September 30, 2010

Ustazah, anak lelaki dibunuh kejam

ARKIB : 04/09/2010

ANGGOTA polis mengangkat mayat Norliza Ishak dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof yang ditemui mati dipercayai dibunuh penjenayah yang memasuki rumah mereka di sebuah flat di Jalan Sutera Lama di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. – utusan/ABD. RAZAK AID.

PORT DICKSON 3 Sept. – Seorang ustazah dan anak lelakinya ditemui mati dibunuh dengan kaki dan tangan terikat serta kepala mangsa dibalut kain sarung dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Sutera Lama berhampiran Pasar Besar di sini pagi ini.

Dua beranak malang yang dibunuh kejam itu ialah Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10.

Mangsa mengajar di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, Kelantan.

Ketika kejadian, dia hanya tinggal bersama anak lelakinya kerana suaminya menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.

Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, mayat kedua-dua beranak itu ditemui rakan sekerjanya yang datang ke rumah pada pukul 10 pagi ini.

“Polis percaya kejadian itu berlaku antara pukul 4 hingga 5 petang semalam berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula lebam.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati, mayat dua beranak ini ditemui dalam keadaan terlentang manakala kaki dan tangan mereka terikat.

“Kepala mangsa turut dibalut dengan kain sarung,” katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian hari ini.

Baljeet berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, tiada kesan umpil ditemui pada pintu rumah mangsa malah ia terkunci rapat.

“Polis masih menyiasat punca sebenar pembunuhan ini dan sedang mencari bukti tinggalan penjenayah yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh kedua-dua mangsa namun pihaknya menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Baljeet memberitahu, rakan sekolah mangsa mengesyaki sesuatu berlaku terhadap dua beranak itu selepas mereka tidak hadir ke sekolah hari ini.

“Mangsa gagal dihubungi oleh rakannya sejak semalam. Dua beranak itu merupakan guru dan pelajar di sekolah yang sama,” katanya. - Utusan


ARKIB : 05/09/2010
Ustazah, anak mati akibat sesak nafas

PORT DICKSON 4 Sept. - Hasil bedah siasat terhadap seorang ustazah dan anak lelakinya yang ditemui mati dibunuh di sebuah flat di Jalan Sutera Lama berhampiran pasar besar di sini semalam, menunjukkan kedua-duanya meninggal dunia akibat sesak nafas.

Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, ia dipercayai disebabkan mulut dan kepala kedua- dua mangsa ditutup dengan pita pelekat dan kain sarung.

"Kami (polis) belum mengetahui kesan kecederaan lain dan masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

"Biasanya laporan penuh itu akan selesai dan diterima selewat-lewatnya seminggu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah dan kita percaya penjenayah masuk melalui pintu depan sebelum menguncinya ketika keluar," ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu 06-6462999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu suasana sayu dan hiba menyelubungi rumah mangsa bunuh, Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di Kampung Pulau Beluru, Tumpat di sini, hari ini, apabila seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mangsa berkumpul menziarah jenazah kedua-duanya.

Suami Norliza, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, yang difahamkan bertolak dari Kaherah, Mesir, tengah malam semalam, turut kelihatan di rumah tersebut pada pukul 4.45 petang ini.

Suami mangsa terpaksa dipapah ahli keluarganya untuk memasuki rumah mereka kerana tidak dapat mengawal diri akibat terlalu sedih.

Jenazah kedua-dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang kira-kira pukul 6.30 petang. - Utusan


ARKIB : 06/09/2010
Ayah tak sempat beri hadiah khatam al-Quran

MUSTAPA Mohamed mengucapkan takziah kepada Mohd. Yusof Awang Besar atas kematian isteri Allahyarham Norliza Ishak dan anaknya, Amirul Ayman sambil diperhatikan oleh ibu, Zainab Mahmud dan ayah mertuanya, Ishak Mohd. Ali di Kampung Pulau Kerbau, Tumpat, semalam.

TUMPAT 5 Sept. - "Sebelum kejadian saya sering teringat dan merinduinya walaupun selalu berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook.

"Setiap hari saya melihat wajahnya dalam skrin komputer riba dan merinduinya," ujar Mohd. Yusof Awang Besar, 37, bapa Amirul Ayman, 10, yang mati dibunuh bersama-sama ibunya, Norliza Ishak, 35, di flat Jalan Sutera Lama, Port Dickson, kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila dia tidak sempat mengirimkan hadiah selepas anak tunggalnya itu khatam al-Quran sebanyak dua kali sepanjang Ramadan ini.

Katanya, dia telah berjanji dengan anak tunggalnya itu akan mengirimkan hadiah istimewa selepas Amirul Ayman memaklumkan kejayaannya khatam al-Quran melalui SMS, Selasa lalu.

"Amirul belum tahu lagi hadiah itu kerana ingin membuat kejutan, tetapi nampaknya semuanya tidak kesampaian," katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, di sini hari ini.

Tambahnya Mohd. Yusof, dia gembira dengan kejayaan anaknya itu, namun ia bukanlah sesuatu luar biasa kerana Amirul Ayman bukan sahaja pintar tetapi merupakan anak yang soleh dan patuh.

"Saya juga sering berpesan agar dia rajin baca al-Quran dan tidak meninggalkan sembahyang sepanjang Ramadan ini dan dia melakukan dengan baik... Saya bangga dengannya," ujarnya sayu.

Katanya lagi, Amirul Ayman dilahirkan di Kaherah, Mesir tetapi ketika berusia lima tahun, dia kembali ke Malaysia dan tinggal bersama-sama datuk dan nenek sebelah ibunya di sini, sebelum berpindah ke Port Dickson kerana mengikut ibunya yang mengajar di sana.

Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Amirul Ayman adalah ketika mereka menyambut Hari Raya Aidiladha di Kaherah dua tahun lalu. - Utusan


ARKIB : 07/09/2010
Jiran ditahan bantu kes bunuh ustazah, anak lelaki

TELUK KEMANG 6 Sept. - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang ustazah, Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, lelaki itu yang dipercayai jiran mangsa ditahan berhampiran tempat kejadian semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, lelaki berkenaan yang mempunyai dua anak dan menyewa di kawasan flat sama sejak beberapa tahun lalu, kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Tambahnya, siasatan sedang dilakukan termasuklah mengenal pasti sepenuhnya identiti serta latar belakang lelaki berkenaan.

"Kita difahamkan lelaki itu tidak bekerja dalam tempoh yang lama dan kita sedang menyiasatnya," katanya di Port Dickson, dekat sini hari ini.

Baljeet bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada mangsa telah diperlakukan jenayah seksual.

"Kita tidak dapat mengesahkan lagi perkara ini dan saya harap tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

"Lagipun laporan penuh perubatan terhadap mangsa masih belum diperoleh. Beri kami masa untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini," tegasnya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Norliza dan Amirul Ayman ditemui mati dibunuh dalam keadaan kaki dan tangan terikat serta kepala mangsa dibalut dengan kain sarung dalam bilik air sebuah flat di Jalan Sutera Lama, dekat sini.

Norliza yang merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan anaknya belajar di sekolah yang sama, sepatutnya pulang berhari raya di Kelantan, Sabtu lalu, ditemui mati oleh rakannya.

Pihak polis percaya kejadian itu berlaku pada pukul 4 hingga 5 petang berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula lebam dan ketika ditemui, kedua-dua mayat berkenaan berada dalam keadaan terlentang.

Norliza yang berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palek Bang, Kelantan hanya tinggal bersama anaknya itu kerana suaminya, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, sedang menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.

Ditanya mengenai barangan yang didakwa hilang oleh bapa Norliza, Ishak Mohd. Isa termasuklah wang tunai, komputer dan telefon bimbit di flat berkenaan, Baljeet memberitahu, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan.

Katanya, kes itu disiasat di Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. - Utusan


ARKIB : 15/09/2010
Pembunuh ustazah, anak didakwa hari ini

SEREMBAN 14 Sept. – Seorang lelaki yang didakwa membunuh ustazah dan anak lelakinya di sebuah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson pada 3 September lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini esok.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan jiran mangsa dalam soal siasat polis telah mengaku melakukan pembunuhan itu.

“Polis telah serahkan kertas siasatan kepada Ketua Unit Pendakwaan pada 9 September lalu dan pendakwaan akan dibuat esok,” katanya.

Pada 3 September lalu, seorang ustazah, Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, ditemui mati dalam bilik air dengan kaki dan tangannya terikat, selain kepala kedua-dua mangsa dibalut dengan kain sarung.

Allahyarham Norliza merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson manakala Amirul Ayman belajar di sekolah yang sama.

Semasa kejadian itu, suaminya, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, menguruskan perniagaan restoran mereka di Kaherah, Mesir.

Osman memberitahu, hasil siasatan polis ke atas lelaki berkenaan yang ditahan reman selama 12 hari menemui beberapa bahan bukti yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Polis menemui sebuah komputer riba, satu set permainan Sony PlayStation, tiga telefon bimbit, dua kad sim telefon, dua utas rantai tangan, seutas rantai leher dan satu loket.

“Nilai keseluruhan barangan serta wang tunai milik mangsa yang ditemui adalah RM2,800,” katanya.

Beliau memberitahu, polis percaya lelaki itu telah menyamun sebelum membunuh kedua-dua mangsa dan menggunakan wang yang dicuri untuk membayar pinjaman bulanan keretanya dan beberapa bil utiliti.

Menurut Osman, polis juga mendapati lelaki itu memperdayakan mangsa dengan meyakinkan dua beranak itu untuk masuk ke dalam rumah.

Dipercayai suspek telah menggunakan alasan untuk meminta bantuan setelah gagal memasuki rumahnya yang terkunci dari dalam.

“Dipercayai sebaik sahaja mangsa membuka pintu rumahnya, suspek menghentak dengan siku kepala kedua-dua mangsa dan mengikat mereka dalam bilik air.

“Kita dapati kematian kedua-dua mangsa itu disebabkan kegagalan untuk bernafas selepas kepala mereka dibalut dengan kain,” katanya.

Pada masa yang sama, Osman memberitahu, terdapat kesan kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Mohd. Yusof bersyukur pembunuh terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban esok.

Menurut Mohd. Yusof, dia percaya undang-undang akan menjanjikan keadilan walaupun tidak mampu mengembalikan semula isteri dan anaknya. - Utusan


ARKIB : 16/09/2010
Jiran didakwa bunuh ustazah dan anak

Mohd. Yusof Awang Besar bersama ibu mertuanya, Zainab Mahmud hadir di Mahkamah Majistret di Port Dickson, semalam.

RASAH 15 Sept. - Selepas 12 hari mayat seorang ustazah bersama anak lelakinya ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah flat, seorang jiran mereka hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, dekat sini atas tuduhan membunuh dua beranak tersebut.

Ali Tan Abdullah, 34, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson, dekat sini.

Kejadian didakwa berlaku antara pukul 3.15 petang, 2 September lalu dan pukul 10.15 pagi, keesokan harinya.

Dakwaan terhadap Ali Tan yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki tersebut.

Majistret M. Mageshwary menetapkan 18 Oktober ini sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela John Fernandez.

Sementara itu, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, iaitu suami kepada Norliza ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, melahirkan harapan agar pengadilan kes pembunuhan itu akan dilakukan dengan sewajarnya.

"Jika terbukti bersalah oleh mahkamah, saya harap pembunuh kes ini dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Perasaan saya masih lagi tersentuh apabila mengenang kejadian malang menimpa isteri dan anak saya. Undang-undang yang sedia ada akan menegakkan keadilan di atas pemergian mereka,'' katanya.

Dia tiba di Seremban, semalam untuk mengikuti perjalanan kes tersebut di mahkamah sebelum bertolak pulang ke Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Memetik laporan akhbar, pada 3 September lalu, ustazah tersebut dan anak lelakinya ditemui mati dalam bilik air dengan kaki dan tangannya terikat, selain kepala kedua-dua mangsa dibalut dengan kain sarung.

Norliza yang berasal dari Kampung Pulau Kerbau merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, manakala Amirul Ayman belajar di sekolah yang sama.

Mereka tinggal berdua di flat tersebut kerana Mohd. Yusof menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir. - Utusan



Pemasang paip diarah bela diri

SEREMBAN - Seorang pemasang paip gas diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan membunuh ustazah dan anak lelakinya di sebuah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson di sini pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Ali Tan Abdullah, 34.

Ali Tan kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan oleh Ahmad Nasfy.

Mengikut pertuduhan, Ali Tan didakwa membunuh Norliza Ishak, 35, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson antara pukul 3.15 petang, 2 September 2010 hingga pukul 10.15 pagi keesokan harinya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga jiran mangsa didakwa melakukan perbuatan sama terhadap anak mangsa, Amirul Ayman Yusoff, 10, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Kosmo
30 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment