September 29, 2010

Lelaki parah kereta melayang rempuh kenderaan lain

GEORGETOWN: Seorang lelaki parah selepas sebuah kereta Proton Iswara dipandu laju hilang kawalan sebelum melayang dan merempuh Perodua Viva dari arah bertentangan dalam kemalangan di Lebuhraya Jelutong (JE) di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, pemandu Proton Iswara itu dari arah Bayan Lepas menuju pusat bandar manakala Perodua Viva dari pusat bandar menuju Jambatan Pulau Pinang.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Abd Rahim Din, berkata pemandu kereta Iswara itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Perodua Viva menyebabkan kesesakan jalan raya sepanjang kira-kira lima kilometer.

Katanya, akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian depan dan siasatan mendapati pemandu Perodua Viva itu parah dipercayai tersepit dalam kereta.

“Usaha mengeluarkan kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu dilakukan sepasukan anggota bomba sebelum mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan. Pemandu Proton Iswara cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yaakub Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 pagi dan tiba ke tempat kejadian lima minit kemudian.

Beliau berkata, lapan anggota bomba dibantu tiga anggota bomba dari Unit Tindakan Cepat Bermotosikal (RIM) bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Viva dalam keadaan parah.

myMetro
29 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment