September 29, 2010

Motosikal putus dua

MUAR – Seorang remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal ,maut dalam kemalangan jalan raya di jambatan kedua Baypass menghala ke Muar di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Asisten Superintendan Suhaimi Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 11.40 malam yang membabitkan motosikal Honda EX5 dengan kereta Kia Spectra.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa, Mohd Faizal Ramli dikatakan cuba mengelakkan diri daripada pemeriksaan polis yang membuat sekatan jalan raya kerana dipercayai tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Mangsa dari Melaka dalam perjalanan ke Parit Jawa, Muar untuk berjumpa dengan keluarganya.

“Apabila ternampak polis yang membuat sekatan jalan raya, mangsa telah berpatah balik dari arah bertentangan sebelum merempuh kereta Kia Spectra,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, akibat rempuhan itu, motosikal yang ditunggangi mangsa terputus dua dan mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala, pemandu kereta Kia Spectra kini sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar kerana mengalami kecederaan pada bahagian mata.

Sementara itu dalam kejadian yang berasingan di Taman Merin, Sungai Abong, seorang remaja, Tan Wei Ming, 19, maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar kereta jenis Toyota Vios, kelmarin.

Suhaimi berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa motosikal tanpa dilengkapi dengan lampu dan tidak memakai topi keledar.

“Mangsa mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan yang serius di kepala.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan kerana kejadian dipercayai berlaku dalam keadaan persekitaran yang gelap,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil di Balai Polis Trafik Daerah Muar untuk membantu siasatan.

Sinar Harian
29 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment