January 17, 2011

Bas terbabas, enam pelajar UiTM cedera ringan

TAPAH: Enam daripada 35 pelajar perempuan Universiti Institusi Teknologi Mara (UiTM) Arau mengalami cedera ringan selepas bas yang mereka naiki terbabas dan tercampak ke dalam longkang di tepi lebuhraya Km334.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Amad berkata pemandu bas itu bersama pembantunya turut mengalami cedera ringan dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.15 pagi itu.

Beliau berkata semua mangsa yang cedera berusia dalam lingkungan 20-an diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tapah dan mereka dibenarkan keluar tengah hari tadi.

"Ketika kejadian, semua pelajar itu dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Arau, Perlis, selepas menghadiri program usahawan pintar di Dewan MCA, Jalan Ampang, anjuran koperasi Shamelin semalam," katanya di sini hari ini.

Roslan berkata bas itu dikatakan gagal dikawal semasa tiba di tempat kejadian lalu terbabas sebelum tercampak ke dalam longkang di tepi lebuhraya berkenaan, dan semua pelajar itu menaiki bas gantian untuk pulang ke UiTM tengah hari tadi.

myMetro
17 Jan 2011


Bas bawa 36 pelajar terhumban ke longkang

TAPAH: “Saya terbayang tragedi ngeri mengorbankan 28 nyawa yang berlaku tidak sampai sebulan lalu akan berulang dan saya seorang daripada mangsanya.

“Hampir semua penumpang termasuk saya sedang tidur kerana kemalangan berlaku pada awal pagi dan saya tak pasti sama ada bas dipandu laju ketika kejadian. Saya hanya tersedar apabila terdengar dentuman kuat,” kata Aliza Fazni, 19, seorang daripada mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas sewa di Kilometer 334.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, seramai 36 penumpang bas berkenaan membabitkan 34 penuntut institut pengajian tinggi awam dan seorang pembantu pemandu, nyaris maut apabila bas itu terhumban ke longkang.

Insiden berlaku apabila bas itu hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian lalu terbabas ke kiri jalan sebelum tercampak ke dalam longkang menyebabkan enam cedera ringan dan 29 lain termasuk pemandu dan pembantunya calar-calar di badan.

Aliza yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis berkata, apabila terjaga dia mendapati tempat duduknya senget serta tangan kanan sakit.

“Dalam keadaan mamai, saya berasak-asak dengan penumpang lain keluar dari bas dan selepas itu baru perasan bas dinaiki terbabit kemalangan serta hampir terbalik,” katanya ketika ditemui selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tapah (HT), semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, bas berkenaan membawa 31 siswi dan seorang siswa UiTM Arau dan masing-masing seorang penuntut wanita dari Politeknik Jitra, Kedah dan Politeknik Kangar, Perlis.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kemalangan. Siasatan awal mendapati, ia tidak membabitkan kenderaan lain dan bas itu hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Enam penumpang cedera ringan manakala 29 termasuk pemandu serta pembantu pemandu calar di badan. Semua mangsa dihantar ke HT untuk menerima rawatan dan siasatan mendapati kedua-dua pemandu bas memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

myMetro
18 Jan 2011

0 comments:

Post a Comment