November 16, 2010

Mangsa bunuh tidak terus mati

ALLAHYARHAMAH FAZLINA

SHAH ALAM – Fazlina Ahmad yang mayatnya ditemui dalam almari pakaian di rumahnya di Taman Pinggiran Ukay, Ampang pada 2009 berkemungkinan masih hidup ketika mulut dan hidungnya ditekup menggunakan pita pelekat oleh suaminya.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Khairul Anuar Zainun dalam keterangannya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, kesan daripada tindakan ditekup tersebut tidak menyebabkan eksekutif di sebuah syarikat swasta itu mati secara serta-merta.

“Saya berpendapat kematian Fazlina tidak berlaku dengan serta-merta. Kesan ditekup dan cedera yang dijumpai mendapati terdapat sedikit masa mangsa masih hidup semasa tekupan berlaku.

“Mangsa mungkin mati antara setengah hingga satu minit selepas kejadian mangsa ditekup itu berlaku,” kata Khairul yang memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap Mohafri Mohamed yang dituduh membunuh isterinya, Fazlina.

Kosmo
16 Nov 2010


Mayat isteri dalam almari: suami dakwa almari roboh

SHAH ALAM – Pembantu rumah kepada wanita yang mati dipercayai dibunuh dan mayatnya disumbat dalam almari mengatakan, suami mangsa tidak membenarkan dia masuk ke bilik kerana almari pakaian sudah roboh.

Rakan mangsa, Safiyaton Omar, 39, berkata, pembantu rumah dikenali dengan nama ‘Yayok’ itu turut memberitahunya, majikannya juga tidak membenarkan dia menyapu sampah, mop lantai selain melihat barang dalam almari itu sudah dikeluarkan dan dimeterai dengan pita pelekat.

Safiyaton memberi keterangan demikian dalam perbicaraan kes seorang bekas pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed yang dituduh membunuh isterinya, Fazlina Ahmad di rumahnya, Taman Pinggiran Ukay, Ampang pada 30 Disember tahun lalu.

Mohafri, 38, didakwa membunuh Fazlina, 39, antara jam 5 dan 10.30 pagi. Mayat eksekutif wanita itu ditemui dalam almari pakaian.

Safiyaton memberi keterangan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Menurut saksi itu, pembantu rumah mangsa turut memberitahunya, bahawa Mohafri berpesan kepadanya supaya tidak masuk campur hal dia dan isteri.

Safiyaton berkata, berdasarkan apa yang diberitahu pembantu rumah itu, dia mengesyaki sesuatu seolah-olah terdapat rahsia yang mahu disembunyikan di rumah mangsa lalu dia membuat laporan polis.

Semasa disoal balas peguam Mohafri, Hisham Teh Poh Teik, Safiyaton yang bekerja sebagai pegawai undang-undang menafikan ada hubungan intim dengan Fazlina.

Sinar Harian
16 Nov 2010


Lakukan seks 'bersaksi' mayat

Mohafri Mohamed yang dituduh membunuh isterinya Fazlina Ahmad diiringi anggota polis selepas perbicraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

SHAH ALAM – Saksi pendakwaan kelima yang juga kekasih kepada Mohafri Mohamed, 38, tertuduh yang didakwa membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, 39, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, mereka mengadakan hubungan seks di dalam bilik di rumah tertuduh tempat mayat wanita itu ditemui dalam almari pakaian.

Sebelum itu, saksi Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, dalam keterangannya berkata, dia dijemput Mohafri, 38, di Hentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur sebaik tiba dari Parit Buntar, Perak pada pukul 5 petang, 30 Disember 2009.

Cerita saksi itu, dia yang mengenali tertuduh ketika bekerja di Tropicana Medical Centre, Petaling Jaya tahun 2009 datang ke Kuala Lumpur pada hari itu kerana merancang untuk berkahwin di sempadan Thailand selepas hubungan mereka dihalang oleh bapanya.

Nazratul Annis berkata, dia bersetuju untuk berkahwin dengan Mohafri selepas tertuduh mengaku dia sudah menceraikan isterinya.

Dari Hentian Bas Jalan Duta, Mohafri membawanya ke sebuah rumah di Ampang dekat sini.

“Saya naik ke bilik tidur di tingkat atas untuk menggunakan tandas sebelum tertuduh mengajak saya melakukan hubungan seks,” katanya di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Nazratul Annis yang kini bekerja sebagai pelatih pengurusan di Pulau Pinang memberi keterangan terhadap Mohafri yang didakwa membunuh isterinya, Fazlina yang mayatnya disumbat ke dalam almari pakaian di rumahnya dalam keadaan hidung dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Kosmo
30 Nov 2010


Bunuh isteri: Tertuduh lakukan seks berhampiran mayat

SHAH ALAM 29 Nov. - Seorang saksi dalam kes pembunuhan eksekutif wanita, Fazlina Ahmad mengaku mengadakan hubungan seks dengan tertuduh, Mohafri Mohamed ketika mayat mangsa masih berada di dalam almari berhampiran, pada hari kejadian.

Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, mereka melakukan hubungan intim di atas katil di bilik tidur utama di rumah kekasihnya itu kira-kira pukul 5.30 petang, 30 Disember 2009.

Kata saksi pendakwaan kelima itu, kejadian tersebut berlaku beberapa jam sebelum mereka berdua menaiki kereta api di KL Sentral menuju ke Perlis untuk berkahwin lari di Thailand.

''Selepas keluar dari bilik air, Mohafri masuk ke bilik air. Dia kemudian mengajak saya melakukan hubungan seks. Mulanya saya tidak mahu tetapi dia kata sekejap sahaja.

''Dia tolak saya ke atas katil dalam keadaan mengadap ke bilik air. Kami ada menggunakan kondom pada masa itu,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Dalam kes ini, bekas pengurus syarikat katering, Mohafri, 38, didakwa membunuh isterinya, Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Dia dibicara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut Nazatul Annis, dia berkenalan dengan Mohafri yang mengaku sudah bercerai semasa sama-sama bekerja di Pusat Perubatan Tropicana pada tahun lalu dan merancang untuk berkahwin di Thailand apabila hubungan mereka tidak direstui ibu bapanya.

Pada hari kejadian, wanita itu mendakwa menaiki bas dari Parit Buntar, Perak pada pukul 1 tengah hari dan tiba di Perhentian Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 5 petang sebelum dijemput Mohafri dan dibawa ke rumahnya di Pinggiran Ukay, Ampang.

''Saya tanya kereta Toyota Vios siapa ada di hadapan rumah. Mohafri kata ia kepunyaan sepupunya yang pergi ke Kuantan. Saya juga tanya di mana anak-anak dan pembantu rumah. Dia kata Fazlina bawa mereka ke Pulau Pinang.

''Semasa saya di ruang tamu, dia kerap berulang-alik naik turun tangga dari tingkat atas rumah. Ketika di bilik tidur utama, dia sentiasa berada di laluan sebelah kiri saya seolah-olah cuba menghalang saya daripada melihat sesuatu. Saya juga tidak nampak jelas kerana tidak memakai cermin mata,'' jelasnya.

Menurut saksi, selepas mengadakan hubungan seks, dia terdengar bunyi loceng rumah dan diberitahu oleh Mohafri ada seorang polis wanita datang untuk berjumpa pembantu rumahnya, Yayok.

Mohafri bagaimanapun enggan membuka pintu rumah kerana Yayok didakwa tidak memiliki pasport dan tidak lama selepas itu, lelaki tersebut menyuruh kekasihnya itu menaiki kereta bersama abangnya, Hanafi.

Mereka kemudian menuju ke KL Sentral dan menaiki kereta api ke Perlis pada pukul 8.15 malam sebelum turun di Rawang kira-kira 45 minit kemudian.

''Mohafri beritahu dia perlu buat laporan polis tentang kehilangan Fazlina dan menyuruh saya balik semula ke Kuala Lumpur seorang diri. Saya naik komuter dan menunggu kawan saya, Wan dari Sungai Buloh datang menjemput.

''Pada malam itu, Wan bawa saya ke rumah Mohafri untuk mengambil beg pakaian saya. Apabila sampai, rumah telah dikelilingi pihak polis. Wan keluar dari kereta untuk bertanya dan diberitahu ada kes suami bunuh isteri,'' katanya lagi.

Sementara itu, kakak mangsa, Faizah Ahmad, 47, pula berkata, Fazlina pernah mengadu menghadapi masalah rumah tangga kerana suaminya menjalinkan hubungan dengan orang ketiga dan berhasrat untuk bercerai.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jururawat bercakap dengan mangsa untuk kali terakhir pada pukul 5 pagi hari kejadian apabila Fazlina menghubunginya dan meminta mengambil cuti kecemasan bagi menghantar bapa mereka ke hospital.

''Sebelum keluar ke tempat kerja pada pagi itu, saya ada cuba menghubungi Fazlina untuk memberitahu saya tidak dapat hantar bapa, tetapi adik saya akan berbuat demikian. Tetapi dia tidak dapat dihubungi,'' jelasnya.

Ketika diminta mengecam gambar-gambar Fazlina, saksi tidak dapat menahan kesedihan. Dia dilihat mengesat air mata menggunakan tisu yang diberikan oleh jurubahasa mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung pada 13 Januari ini.

Utusan
30 Nov 2010


Tertuduh diam ketika ditahan

SHAH ALAM 28 Jan. - Lelaki yang didakwa membunuh eksekutif wanita, Fazlina Ahmad pada Disember dua tahun lalu ditahan oleh pihak polis dengan disaksikan ahli keluarganya selepas empat hari mayat isterinya ditemui di dalam almari pakaian.

Inspektor Mohd. Fadzli Mohd. Yatim semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, Mohafri Mohamed hanya berdiam diri di tempat duduk belakang kereta Honda CRV ketika dia ditahan di hadapan Zoo Negara, Hulu Klang, pada 3 Januari tahun lalu.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor Pencegahan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjelaskan, kereta itu dipandu adik ipar Mohafri, Mohd. Saman Mohd. Ishak manakala beberapa ahli keluarga tertuduh turut berada di sekitar kawasan tersebut.

''Saya hanya diberi maklumat (di mana tertuduh berada) oleh pegawai polis yang turut hadir semasa penahanan tersebut. Beliau juga memperkenalkan saya kepada ahli keluarga tertuduh yang menunggu di situ.

''Selepas itu, pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang berada di tempat duduk belakang dilakukan dan dia memberi pengenalan secara lisan dengan memberitahu namanya Mohafri Mohamed,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Dalam kes ini, Mohafri, 38, bekas pengurus syarikat katering didakwa membunuh isterinya, Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd. Fadzli, 44, yang kini bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Langkawi, Kedah bagaimanapun menafikan menerima panggilan daripada bapa saudara Mohafri yang memaklumkan bahawa tertuduh ingin menyerah diri.

Menjawab soalan peguam Hisyam Teh Poh Teik, beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa telefon bimbit yang dikatakan dirampas olehnya daripada Mohafri sebenarnya diserahkan oleh adik tertuduh, Mohd. Hanafi.

Sementara itu, Mohd. Hanafi, 35, semasa menyambung keterangannya memberitahu, dia mengetahui Mohafri pernah dimasukkan ke wad sebuah hospital sebelum ditahan oleh pihak polis.

Chef di sebuah hotel itu bagaimanapun tidak tahu mengenai kejadian abangnya yang dikatakan pernah meminta bantuan daripada jemaah masjid di Serendah, Hulu Selangor sebelum itu.

Jelasnya, dia juga mengetahui abangnya itu pernah dibawa ke Balai Polis Serendah daripada Mohafri sendiri ketika mereka berada di Balai Polis Ampang.

Sementara itu, ahli kimia daripada Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon mengesahkan terdapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) milik Mohafri dan teman wanitanya Nazratul Annis Zainal Abidin daripada ekstrak air mani pada kondom yang ditemui di dalam bakul sampah di bilik tidur tertuduh.

Jelasnya, hanya DNA Fazlina ditemui pada pita pelekat serta dua helai tisu yang berlabel Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perubatan Forensik Hospital.

Sementara ujian beliau terhadap kesan darah pada 10 keratan kuku Fazlina pula gagal menemui sebarang profil DNA.

Nazratul Annis dalam keterangannya sebelum ini mengakui melakukan hubungan seks dengan tertuduh ketika mayat mangsa masih berada di dalam almari berhampiran, pada hari kejadian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 14 Februari ini.

Utusan
29 Jan 2011


Kematian Fazlina bukan akibat serangan asma

SHAH ALAM 14 Feb. - Seorang pakar perubatan forensik mengesahkan bahawa kematian eksekutif wanita, Fazlina Ahmad yang mayatnya dijumpai di dalam almari pakaian di rumahnya, dua tahun lalu bukan disebabkan serangan penyakit asma.

Pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Khairul Anuar Zainun berkata, serangan bagi pesakit asma sememangnya boleh mengakibatkan kematian namun tidak berlaku terhadap Fazlina atas beberapa alasan.

''Lazimnya terdapat tanda-tanda seperti kebiruan pada bibir dan jari, paru-paru membesar sehingga memenuhi keseluruhan ruang dada di samping lendir akan memenuhi saluran pernafasan,'' jelasnya.

Khairul Anuar selaku saksi pendakwa kedua memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini semasa disoal balas oleh peguam bela Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh, Mohafri Mohamed yang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh isterinya itu.

Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar, saksi itu menyatakan beliau sebaliknya menjumpai tanda-tanda lain yang tidak akan terdapat dalam kes kematian akibat serangan asma.

Misalnya pendarahan mata, lebam melecet di bawah bibir serta kewujudan pita pelekat di mulut Fazlina, kata Khairul Anuar.

Mohafri, 38, yang merupakan bekas pengurus syarikat katering didakwa membunuh Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ibu saudara tertuduh, Azah Mokhtar, 62, memberitahu, sehari sebelum kejadian mangsa membawanya keluar untuk minum dan berbincang masalah rumahtangga di restoren Starbucks di Great Eastern Mall.

''Dalam pertemuan itu, Fazlina yang mengetahui bahawa suaminya mempunyai seorang teman wanita menyatakan, dia sudah tidak boleh meneruskan perkahwinan itu lagi.

''Saya selaku orang yang lebih tua menasihatinya supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan,'' katanya.

Saksi pendakwaan ke 15, Mohd. Saman Mohd. Ishak, 34, yang merupakan adik ipar Mohafri pula menyatakan dia berjumpa tertuduh di rumah saudara mereka di Ampang pada malam lelaki itu ditangkap pada 3 Januari tahun lalu.

Katanya, sebelum itu, tertuduh menelefon ahli keluarga menyatakan hasrat untuk menyerah diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 24 Februari ini.

Utusan
15 Feb 2011


Tertuduh dilepas atau bela diri?

SHAH ALAM: Nasib bekas pengurus syarikat katering yang didakwa membunuh isteri yang mayatnya ditemui berbungkus selimut dan disumbat dalam almari di Ampang, dua tahun lalu, sama ada dilepaskan atau membela diri atas pertuduhan itu akan diputuskan Mahkamah Tinggi pada 12 April depan.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pendakwaan, semalam.

Tertuduh, Mohafri Mohamed, 39, didakwa membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, 39, di rumah mereka di No 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang, antara jam 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Tertuduh yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Mayat Fazlina, ibu dua anak itu ditemui dibaluti selimut tebal dan diletak di bahagian bawah almari pakaian manakala hidung dan mulutnya ditekup menggunakan pita pelekat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar, berkata perbuatan Mohafri menyebabkan kematian isterinya berdasarkan bukti ikut keadaan terutama peri laku tertuduh pada hari kejadian.

Beliau berkata, ini disokong keterangan saksi bahawa hubungan pasangan bermasalah, mahu bercerai dan Mohafri berniat untuk menikahi teman wanitanya di Thailand.

Katanya, jika benar mangsa diserang asma teruk ketika kejadian, Mohafri sepatutnya memberi bantuan kecemasan dengan mencari ‘inhaler’ atau menghubungi ambulans untuk membawa wanita itu ke hospital.

“Persoalannya di sini, jika tertuduh tidak berniat untuk menyebabkan kematian kepada si mati, mengapa perlu mulut dan hidung si mati dilekat dengan pita pelekat, tubuhnya dibalut selimut dan disumbat dalam almari?

“Mengapa perlu tertuduh menghalang (pembantu rumah) Yayok untuk memasuki, membersih dan mengelap bilik (tidurnya) dengan memberitahu almari hendak roboh,” katanya.

Rosidah berkata, tindakan tertuduh yang tidak terus pulang ke rumah apabila dimaklumkan kehilangan isterinya juga menimbulkan persoalan.

“Sedangkan si mati masih isterinya yang sah dan ibu kepada anak-anaknya yang masih kecil. Takkan tidak ada sekelumit perasaan di hati kecil manusia yang normal untuk segera pulang ke rumah apabila dimaklumkan berita sedemikian?

“Sebaliknya tertuduh sentiasa berdolak-dalik apabila ditanya di mana si mati dan lokasi di mana dia berada. Tertuduh hanya ditangkap pada 3 Januari tahun lalu,” katanya.

Menyentuh mengenai keadaan kesihatan Fazlina, Rosidah berkata, sebab kematian itu berpunca daripada kelemasan dan bukan disebabkan asma seperti yang disahkan menerusi laporan bedah siasat.

Sementara itu, Hisyam ketika berhujah mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang tidak memanggil saksi penting iaitu Yayok untuk memberi keterangan.

“Yayok berada di dalam rumah terbabit ketika kejadian bunuh didakwa berlaku. Ketika tertuduh mencari ubat asma mangsa, Yayok tinggal bersendirian dengan mangsa selama empat atau lima minit,” katanya.

Selain itu katanya, tiada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui pada pita pelekat bersaiz 35 sentimeter lebar yang ditemui pada mangsa.

myMetro
29 Mac 2011


Dibebas tuduhan bunuh isteri

Mohafri memeluk ibunya selepas dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh isteri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.

SHAH ALAM – Kegagalan pihak pendakwaan memanggil seorang amah Indonesia dikenali sebagai Yayuk memberi keterangan menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam membuat keputusan melepas dan membebaskan seorang pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed daripada tuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad dua tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam alasan ringkas penghakimannya berkata, mahkamah kesal dengan tindakan pegawai penyiasat kes itu, Asisten Supritendan Siti Nathiroh Abu Bakar, 29, yang tidak memanggil Yayuk untuk memberi keterangan.

Polis melakukan siasatan terhadap Yayuk, pembantu rumah mangsa yang tiada dokumen, malah semua fakta mengenai penahanan dan pembebasan Yayuk adalah dalam pengetahuan polis.

“Kegagalan mengambil langkah untuk memastikan Yayuk hadir memberi keterangan adalah dikesali dan kegagalan itu telah menyebabkan kelompangan dalam kes pendakwaan,” kata beliau ketika membaca keputusannya semalam.

Kosmo
13 Apr 2011


Minda: Apabila saksi hilang

PIHAK pendakwa menampilkan 16 saksi termasuk seorang yang memberikan keterangan 'menggemparkan' dengan keyakinan untuk mendapatkan pensabitan.

Namun, mahkamah memutuskan rantaian bukti yang dikemukakan tempang tanpa keterangan seorang saksi disifatkan amat penting yang gagal ditampilkan pendakwa untuk mencipta prima facie kes.

Kesudahannya menyaksikan mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan menghadiahkan keraguan munasabah kepada tertuduh Mohafri Mohamed, 39, dengan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh isterinya di rumah mereka di Taman Pinggiran Ukay, Ampang, kira-kira dua tahun lalu.

Lebih dikenali sebagai perbicaraan ‘mayat dalam almari’, kes berkenaan menarik perhatian ramai apabila pendakwa berusaha membuktikan apa yang berlaku adalah jenayah asmara dengan Mohafri menamatkan hayat isterinya, Fazlina Ahmad, 39, untuk hidup bersama kekasihnya.

Malah, pendakwa ‘menaikkan’ kekasih tertuduh ke kandang saksi untuk memberikan keterangan terhadap Mohafri.

Dan keterangan yang diberikan wanita itu membuatkan ramai terkejut! Mayat Fazlina, ibu kepada dua anak dan seorang eksekutif swasta, ditemui pembantu rumahnya pada bahagian bawah sebuah almari pakaian di dalam bilik tidur utama di kediaman itu pada 30 Disember 2009.

Mangsa yang merupakan seorang penghidap lelah kronik dibalut dengan kain selimut tebal. Hidung dan mulutnya pula dipasang dengan pita pelekat.

Mohafri yang menghilangkan diri selepas penemuan mayat itu, ditahan di Zoo Negara tiga hari kemudian selepas satu operasi pencarian besar-besaran dilancarkan oleh polis.

Dia yang merupakan seorang pengurus syarikat katering dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dikenakan pertuduhan membunuh isterinya di rumah bernombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, di antara jam 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009. Bagi kesalahan itu Mohafri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Daripada 16 saksi itu, dua orang memberikan keterangan utama dalam memperkukuhkan kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasidah Abu Bakar.

Pertama rakan rapat mangsa, Safiyaton Omar, 39, dan kedua kekasih tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23. Saksi yang gagal dikemukakan untuk memantap pertuduhan sekali gus membawa kepada pelepasan Mohafri ialah pembantu rumah yang menemui mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Yayok.

Safiyaton yang tampil sebagai saksi pertama memberitahu mahkamah pada hari kejadian dia menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Yayok memaklumkan dia dilarang oleh Mohafri memasuki bilik tidur utama.

Yayok juga, kata saksi, memberitahu dia turut diminta jangan menyapu atau mop bilik tidur utama dengan alasan almari di situ nak roboh.

Safiyaton bertindak membuat laporan polis selepas berjumpa dengan tertuduh pada hari sama dan mengesyaki lelaki itu cuba menyembunyikan sesuatu.

“Saya membuat laporan polis berasaskan maklumat Yayok bahawa dia masuk ke dalam bilik tidur utama dan melihat almarinya sudah ditampal dengan pita pelekat. “Yayok juga ada memberitahu Mohafri pernah berpesan bahawa apa-apa yang berlaku di rumah itu adalah antara dia dan isterinya. Yayok diminta tidak masuk campur,” katanya.

Nazratul pula terus terang mengakui di mahkamah dia melakukan hubungan seks bersama tertuduh di bilik tidur utama tanpa mengetahui mayat Fazlina tersumbat di dalam almari.

“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja,” katanya.

Sebelum itu, katanya, Mohafri datang menjemput dan membawa dia pulang ke rumahnya.

Saksi itu turut memberitahu dia mula mengenali tertuduh ketika mereka bekerja bersama di sebuah pusat perubatan pada 2009.

Pada hari kejadian, mahkamah diberitahu Mohafri dan Nazratul merancang untuk ke sempadan Thailand bagi bernikah dan untuk itu Nazratul datang ke ibu kota dari Parit Buntar, Perak untuk berjumpa dengan tertuduh. Mereka bercadang untuk ke negara jiran itu dengan menaiki kereta api.

Nazratul berkata mereka membuat keputusan untuk berkahwin secara rahsia kerana hubungan yang dijalin tidak direstui bapanya. “Saya dan tertuduh menaiki teksi untuk ke KL Sentral kerana kereta api kami bertolak pada jam 8.15 malam. “Sepanjang perjalanan, saya nampak tertuduh sibuk bercakap di telefon bimbit. Saya tanya apa kaitan dia dengan Fazlina kerana mereka dah bercerai.

“Dia jawab ‘dia orang’ yang desak dia untuk buat laporan. Tapi saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan dengan ‘dia orang’,” katanya.

Nazratul kemudian ditinggalkan tertuduh yang memintanya pulang semula ke Kuala Lumpur secara bersendirian.

Namun saksi pergi ke rumah tertuduh dan melihat kediaman itu dikepung polis dan dia dimaklumkan ada kes suami bunuh isteri lalu membuat laporan polis.

Kakak mangsa, Faezah Ahmad pula memberi keterangan dia diberitahu oleh mangsa bahawa dia menghadapi masalah rumah tangga disebabkan orang ketiga dan mereka hendak bercerai.

Pendakwa turut menampilkan keterangan perubatan untuk membuktikan Fazlina tidak mati akibat penyakit asma kronik yang dihidapinya.

Dr Khairul Anuar Zainun dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu mahkamah mangsa maut disebabkan kelemasan.

“Ramai orang menghidap asma, tetapi untuk mati akibat asma, biasanya ada tanda-tanda tertentu yang dijumpai ketika bedah siasat. Saya tidak menjumpai tanda-tanda ini,” katanya.

Berdasarkan keterangan ketiga-tiga saksi terbabit pendakwa mengasaskan motif dan membuktikan Fazlina sememangnya dibunuh. Begitupun, ketiadaan keterangan Yayok yang berada di tempat kejadian sewaktu pembunuhan dilaporkan berlaku jelas menyebabkan kes pendakwa bocor.

Dan itu yang menjadi alasan tunjang Hakim Datuk Mohtarudin Baki dalam memberikan keputusan memihak kepada tertuduh yang diwakili peguam, Hisyam Teh Poh Teik.

Beliau dalam penghakimannya menegaskan kegagalan pendakwa menampilkan Yayok sesuatu amat dikesali.

“Dalam kenyataan buka bicara, pendakwa memberitahu Yayok diarah oleh tertuduh supaya tidak membersihkan bilik utama dan tidak mengusik almari. “Yayok juga dikatakan memberitahu bahawa dia mendengar tertuduh dan isterinya bertengkar di dalam bilik tidur,” katanya.

Bagaimanapun, kata hakim, semua keterangan itu tidak bernilai memandangkan Yayok tidak ditampilkan sebagai saksi untuk disoal balas. Apakah yang berlaku kepada Yayok? Pembantu rumah itu ditangkap, didakwa dan dipenjara selepas didapati bersalah berada di negara ini secara haram. Selepas hukuman selesai, wanita itu diusir ke negaranya.

Hanya pendakwa yang tahu mengapa tiada usaha dibuat untuk memastikan Yayok terus berada di Malaysia selepas pemenjaraannya selesai dan mengapa tiada langkah digerakkan untuk mengesan Yayok di Indonesia selepas dia dihantar pulang ke sana demi memastikan keadilan untuk Fazlina dan keluarga Allahyarham.

myMetro
21 Apr 2011

4 comments: