September 30, 2010

Wanita lari ke Lombok rayu dibawa pulang

ARKIB : 08/09/2010

MACHANG 7 Sept. - "Mak, Ina nak balik. Ina rindu, tak tahan jauh dari keluarga. Ina nak sambut raya dengan mak, ayah dan adik-adik." Demikian rayuan Ahzlina Azmi, 22, seperti diceritakan ibunya, Fatimah Mat Nor, 62, setiap kali mereka bercakap melalui telefon.

Ahzlina kini sudah berada di Kalimantan Timur, Indonesia sejak hampir dua tahun lalu kerana membuat keputusan melarikan diri bersama kekasih yang kini suaminya yang berasal dari Lombok.

Bagaimanapun sejak awal Ramadan ini, Ahzlina yang lebih mesra dipanggil Ina akan menangis dan meraung setiap hari dan merayu kepada ibu bapanya melalui telefon untuk dibawa balik ke negara ini.

Menurut Fatimah, Ahzlina yang merupakan anak sulungnya daripada enam beradik akan merayu-rayu untuk pulang kerana terlalu rindukan keluarga dan tidak tahan dengan penderitaan hidup di tempat orang.

"Setiap kali Ina menelefon makcik atau adik-adiknya, dia pasti memberitahu kami dia ingin pulang ke pangkuan keluarga untuk sama-sama beraya namun tidak mampu berbuat demikian memandangkan kosnya yang tinggi.

"Makcik cuma dapat menyuruh dia bersabar. Setiap kali dia menangis, pada masa itu jugalah hati makcik terguris dan kalau mampu, sudah pasti Ina kami bawa balik ke sini.

"Makcik rasa dia sudah 'terlalu jauh' sebab itulah kalau dapat bawa balik pasti makcik akan peluk dan kucup dia puas-puas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tiu, Machang di sini baru-baru ini.

Katanya, hasil perkahwinan antara anaknya dan lelaki itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Darwin Darlina Salleh.

Suaminya, Azmi Sulaiman, 65, pula berkata, Ahzlina merupakan seorang anak yang baik dan taat kepada perintah dan ini menyebabkan mereka tidak percaya dia membuat keputusan untuk mengikut lelaki berkenaan.

Jelasnya, sambutan Aidilfitri kali ini pasti tidak ceria kerana sentiasa mengenangkan nasib Azhlina yang kini bukan lagi di bawah jagaannya.

"Dia memang anak yang sangat baik dan mengikut arahan tetapi mungkin akibat cinta dia mengambil tindakan terburu-buru mengikuti lelaki itu.

"Saya cuma mendoakan agar ada pihak yang tampil dan membantu membawa Azhlina balik untuk membela nasib dia dan anaknya itu," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment