January 17, 2011

Pelajar Berusia 15 Tahun Dibunuh Kejam Sebelum Ditanam Di Belakang Rumah

Anggota polis mengorek tanah tempat mangsa pembunuhan kejam, Taufik Abdul Rahman yang ditanam di belakang sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya, Samarahan, Sarawak. 17 Jan. 2011. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KOTA SAMARAHAN: Seorang pelajar yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui mati dibunuh secara kejam dan mayatnya ditanam dalam lubang sedalam setengah meter di belakang sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad berkata, Taufik Abdul Rahim, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera mati akibat kecederaan parah di kepala dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki yang terbabit dalam sindiket curi motosikal serta pecah rumah.

Beliau berkata, penemuan mayat mangsa yang berasal dari Kampung Iboi, Sadong Jaya pada jam 10 pagi ini susulan penahanan seorang remaja berusia 19 tahun di Kampung Sadong Jaya awal Isnin yang dipercayai turut terbabit dalam pembunuhan tersebut.

"Menerusi siasatan awal polis, suspek mengaku terbabit dalam kejadian tersebut dan turut mendedahkan lokasi mangsa ditanam kira-kira 10 pagi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tanah di belakang rumah itu mempunyai kesan baru digali sebelum menemui mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian serta berlumuran darah.

Polis, kata Abdul Rahman, juga menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan oleh kumpulan tersebut untuk membunuh mangsa tidak jauh dari lubang tempat mayat mangsa ditemui.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal siasatan, sekumpulan lelaki yang dipercayai daripada geng sindiket curi motosikal dan pecah rumah cuba memujuk mangsa untuk menyertai kumpulan terbabit memandangkan mangsa telah mengetahui kegiatan mereka, namun mangsa enggan.

Berikutan kejadian itu, Abdul Rahman berkata, polis kini turut memburu suspek lain yang dipercayai masih bebas dan terbabit dalam pembunuhan kejam itu. -BERNAMA

17 Jan 2011


Bunuh nak simpan rahsia

KOTA SAMARAHAN: Bimbang rahsia kegiatan jenayah mereka terbongkar, sekumpulan lelaki dipercayai ahli sindiket curi motosikal dan pecah rumah membelasah remaja berusia 15 tahun hingga mati sebelum menanam mayatnya dalam lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di Kampung Pendam, Sadong Jaya.

Jenayah itu dikatakan dilakukan ahli sindiket terbabit bagi mengelakkan rahsia mereka terbongkar dan diketahui pihak berkuasa, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan bahaya.

Mangsa dikenali sebagai Taufik Abdul Rahim, dari Kampung Iboi, dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui dalam keadaan duduk dalam lubang cetek di belakang rumah suspek kira-kira jam 8 pagi semalam.

Pembunuhan itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun ketika menunggang motosikal milik remaja berkenaan di sekitar kawasan kampung berkenaan beberapa jam sebelum mayat mangsa ditemui.

Suspek yang juga penganggur membawa polis ke lokasi mayat mangsa ditanam, di belakang rumahnya selepas disoal siasat polis.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, mangsa dilaporkan hilang pada Sabtu lalu ketika ke kedai membeli barang keperluan dapur dengan menunggang motosikal Modenas Kris milik abangnya.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan polis pada jam 1.30 tengah hari kelmarin dan polis yang menjalankan siasatan tidak menunggu lama untuk menyelesaikan kes itu apabila menahan seorang lelaki menunggang motosikal mangsa di sekitar Kampung Pendam.

Beliau berkata, suspek yang tinggal berseorangan dipercayai mengenali mangsa dan berdasarkan siasatan awal, remaja berkenaan dibunuh kerana mengetahui kegiatan suspek bersama beberapa lelaki lain yang terbabit dalam aktiviti mencuri motosikal dan pecah rumah di sekitar kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibelasah menggunakan kayu sebelum mayatnya ditanam dalam keadaan duduk di dalam lubang sedalam 0.5 meter di belakang rumah suspek,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di lokasi mayat ditemui mendapati mangsa berpakaian lengkap itu mempunyai kesan luka di kepala.

Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, polis menjejaki lima lagi suspek berusia 30-an yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

myMetro
18 Jan 2011


Arwah renung selimut

KOTA SAMARAHAN: Bapa kepada remaja mangsa pembunuhan yang mayatnya ditanam dalam lubang di belakang rumah di Kampung Pendam, Sadong Jaya, semalam tidak menyangka tingkah laku pelik arwah merenung selimut sebaik terjaga daripada tidur beberapa hari lalu sebenarnya membawa petanda buruk.

Abdul Rahim Hassan, 42, berkata, malam sebelum menghilangkan diri, anak ketiga daripada lima beradik itu tiba-tiba terbangun daripada tidur dan merenung selimutnya seolah-olah merinduinya.

“Ketika itu, saya tidur di sebelahnya dan ternampak perbuatannya agak pelik itu, namun tidak menyangka itu petanda dia meninggalkan kami semua,” katanya.

Abdul Rahim berkata, dia percaya anaknya, Taufik, 15, dibunuh suspek bersama beberapa lelaki lain kerana khuatir rahsia kegiatan jahat mereka terbongkar dan diketahui pihak berkuasa.

“Anak saya seorang pendiam dan senang untuk lain orang mengambil kesempatan ke atas dirinya, namun kami percayai dia tidak terbabit dalam sebarang kegiatan haram,” katanya.

myMetro
18 Jan 2011


Suspek bunuh pelajar direman

SAMARAHAN 18 Jan. – Suspek kes pembunuhan kejam seorang pelajar yang ditanam di belakang rumahnya di Kampung Sadong Jaya dekat sini semalam, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mulai hari ini.

Majistret Mahkamah Kota Samarahan, Paul Joring mengeluarkan perintah tersebut mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari dan akan memohon lanjutan jika ia memerlukan siasatan lanjut.

Menurutnya, setakat ini hanya seorang suspek sahaja yang ditahan berhubung kejadian tersebut dan siasatan polis mendapati tiada suspek lain yang terlibat.

“Menerusi soal siasat, polis mendapati keterangan awal suspek sebelum ini yang menyatakan terdapat suspek lain yang terbabit (sekumpulan enam lelaki) membunuh mangsa hanya rekaan remaja itu.

“Setakat ini, siasatan mendapati suspek terlibat berseorangan sahaja, namun geng sindiket curi motosikal dan pecah rumah yang disebut sebelum ini memang ada cuma belum ada petunjuk yang mengaitkannya dengan kes bunuh terbabit,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Sabtu lalu ditemui mati dibunuh secara kejam.

Mayatnya ditanam di dalam lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di belakang rumah seorang suspek di Kampung Sadong Jaya.

Mangsa, Taufik Abdul Rahim, 15, seorang pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di kepala dengan sebatang kayu.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, siasatan polis setakat ini mendapati motif kejadian adalah disebabkan mangsa telah mengetahui kegiatan suspek dan enggan menyertai kumpulan sindiket berkenaan.

Katanya, suspek kemudian cuba berbincang dan memujuk Taufik, namun mangsa tetap berkeras dengan pendiriannya hingga timbul perbalahan dan pergaduhan di luar rumah suspek.

Tambah beliau, polis juga percaya suspek bertindak seorang diri menggali lubang sebelum menanam mangsa di belakang rumahnya manakala bahan bukti iaitu sebatang kayu yang digunakan untuk memukul kepala mangsa masih belum ditemui.

“Suspek yang berusia 19 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil bedah siasat mendapati, kepala mangsa mempunyai kesan luka yang teruk akibat dipukul,” ujarnya.

Utusan
19 Jan 2011


'Saya tidak maafkan dia'

SAMARAHAN 18 Jan. - Ibu bapa kepada mangsa pembunuhan kejam, Taufik Abdul Rahim, tidak sesekali akan memaafkan perbuatan suspek yang tergamak membunuh dan menanam mayat anak mereka di belakang sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya dekat sini semalam.

Abdul Rahim Hassan, 42, berkata, keluarganya tidak akan memaafkan perbuatan suspek itu yang memperlakukan mangsa sedemikian rupa sedangkan arwah anaknya itu seorang yang pendiam dan bukannya agresif.

Menurut Abdul Rahim, hatinya bagaikan dirobek setiap kali memikirkan apakah kesalahan anaknya itu sehingga dibunuh tanpa belas kasihan.

"Hati saya perit apabila mengenang kembali bagaimana rapatnya hubungan saya dengan arwah dan apabila menyedari dia sudah tiada, ia menambahkan lagi kesedihan kami sekeluarga.

"Saya tidak akan memaafkan segala perbuatan suspek ke atas anak saya," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Albugisiah Iboi Hulu dekat sini petang ini.

Majlis pengebumian Taufik berlangsung dalam suasana hiba apabila sanak saudara tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika menyaksikan jenazah Allahyarham diturunkan ke liang lahad sebelum selamat dikebumikan pukul 2.20 petang.

Suasana semakin pilu apabila ahli keluarga mangsa seorang demi seorang menyiram air mawar di pusara arwah terutamanya ketika adik bongsunya, Nor Shafila Abdul Rahim berusia empat tahun, yang paling akrab dengan mangsa berbuat demikian.

Sementara itu, ibu mangsa, Hajijah Kalim, 35, yang kelihatan tidak bermaya terpaksa dipimpin oleh ahli keluarga terdekat kerana tidak dapat mengawal perasaan ketika berada di tanah perkuburan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berharap suspek yang membunuh anaknya akan dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan kejamnya itu.

Pada masa sama, dia berharap polis dapat melakukan proses siasatan dengan segera bagi membolehkan suspek dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman secepat mungkin.

"Saya harap kes ini dapat disiasat dengan segera dan mahu suspek dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kejamnya itu," katanya.

Utusan
19 Jan 2011


Suspek bunuh remaja bertindak sendirian

KOTA SAMARAHAN: Suspek kes pembunuhan remaja berusia 15 tahun di Kampung Pendam, Sadong Jaya, sini, Sabtu lalu, didapati bertindak bersendirian termasuk menggali lubang seluas 1.2 meter di belakang rumahnya bagi menanam mayat mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu, tercetus pertelingkahan antara suspek berusia 19 tahun dan Taufik Abdul Rahim, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Semera berdekatan kawasan sekitar rumah suspek sebelum mangsa dipukul di kepala menggunakan kayu.

Suspek yang juga penganggur tinggal bersendirian selepas kematian ibunya tahun lalu menggali lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di belakang dapur rumahnya untuk menanam mayat mangsa sekali gus cuba menyembunyikan jenayahnya.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, siasatan lanjut mengesahkan suspek menyerang mangsa seorang diri dan mendapati lima lagi lelaki sedang dicari polis bagi membantu siasatan sebenarnya tidak terbabit.

“Kami mempercayai suspek dan mangsa saling mengenali kerana mangsa ke rumah suspek pada hari kejadian untuk bertemu dengan suspek namun tercetus pertelingkahan antara mereka selepas mangsa enggan terbabit dengan kegiatan kumpulan itu,” katanya, semalam.

Katanya, keadaan rumah suspek yang agak jauh terletak di belakang sebuah sekolah rendah di kampung berkenaan menyebabkan penduduk situ tidak menyedari suspek menggali lubang bagi menyembunyikan mayat mangsa pembunuhan kejam itu.

Kelmarin, polis dilaporkan memburu lima lelaki yang dikatakan terbabit bersama suspek dalam pembunuhan remaja terbabit selain mereka dipercayai ahli satu sindiket mencuri motosikal dan pecah rumah sekitar Sadong Jaya.

Pada masa ini, pihak polis sedang mengambil keterangan dari beberapa penduduk kampung terbabit termasuk guru yang menetap di kuarters berhampiran rumah suspek.

Menurut Abdul Rahman, laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan banyak daripada kecederaan di bahagian kepala.

Dalam pada itu, jenazah Taufik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Busisiah, Iboi Ulu pada kira-kira jam 2.15 petang, semalam.

Sementara itu, Majistret Daerah Paul Joring mengeluarkan perintah reman tujuh hari ke atas suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut sebelum pendakwaan.

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang ketika diiringi anggota polis untuk mendapat perintah reman.

myMetro
19 Jan 2011


Remaja didakwa bunuh pelajar

ABANG Ibrahim Abang Ahmad (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan, Sarawak, semalam.

SAMARAHAN 28 Jan. - Selepas 11 hari mayat seorang pelajar tingkatan tiga ditemui ditanam di belakang sebuah rumah setelah dibunuh dengan kejam, seorang remaja lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan di sini.

Remaja terbabit, Abang Ibrahim Abang Ahmad, 19, didakwa membunuh Taufik Abdul Rahim, 15, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sadong Jaya antara pukul 1 petang, 15 Januari lalu hingga pukul 7.30 pagi, 17 Januari lalu.

Dakwaan terhadap remaja itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh oleh Majistret Mohd. Ainnie Wahab.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Prosiding hari ini turut dihadiri oleh ahli keluarga mangsa termasuk ibu bapanya.

Selepas prosiding berakhir, keadaan yang pada mulanya tenang bertukar kecoh apabila tertuduh yang hendak dibawa keluar dari bilik mahkamah diherdik dan cuba diserbu oleh bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan remaja terbabit.

Pihak polis bagaimanapun berjaya mengawal keadaan apabila bergegas membawa tertuduh keluar dari kawasan mahkamah dengan menaiki sebuah van.

Memetik laporan akhbar, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 15 Januari lalu sebelum ditemui mati dibunuh secara kejam.

Mayatnya ditanam dalam tanah sedalam kira-kira 0.5 meter di belakang rumah tertuduh di Kampung Sadong Jaya dekat sini.

Mangsa meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di kepala dengan sebatang kayu oleh tertuduh.

Sebelum dipukul, tertuduh dipercayai cuba memujuk Taufik untuk menyertainya dalam kumpulan curi motosikal dan pecah rumah, namun mangsa enggan.

Utusan
29 Jan 2011


Tertuduh kes bunuh pelajar terlepas hukuman gantung 

KUCHING: Seorang penganggur yang dituduh membunuh seorang pelajar di Sadong Jaya tahun lepas, terlepas hukuman gantung sampai mati setelah ditawarkan pertuduhan alternatif yang menyebabkan kematian dengan kecuaian.

Abang Ibrahim Abang Ahmad, 21, semalam mengaku bersalah terhadap pindaan pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie memperuntukkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman.

Remaja tersebut dituduh mengakibatkan kematian pelajar SMK Semera, Taufik Abdul Rahim yang berumur 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Pendam, Sadong Jaya, Samarahan dari jam 1 petang hingga 2 petang pada 15 Januari.

Pada asalnya, dia dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi apabila kes itu disebut di mahkamah semalam, Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mengurangkan dakwaan kepada Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama 20 tahun.

Abang Ibrahim diwakili oleh peguam bela Abdul Rahman Mohd Hazmi. Ketika membentangkan fakta kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Musli berkata, tertuduh bertemu dengan si mati di kedai Kak Long di Kampung Sadong Jaya.

Tertuduh datang ke kedai itu dengan menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran QAR 6952 dan mereka berbual mengenai dakwaan yang dibuat oleh si mati.

Dalam dakwaan tersebut, tertuduh telah didakwa terlibat dalam kes-kes kecurian motosikal yang berlaku di kawasan tersebut yang mana, dinafikan oleh tertuduh.

Si mati kemudiannya dijemput oleh tertuduh untuk datang ke rumahnya. Difahamkan bahawa akibat provokasi yang dibuat oleh si mati berkenaan jenayah itu, dia (Abang Ibrahim) hilang sabar lalu menggunakan sekeping kayu untuk memukul kepala mangsa.

Pukulan kedua menyebabkan si mati tidak sedarkan diri dan tertuduh mengakui faktor panik menyebabkan dia mengebumikan mayat itu di belakang rumah.

Kayu yang digunakan sebagai senjata pembunuhan dibuang di sebalik pokok nipah di belakang rumah. 

Selepas si mati dikebumikan, tertuduh telah mengambil motosikal mangsa dan dibongkar set penutup dan membuangnya di suatu tempat berhampiran rumahnya dan seterusnya pergi ke rumah bapa saudaranya.

Ibu bapa si mati yang menyedari anak lelaki mereka tidak pulang ke rumah, membuat laporan polis di Asajaya pada hari yang sama.

Tertuduh menyerah diri kepada Lans Korporal Mahdili yang seterusnya membawanya ke balai polis.

Dia kemudiannya membawa pasukan polis ke tempat mangsa dikebumikan.

Utusan Borneo 18 Apr 2012


Hakim menangis jatuh hukuman 

KUCHING: Suasana di Mahkamah Tinggi di sini, semalam yang mulanya tenang tiba-tiba bertukar sedih apabila Hakim Yew Jeng Kie turut mengalirkan air mata sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang remaja yang mengaku bersalah membunuh dan menanam mayat rakannya di belakang sebuah rumah, tahun lalu.

Ia bermula ketika Yew dalam penghakimannya membacakan latar belakang tertuduh, Abang Ibrahim Abang Ahmad, 20, yang didakwa membunuh Taufik Abdul Rahim dalam kejadian Januari tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan hadirin terdiam seketika sebelum Yew membacakan penghakimannya selepas tertuduh sebelum ini membuat pengakuan bersalah.

Mengikut fakta kes, Abang Ibrahim yang menghadapi tuduhan pilihan didakwa membunuh Taufik di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sadong Jaya, Kota Samarahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 15 Januari 2011.

Sebelum kejadian, tertuduh pada jam 12.30 tengah hari, hari sama dikatakan bertemu mangsa di sebuah kedai di Kampung Sadong Jaya bagi berbincang mengenai kes kecurian motosikal.

Perbincangan itu berlangsung kira-kira sejam apabila mangsa menuduh tertuduh terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal.

Bagaimanapun, setengah jam kemudian, mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat hingga mengundang kemarahan tertuduh.

Kemarahan itu menyebabkan tertuduh mengambil kayu lalu menghayun dan terkena bahagian belakang kepala menyebabkan mangsa terjatuh.

Tertuduh menghayun kali kedua dan hayunan itu menyebabkan mangsa terus tidak bergerak.

Keadaan itu menyebabkan tertuduh panik sebelum mencampakkan kayu digunakan dalam kejadian itu ke kawasan hutan nipah berhampiran.

Tertuduh mengambil cangkul untuk menggali lubang di belakang rumahnya bagi menanam mayat mangsa yang sudah meninggal dunia.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili Abdul Rahman Mohd Hazmi.

myMetro 21 Apr 2012


‘Saya tak maafkan dia’ 

KUCHING: “Saya tidak dapat memaafkan perbuatannya hingga kami kehilangan seorang anak. Kami sekeluarga masih bersedih kerana kejadian itu hanya berlaku tahun lalu,” kata seorang bapa, Abdul Rahim Hasan, 42, selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Abang Ibrahim Abang Ahmad, 20, selepas mengaku bersalah membunuh anaknya, Taufik, 15.

Dia yang tiba di mahkamah kira-kira jam 2.30 petang ditemani keluarga terdekat, bagaimanapun reda dengan keputusan mahkamah walaupun pada awalnya menjangkakan hukuman lebih berat dikenakan terhadap tertuduh.

“Saya terima keputusan mahkamah, tetapi saya tidak akan memaafkan dia. Sebagai bapa, saya masih bersedih dengan kejadian menimpa anak saya memandangkan ia baru berlaku tahun lalu.

“Kalau anda di tempat saya, akan tahu bagaimana perasaan saya alami,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Yew Jeng Kie membuat keputusan itu.

Bagaimanapun, Yew memanggil tertuduh dan Abdul Rahim memasuki biliknya sebelum kedua-dua mereka keluar, kira-kira setengah jam kemudian.

Abang Ibrahim mulanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh sebelum dikenakan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) didakwa menyebabkan kematian Taufik di sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya, Kota Samarahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 15 Januari tahun lalu.

myMetro 21 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment