February 8, 2011

Dicampak selepas dipukul, rogol

HAMDAN menunjukkan gambar wanita mangsa pukul dan rogol yang masih belum dikenal pasti identitinya pada sidang akhbar di Seremban semalam.

SEREMBAN – Polis sedang mencari ahli keluarga seorang wanita yang ditemui dalam keadaan menyedihkan apabila dia bukan sahaja dirogol, malah turut dipukul sebelum dicampak di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Port Dickson dekat sini baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan, wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu koma selepas mengalami kecederaan parah di belakang kepala. Dia kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, wanita berketurunan Cina itu ditemui oleh orang awam pada pukul 6.35 pagi Jumaat lalu sebelum menghubungi ambulans.

Katanya, ketika ditemui, wanita yang pengsan itu memakai kemeja berwarna merah dan seluar jean paras lutut.

“Pemeriksaan mendapati tengkorak pada belakang kepala mangsa retak dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan keras. Selain itu, mangsa dipercayai telah dirogol,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kosmo
8 Feb 2011


Campak mangsa rogol tepi jalan


SEREMBAN: Sungguh menyayat hati apabila seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan belasahan ditinggalkan dalam keadaan koma di persimpangan lampu isyarat di Pekan Lukut, Port Dickson, petang Jumaat lalu.

Mangsa berusia 20-an dipercayai warga tempatan hingga kini masih kritikal dan bergantung alat bantuan pernafasan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dirujuk dari Hospital Port Dickson (HPD).

Ketika ditemui kira-kira jam 6.35 petang Jumaat lalu, mangsa tidak memiliki identiti pengenalan diri, sekali gus menyukarkan polis untuk mengesan warisnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata kejadian menimpa wanita berkenaan hanya disedari apabila orang awam yang menemui mangsa terbaring di persimpangan lampu isyarat lalu menghubungi pihak hospital.

Menurutnya, mangsa dihantar mendapatkan rawatan di HPD sebelum dirujuk ke HTJS kerana parah.

“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai kesan keretakan di belakang kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul selain cedera pada kedua-dua lutut serta siku akibat diseret dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Berikutan itu, polis tidak menolak kemungkinan wanita itu dirogol berdasarkan beberapa elemen yang ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, semalam.

Katanya, ketika ditemui, wanita itu memakai baju-T merah jambu dan jean pendek selain memakai gelang tangan manik.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang lebih daripada seorang suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kami juga masih mengesan identiti wanita itu dan percaya dia rakyat tempatan berdasarkan suntikan BCG pada bahu kirinya,” katanya.

Menurutnya, setakat ini belum ada sesiapa tampil bagi mencari ahli keluarga mereka yang hilang dan polis sudah melakukan semakan di negeri ini, namun tidak menerima laporan kehilangan wanita dalam tempoh terdekat ini.

“Polis juga melakukan gerakan bagi mengesan suspek yang meninggalkan wanita berkenaan bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya.

Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

myMetro
8 Feb 2011


Gadis koma selepas dirogol, dicampak di tepi jalan

SEREMBAN 7 Feb. - Entah di mana hilangnya sifat kemanusiaan apabila seorang gadis bukan sahaja dirogol malah dipukul sebelum dicampakkan di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Lukut, dekat sini, Jumaat lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini koma akibat kecederaan parah di belakang kepala.

Ketika ditemui orang awam pukul 6.35 pagi, gadis berketurunan Cina dan berusia 20-an itu memakai kemeja berwarna merah dan seluar jeans paras lutut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

"Hasil pemeriksaan kita mendapati mangsa mengalami keretakan pada bahagian belakang kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa yang disyaki warga tempatan turut cedera di kedua-dua belah siku dan lutut kerana diseret selain sebelum itu dirogol," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelas Hamdan, setakat ini, identiti mangsa belum diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Kita percaya mangsa mungkin diserang lebih daripada seorang sebelum dia dicampakkan di kawasan berkenaan.

"Mangsa kini ditempatkan di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan keadaannya dilaporkan stabil," jelasnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 kerana merogol.

Tambahnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara atau mempunyai maklumat mengenai mangsa agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.

Utusan
8 Feb 2011


Wanita koma warga China

SEREMBAN: Seorang wanita dipercayai menjadi mangsa rogol sebelum ditinggalkan dalam keadaan koma di persimpangan lampu isyarat di Pekan Lukut, Port Dickson, dekat sini, Jumaat lalu, dipercayai warga China.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, identiti wanita berusia 37 tahun itu dikenal pasti selepas polis menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Setakat ini, wanita berkenaan masih dalam keadaan ktirikal tetapi stabil dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Pada masa sama, polis melakukan usaha mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa diperlakukan demikian di tempat lain sebelum ditinggalkan di situ.

Menurutnya, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

myMetro
9 Feb 2011

0 comments:

Post a Comment