December 19, 2010

SMS akhir


BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.

Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.

Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

“Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

“Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.

“Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokannya,” katanya.

Menurutnya, selain membuat laporan polis bapa arwah menghubungi beberapa rakan dan salah seorang daripada mereka memberitahu, arwah sempat menghantar SMS mengatakan dia akan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana arwah tidak sempat memberitahu lokasi dia berada.

“Kami hanya tahu arwah berada di kebun sejauh kira-kira 100 meter dari rumah apabila sepasukan polis datang ke kawasan itu jam 5 petang kelmarin,” katanya.

Mak cik mangsa, Arina Syairah Muhammad Fauzi, 18, berkata dia bermimpi arwah bergelut dengan lelaki selama tiga malam berturut-turut, sebelum diberitahu arwah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kebun kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa Jumaat lalu sebelum pergi ke Kuala Lumpur bersama rakan sekolah.

Menurutnya, bermula Ahad hingga Selasa, dia bermimpi arwah yang memakai kemeja-t berwarna merah jambu, bergelut dengan lelaki menyebabkannya bimbang dan menghubungi arwah pada Selasa lalu.

“Kali terakhir kami berbual, saya dapati dia ceria seperti biasa menyebabkan saya tidak menyangkakan apa-apa kejadian buruk akan berlaku terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya diberitahu dia hilang sejak Rabu lalu seolah-olah mengiyakan mimpi buruk yang saya alami itu, sebelum ditemui meninggal dunia Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rapat sejak kecil tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terhadap mangsa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memberkas penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bapa mangsa membuat laporan polis kehilangan anak perempuan berusia 14 tahun Khamis lalu dan sepasukan polis menyiasat aduan berkenaan.

“Bagaimanapun, tengah hari kelmarin suspek berusia 15 tahun datang ke balai polis membuat laporan mengatakan dia melihat satu pembunuhan dilakukan seorang rakannya, di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, menyebabkan kami menahan suspek kedua berusia 16 tahun itu.

“Namun, hasil siasatan mendapati suspek pertama turut terbabit sebelum kami dibawa ke lokasi pembunuhan dan menemui mangsa pada kira-kira jam 5 petang kelmarin,” katanya.

myMetro
19 Dis 2010


Dua ditahan kes bunuh Siti Mazni

BATU PAHAT: Polis menahan dua remaja selepas disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di mana mayatnya ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata suspek berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan selepas salah seorang daripadanya membuat laporan berhubung kejadian itu mendakwa dia menyaksikan rakannya membunuh mangsa di kebun berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kes pembunuhan itu. Hasil soal siasat, mereka kemudiannya membawa polis ke satu lokasi di kebun sawit di mana mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5 petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Adnan berkata, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dipercayai dibunuh di kebun sawit terbabit Rabu lalu berdasarkan laporan kehilangannya.

Difahamkan, mangsa ditikam menggunakan objek tajam kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum diheret ke dalam kebun terbabit.

"Mayat mangsa ditemui tersembunyi di bawah timbunan daun kelapa sawit dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu kesan tikaman pada badan mangsa. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk dibedah siasat," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk menjalankan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek. Dengan penangkapan dua suspek terbabit, polis percaya kes ini selesai," katanya.

Siti Mazni, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra dilaporkan hilang selepas berjumpa rakannya Rabu lalu.

Sementara itu, nenek mangsa, Mailiah Idris, berkata kehilangan Siti Mazni dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila beliau mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

"Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

"Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan saya menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.

"Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokan harinya," katanya.

Berita Harian
19 Dis 2010


Siti Mazni dikelar di leher, ditikam 3 kali

BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam di Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, Jumaat lalu, dikelar di leher dan ditikam tiga kali di bahagian depan badan.

Pendedahan itu dibuat bapa Siti, Abdul Rahman Hassan, 40, kepada Pengerusi Jawatan kuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Keluarga Johor, Dr Robiah Kosai yang melawat rumahnya semalam.

“Hasil bedah siasat mendapati kesan kelar di leher selain tiga luka dipercayai kesan tikaman di depan badannya.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu maklumat lanjut kerana sibuk menguruskan jenazah untuk dibawa pulang dan dikebumikan,” katanya.

Siti yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra dilaporkan hilang selepas bertemu rakan, Rabu lalu. Mayatnya ditemui tertiarap dan berlumuran darah serta disembunyikan di bawah himpunan pelepah sawit di kebun kelapa sawit kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Kakak angkat arwah, Haizatul Farhalena M Azman, 16, berkata dia terkejut kerana petang Rabu lalu, sebelum kejadian, dia terserempak mangsa di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun, kami hanya berbalas senyuman, ketika itu Siti memakai baju-T merah jambu, pakaian sama ketika mayatnya ditemui polis.

“Saya tidak sangka kejadian tragis ini akan berlaku. Sepanjang perkenalan, dia periang serta sentiasa tersenyum,” katanya.

Rakan arwah, Haizatul Alia Selamat, 14, berkata, dia pada mulanya tidak percaya apabila dimaklumkan berkaitan kematian Siti.

“Di kalangan rakan, kami tahu arwah dan seorang daripada suspek berkawan rapat, namun kami dapati sejak kebelakangan ini persahabatan mereka sedikit renggang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon ketika dihubungi berkata, pihaknya menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa raya tidak lama lagi.

“Kami menganggap kes selesai dengan penahanan dua suspek Jumaat lalu serta penemuan mayat, bagaimanapun, kami belum memastikan punca kematian kerana masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

myMetro
20 Dis 2010


Bapa mahu hukuman pesalah juvana dipinda

BATU PAHAT: Bapa mangsa pembunuhan kejam, Siti Mazni, 14, yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lalu, meminta kerajaan meminda hukuman pesalah juvana bagi mengelak kejadian sama berulang.

Abdul Rahman Hassan, 40, berkata remaja berusia bawah 18 tahun ketika ini dilindungi Akta Kanak-Kanak menyebabkan pesalah juvana dikecualikan daripada hukuman berat seperti gantung sampai mati.

“Bagaimanapun, jika pesalah juvana terus dikecualikan hukuman berat terutama apabila melakukan kesalahan serius seperti membunuh dan merogol, tidak wajar pengecualian itu diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mengulas pembunuhan itu, Abdul Rahman berkata, dia reda dengan pemergian anaknya, tetapi masih sukar menerima cara kematian Siti.

“Saya minta pelakunya dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Sebelum ini, hanya mereka berusia di atas 18 tahun dikenakan hukuman berat menyebabkan ada remaja jadi tidak bertanggungjawab kerana sedar hukuman tidak setimpal.

“Ketika ini, remaja bawah 18 tahun jika masuk ke rumah dan bunuh orang, semuanya berfikir akan dihantar ke sekolah pemulihan akhlak, tetapi jika mereka dijatuhkan hukuman berat, mereka akan takut melakukan jenayah,” katanya.

Abdul Rahman yang terlalu sedih menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Memang benar remaja belum matang membuat keputusan, tetapi kesalahan serius seperti merogol dan membunuh, takkan tidak boleh berfikir kerana bukan mudah melakukannya,” katanya.

myMetro
20 Dis 2011


Father of murdered girl wants those responsible punished

Mourning family: Dr Robia (right) consoling Abdul Rahman and his wife Arinella Hasnizam over the tragic death of their eldest daughter Siti Mazni (inset) at their house at Kampung Parit Ju Darat here in Batu Pahat, Johor Sunday. With them are Abdul Rahman and Arinella’s other children.

BATU PAHAT: The father of the 14-year-old girl who was found stabbed to death on Friday wants justice for his eldest daughter.

Businessman Abdul Rahman Has­san, 40, who was still in shock since the discovery of Siti Mazni’s body some 100m from their home in Kampung Parit Ju Darat, hoped those responsible for her death would be severely punished.

“She was taken from us in a most heartbreaking way.

“I accept that this is God’s will, but I want the murderers to get what they deserve,” he sobbed when met yesterday.

Abdul Rahman hoped the suspects, aged 15 and 16, would be tried as adults so they could be appropriately punished.

“I do not want other parents to experience what my family and I went through.

“Hopefully, they (the suspects) will receive a harsh punishment as a warning to other youngsters who think they can get away with murder because of their young age,” he said.

Siti Mazni went missing on Wednesday after telling her family that she was meeting someone.

Her body was discovered at 5pm on Friday.

Prior to the discovery of her body, Abdul Rahman had received a SMS sent by Siti Mazni stating that her life was in danger.

Siti Mazni was believed to have sent the SMS to her friend, who forwarded the message to Abdul Rahman.

Police have detained two secondary school boys in connection with the murder.

Siti Mazni’s friend, Haizatul Alia Selamat, 14, said the victim had been seeing the one of the suspects for a few months.

“They had been dating for a few months before breaking up in October.

“I never thought such a horrible thing would happen to her,” she said.

State Women, Family, Health and Community Development Commit­tee chairman Dr Robia Kosai, who visited the family yesterday, said the state Welfare Department would send counsellors to help the family get through the traumatic experience.

Dr Robia said this was a special case and the implications were very worrying as it involved a young victim and teenage suspects.

Batu Pahat deputy OCPD Supt Adnan Azizon said revenge could be the motive behind the murder of Siti Mazni.

“Post-mortem results showed that the victim died due to loss of blood and head trauma after being stabbed a couple of times,” he said.

Supt Adnan urged anyone with information to contact the police hotline at 07-2212999 or the nearest police station.

The Star
20 Dec 2010


Bunuh: Lelaki, anak tiri tangkapan terbaru

JOHOR BAHRU 20 Dis. - Polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan anak tirinya berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Mazni Abdul Rahman, 14, di Kampung Parit Ju Darat, Parit Sulong, Batu Pahat yang ditemui Jumaat lalu.

Lelaki berkenaan ditahan di Kampung Tebing, Tongkang Pecah pukul 8.45 malam semalam, selepas polis menahan anak tirinya di Kampung Parit Singgahan, Seri Medan pukul 6.45 petang hari yang sama.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penahanan kedua-dua suspek terbaru itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai lima orang.

"Tiga suspek remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun yang ditahan Jumaat lalu kini ditahan sehingga 24 Disember, manakala dua suspek terbaru ditahan reman hingga 27 Disember ini.

"Kita percaya penahanan kelima-lima suspek ini dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan penemuan mayat Siti Mazni dalam kebun kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Parit Sulong, Batu Pahat pada Jumaat lalu selepas dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu.

Mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya 'disorok' dalam ladang berkenaan.

Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan ketiga-tiga remaja berkenaan di sekitar Batu Pahat.

Mohd. Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat untuk melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya secepat mungkin.

Utusan
21 Dis 2010


Tiga senjata bunuh pelajar ditemui

BATU PAHAT - Siasatan polis mendapati tiga jenis senjata digunakan dalam pembunuhan seorang pelajar perempuan yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit, di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata senjata berkenaan merupakan sebilah parang, sebilah pisau lipat dan satu buku lima serta dua guni dipercayai digunakan suspek bagi melakukan jenayah tersebut.

"Kesemua barangan itu ditemui dalam serbuan polis terhadap salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan Jumaat lepas.

"Polis turut menemui telefon bimbit milik mangsa di dalam rumah salah seorang suspek berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga pelajar perempuan berkenaan di Kampung Parit Ju Darat, di sini semalam.

Kosmo
21 Dis 2010


2 remaja didakwa

BATU PAHAT 30 Dis. - Dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan Dua, Siti Mazni Abdul Rahman yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

Kedua-duanya didakwa membunuh Siti Mazni, 14, di Ladang Kelapa Sawit Kampung Parit Ju Darat, Parit Sulong pada pukul 4.30 petang, 15 Disember lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menetapkan 23 Februari ini untuk tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz

Sementara itu, tiga suspek lain iaitu dua remaja berusia 14 tahun dan seorang lelaki berumur 44 tahun dibebaskan dengan jaminan bon RM50,000 setiap seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Pekarangan mahkamah berkenaan turut dipenuhi keluarga tertuduh yang sebelum itu dibawa ke mahkamah menaiki van khas berwarna putih.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan penemuan mayat Siti Mazni di kebun kelapa sawit kira-kira 100 meter dari rumahnya pada 17 Disember lalu selepas dilaporkan hilang tiga hari sebelum itu.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah itu ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang dalam ladang berkenaan.

Utusan
31 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment