December 12, 2010

OKU kecewa

KOTA BHARU: Biarpun insiden malang tahun lalu menyebabkan kecacatan kekal pada sebelah matanya, ia tidak menghalang Muhammad Huzaifah Mohd Nor, 20, meneruskan kehidupannya seperti pemuda lain.

Baginya, yang membezakan dirinya hanya mata kanan palsu yang digunakan setiap hari selepas buta akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata ketika rusuhan perlawanan bola sepak pada 7 April lalu.

Menurut Muhammad Huzaifah, mata palsu yang digunakannya memerlukan penjagaan teliti bagi mengelak komplikasi.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan pergerakannya lebih terhad apabila terpaksa mencuci mata palsu itu setiap dua jam.

“Jika di rumah, saya tidak pakai mata palsu kerana bimbang bernanah akibat berpeluh. Memang cerewet kerana ia terlalu sensitif.

“Jika berada di tempat kerja, saya terpaksa mengambil masa untuk mencuci mata palsu. Selain itu, saya menggunakan ubat mata khas yang dibeli dari klinik berhampiran,” katanya.

Dia yang menamatkan kursus sijil penyejuk bekuan dan penyaman udara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) tahun lalu kini bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sebanyak RM650 sebulan di Demit, Kubang Kerian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pemuda itu mengalami kecederaan teruk, termasuk kornea mata pecah apabila tiba-tiba terkena kelongsong yang dipercayai dilepaskan polis bagi meleraikan rusuhan di luar Stadium Sultan Muhammad IV.

Berikutan itu dia memfailkan tuntutan sebanyak RM10 juta di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap tiga defendan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian.

Sementara itu, Muhammad Huzaifah berkata, dia kecewa kerana permohonan mendapat elaun bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak diluluskan.

Katanya, dengan elaun itu dia berharap dapat menampung kos ubat mata sekitar RM100 hingga RM150 sebulan.

“Saya sudah diberikan kad Orang Kurang Upaya (OKU) tahun lalu dan kakitangan JKM memaklumkan saya layak mendapat elaun itu dengan syarat mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan berpendapatan bawah RM1,200.

“Selepas membuat permohonan, ia ditolak atas alasan saya tidak dianggap OKU kerana buta sebelah mata, selain kad terbabit boleh ditarik balik,” katanya.

myMetro
12 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment