemas dalam tong berkenaan dan cubaan menyelamatkan anak bongsu daripada lima beradik itu gagal biarpun dibawa ke klinik berhampiran.

Dr Zulkifli berkata, semua pihak perlu bekerjasama memastikan ibu bapa dan penjaga diberi kesedaran berhubung bahaya yang ada di rumah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Mereka perlu dididik supaya lebih prihatin terhadap keselamatan anak masing-masing di luar dan dalam rumah kerana banyak perkara boleh menyumbang kepada kes seperti ini. “Ia perlu dilakukan secara meluas.

“Malah, tiba masanya golongan seperti ini didedahkan dengan teknik bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk berdepan situasi sama,” katanya.

Katanya, walaupun pelbagai kempen mengenai keselamatan kanak-kanak di rumah dilakukan menerusi media massa, ia tidak dapat membendung kejadian berulang jika ibu bapa tidak prihatin keselamatan anak mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Psikiatri dan Mental Asean, Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata, pihak bertanggungjawab perlu lebih tegas memastikan ibu bapa cuai sehingga mengakibatkan kecederaan atau kematian terhadap anak mereka menerima hukuman sewajarnya.

myMetro
9 Feb 2011

0 comments:

Post a Comment