December 19, 2010

Nafsu pelik suami

KUALA LUMPUR: Malang bagi satu pasangan suami isteri apabila rumah tangga yang pada mulanya aman damai kini bergolak hanya kerana situasi janggal - si suami mempunyai selera pelik ketika bersama.

Mana tidaknya, si isteri yang inginkan dirinya dibelai dengan kasih sayang dan sentuhan manja, sebaliknya diratah suami yang lebih berselera melihat isteri disakiti.

Itulah nasib malang menimpa Niza, 26, yang tidak tahan dengan kelakuan suami, Ramli, 26, seolah-olah beraksi dalam filem lucah ganas mat saleh.

Ada kalanya Ramli mengikat Niza di katil sambil memukul atau setidak-tidaknya mencubit bahagian tertentu tubuhnya. Bahkan, pernah juga suaminya itu memasukkan sesuatu pada kemaluan isterinya untuk mendapat rangsangan seks.

Selepas hampir dua tahun diperlakukan begitu dan dikurniakan seorang cahaya mata, Niza akhirnya nekad melarikan diri untuk pulang ke pangkuan keluarganya yang menetap di sekitar Gombak, dekat sini, pada Oktober lalu.

Niza berkata, dia sudah kerap menasihati suami supaya tidak melayannya sedemikian rupa, tetapi ia tidak pernah bertahan lama.

“Lama kelamaan dia akan mengulanginya semula. Sebab itu, saya tidak dapat bertahan lagi.

“Sebagai isteri, saya hanya mahu dia (suami) melayan saya sebagaimana isteri normal yang lain. Jika berterusan begini, saya rasa cukup terseksa,” katanya.

Menurut Niza, pada mulanya dia hanya mahu untuk mengasingkan diri bersama suami buat sementara waktu dan tinggal bersama keluarga namun apabila memikirkan suami yang mungkin tidak akan berubah, dia mengambil keputusan untuk bercerai.

“Keluarga sering bertanya dan mendesak, apa masalah saya dengan suami. Saya beritahu mereka kami berkelahi dan hanya mendiamkan diri jika ditanya puncanya.

“Saya malu untuk memberitahu perkara yang sebenarnya. Bagaimanapun, selepas nekad untuk berpisah dengan suami, akhirnya saya terpaksa jelaskan semuanya pada ibu saya,” katanya.

Niza berkata, keluarga menghalang keputusannya untuk bercerai dan mereka mahu perkahwinan mereka diselamatkan.

Katanya, mulanya dia buntu untuk menyelamatkan rumah tangga mereka kerana tidak sanggup menerima layanan buas suaminya lagi.

“Ayah menjelaskan pada saya suami mungkin boleh berubah jika dirawat.

“Mulanya, saya kurang yakin bagaimana soal yang membabitkan hubungan seks dan nafsu begini boleh dirawat.

“Namun selepas memikirkannya dengan keadaan waras, apa salahnya untuk mencuba. Lagi pula, suami tidak membantah dan bersedia untuk mendapatkan rawatan jika perlu demi menyelamatkan rumah tangga kami,” katanya.

Kini, Ramli dibawa mendapatkan rawatan secara Islam bagi membuangkan selera pelik yang membelenggu dirinya ketika bersama dengan isteri.

Ketika ditemui, Ramli tidak menafikan dia suka menyakiti isterinya ketika berasmara semata-mata untuk mendapatkan kepuasan.

“Jika tidak berbuat demikian, saya tidak akan berasa ghairah. Bagaimanapun, saya tahu dia (Niza) tidak suka saya buat dia begitu.

“Masalahnya, sukar pula untuk saya mengawal diri. Jadi keputusan untuk mendapatkan rawatan begini mungkin adalah jalan terbaik untuk saya, lagi pula saya sangat menyayangi isteri dan tidak mahu berpisah dengannya,” katanya.

Ramli berkata, dia nekad untuk mengubah sikapnya dan berharap hubungan mereka suami isteri berkekalan.

Sehubungan itu, katanya, dia akan membuang sikap buruknya yang ada kala gemar menonton filem lucah ganas dan pelik, selain cuba bersikap normal kepada isteri ketika bersama.

“Saya difahamkan juga ada kemungkinan nafsu pelik yang saya miliki ini adalah disebabkan keturunan atau saka. Saya tidak pasti mengenainya, tetapi tidak salah berubat.

“Saya sedar apa yang saya lakukan pada isteri tidak patut sebagai seorang yang beragama Islam. Saya sepatutnya melayan dan membelai dia dengan baik.

“Saya bersyukur, isteri masih memberi peluang kepada saya. Begitu juga dengan keluarga yang ambil berat dan cuba menyelamatkan rumah tangga kami,” katanya.

myMetro
19 Dis 2010


Waris saka keluarga

KUALA LUMPUR: Nafsu buas Ramli, 26, yang hanya ghairah bersama isteri dengan perlakuan seks ganas dan pelik boleh dianggap sebagai satu penyeksaan terhadap pasangannya.

Menurut Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Ustaz Mohd Suhaimi Rozali, apa yang dilakukan Ramli terhadap isterinya itu tidak mustahil disebabkan keturunan atau saka yang diwarisi daripada keluarga.

Suhami berkata, jika suami berkelakuan demikian ia boleh dikategorikan sebagai sakit jiwa dan wajar mendapatkan rawatan bagi mengubah sikap buas lelaki berkenaan ketika melakukan hubungan seks. “Ia boleh dianggap melayan isteri seperti binatang, dan perbuatan begini ditegah sama sekali dalam Islam kerana membuatkan pasangan mereka terseksa.

“Dalam hal begini jiwa mereka perlu dirawat, supaya mereka (suami) boleh bersikap waras untuk memberi layanan yang wajar kepada isteri mereka, selain ingin mendapatkan keghairahan semata-mata,” katanya.

Daripada pengalaman Suhaimi, punca suami yang gemar melakukan seks ganas begini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu disebabkan nafsu semata-mata, jiwa mereka dan gangguan daripada sihir atau saka. Katanya, apa yang menjadi masalah jika ia membabitkan dorongan nafsu kerana tiada ubat dapat merawatnya melainkan lelaki itu sendiri mahu berubah.

“Masalah ini menjadi sukar memandangkan ia akan membuat lelaki berkenaan ketagih, malah jika dibiarkan mungkin mereka akan bertindak lebih ganas daripada sebelumnya. “Ada kala juga suami tidak sedar apa yang dia lakukan itu sebenarnya satu penyeksaan buat pasangan mereka, dalam hal ini isteri tadi boleh mengambil tindakan kerana mereka berhak,” katanya.

Bagi Suhaimi, cara terbaik menangani masalah ini, selain mendapatkan rawatan secara Islam, pegangan agama dan iman juga perlu dikukuhkan.

“Cari panduan agama untuk mendapat manfaat dan berkat daripada hubungan suami isteri, bukannya didorong dengan keghairahan serta nafsu.

“Ini tidak, ada yang sanggup menggunakan sihir dan ubat-ubatan untuk melakukan hubungan kelamin bersama isteri, kononnya untuk dapat bertahan lama dan mendapat kepuasan. Itu cara yang tidak betul,” katanya.

myMetro
19 Dis 2010


Gangguan mental

KUALA LUMPUR: Suami berselera pelik dan hanya ghairah melihat isteri menderita kesakitan ketika bersama adalah satu penyakit mental yang berbahaya dan sewajarnya memerlukan rawatan.

Presiden Persatuan Psikiatri dan Mental Asean, Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata, dalam terma dan ungkapan moden ia boleh dipanggil sebagai penyakit sadistik, atau sadomasochism yang merujuk kepada gangguan psikologi dan mental terhadap perhubungan seks ganas.

“Penyakit ini boleh saja berlaku sama ada untuk lelaki mahupun perempuan, mereka gemar memukul, merantai dan mencederakan pasangan mereka untuk menikmati kepuasan (seks). “Mereka perlu dirawat dan jalan terbaik adalah mendapat khidmat kaunseling dan psikoterapi. Namun bukan mudah merawat penyakit yang membabitkan mental dan emosi ini, tetapi rawatan mesti dilakukan juga,” katanya.

Menurut Hussain, individu yang menderita akibat perlakuan sadomasochism ini sebenarnya adalah satu perbuatan penderaan terhadap pasangan mereka.

Katanya, mana-mana individu yang terseksa akibat perlakuan seks ganas ini berhak mendapatkan pengadilan dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Sadomasochism akan menjadi satu kesalahan jika pelaku melampaui batas hingga mencederakan pasangan mereka. Dengan itu, individu yang menderita akibat perlakuan seks begini boleh membuat pendakwaan.

“Bagaimanapun, jika masih boleh dirawat, maka rawatan lanjut perlulah dilakukan. Ini kerana kadangkala pelaku itu sendiri tidak menyedari tindakan mereka itu adalah salah,” katanya.

Hussain menjelaskan, ada banyak faktor yang menyebabkan individu boleh mengalami sadomasochism, sama ada faktor pengalaman silam seperti penderaan ataupun pengaruh media dan bahan lucah seperti paparan video.

“Terapi mental adalah langkah terbaik, sama ada kaunseling dan psikoterapi untuk memulihkan mental mereka,” katanya.

Menyingkap pengalamannya berhadapan kes begini, Hussain berkata pada awal 1980-an ramai isteri mengalami masalah ini tetapi tidak berani tampil mengemukakan masalah mereka kerana malu.

“Kes yang saya temui kebanyakan secara kebetulan apabila merawat pesakit yang terdapat kesan lebam pada bahagian tertentu. Saya dapati, ramai di kalangan wanita tidak menyedari mereka sebenarnya didera secara fizikal dan mental.

“Kini, ramai yang berani tampil untuk menyatakan masalah mereka ini dan ia cukup baik. Wanita juga perlu sedar gangguan sadomasochism yang dialami adalah satu kesalahan serius yang membabitkan mental,” katanya.

myMetro
19 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment