November 13, 2010

Lelaki terjun bogel ditemui mati

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila bertindak nekad terjun dari tingkat 11 dalam keadaan berbogel di Genting Court Setapak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 30-an dan berasal dari Terengganu mati di tempat kejadian dipercayai parah di kepala. Difahamkan, hasil pemeriksaan polis di bilik sewa mangsa terdapat beberapa ubatan dari hospital dipercayai ubat untuk sakit jiwa.

Sumber berkata, mangsa ditemui seorang penduduk dalam keadaan tertiarap dipercayai selepas terjun menerusi tingkap bilik sewa rumahnya di tingkat 11.

myMetro
13 Nov 2010


Lelaki Pesakit Mental Maut Terjun Bangunan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental ditemui mati dengan kecederaan teruk di kepala setelah terjun dari biliknya di tingkat 11, Blok 11 di Kondominium Genting Court, Jalan Genting Klang di sini, Jumaat.

Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul Insp Edzrul Omar berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditemui mati oleh orang awam dalam keadaan tidak berpakaian kira-kira pukul 7.20 malam di tempat letak kereta.

"Pemeriksaan polis ke atas bilik mangsa menunjukkan tidak terdapat unsur jenayah dan kita tidak menemui sebarang dokumen mangsa.

"Kita juga menemui sebuah bangku berdekatan tingkap yang terbuka luas dan kita percaya mangsa naik atas atas bangku itu sebelum bertindak terjun dari biliknya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Terengganu itu baru sebulan menetap di situ.

"Penghuni di rumah itu memberitahu mangsa sewa bilik itu baru sebulan untuk mencari pekerjaan di sini," katanya.

Beliau berkata setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut manakala mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. - BERNAMA

13 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment