December 12, 2010

Buka minda

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini harus membuka minda dengan turut memberi bantuan kepada anak yatim bukan Islam kerana langkah ini diyakini boleh mendatangkan gambaran baik dan meningkatkan rasa hormat orang lain terhadap agama Islam.

Penaung Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia langkah penting untuk mendekati orang bukan Islam supaya mereka lebih faham dan hormat kepada agama Islam, terutama bagi negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

Menurutnya, apabila orang bukan Islam berbuat kebajikan ia tidak membeza-bezakan penerima manfaatnya, contohnya sekolah yang ditubuhkan penganut Kristian terbuka kepada semua pelajar, termasuk anak orang Islam, dan pendekatan itulah yang seharusnya ditiru untuk meningkatkan imej agama Islam.

“Peruntukan mungkin lebih banyak untuk anak yatim Islam, tetapi anak yatim bukan Islam juga perlu dibantu. Sama ada mereka mahu terima (peluk) Islam atau tidak, bukanlah penghalang untuk kita memberi bantuan; sekurang-kurangnya kita beri peluang kepada mereka mengenali Islam.

“Hari ini Islam dihina dan tidak mampu dipertahankan sebab umatnya lemah, tidak ikut ajaran Islam seperti sepatutnya.

“Kita hanya tumpukan pada ibadat tertentu seperti fardu ain yang kebaikannya adalah untuk diri sendiri dan kita lupa fardu kifayah (untuk masyarakat) juga dituntut.

“Kalau fardu kifayah dilaksanakan, kita dapat menyelamatkan masyarakat dan dapat membuktikan Islam adalah agama yang baik; penganutnya adalah orang baik-baik juga.

“Fardu kifayah ini termasuk menjaga dan memelihara anak yatim,” katanya pada perasmian sambutan ulang tahun Peyatim ke-20, di sini, semalam. Hadir sama, Presiden Peyatim, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor dan 18 pertubuhan anak yatim dari Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Filipina.

Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa Bersatu, jumlah anak yatim di Malaysia kini 140,000 orang dan kumpulan ini perlu diberikan bantuan sama ada peluang belajar atau kemahiran.

myMetro
12 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment