September 29, 2010

Bapa sangsi kematian anak

KOTA BHARU – Kematian seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Negeri Sembilan menimbulkan kesangsian kepada keluarganya malahan mereka percaya kematian tersebut mempunyai unsur jenayah.

Bapa mangsa, Rosli Mahmud,53, berkata, kematian Muhammad Aizuddin,20, sangat mengelirukan mereka sekeluarga kerana ia terjadi selepas sehari anak keempat daripada enam beradik itu menerima ugutan daripada keluarga kawan perempuannya.

“Sebelum anak saya dimaklumkan terlibat dengan kemalangan di Perhentian Bas Putera, Kuala Lumpur pada pagi kelmarin, sehari sebelum itu ada tiga buah kereta datang ke rumah kami dan memberi ugutan akan mengapa-apakan anak lelaki saya,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Kalong, Kok Lanas, di sini.

Beliau berkata, selepas mendapat ugutan tersebut beliau membuat aduan polis di Balai Polis Kok Lanas sehinggalah mereka sekeluarga dikejutkan tentang kematian Aizuddin pada keesokan paginya.

Menurut kakak Aizuddin, Siti Nurul Idayu, 25, kejadian tersebut berlaku ketika adiknya tiba di perhentian bas tersebut setelah pulang bercuti di rumah mereka di Kelantan.

“Pada pagi itu saya mendapat panggilan telefon daripada keluarga di kampung yang menyatakan adik dibawa ke Hospital Kuala Lumpur kerana terlibat dengan kemalangan,” katanya yang tinggal di Klang, Selangor.

Beliau berkata, apabila sampai di sana, dia mendapati bahagian muka adiknya cedera teruk sehingga sukar untuk dicam tetapi yang mengejutkan ialah bahagian badan adiknya langsung tidak mempunyai calar ataupun luka.

Siti Nurul Idayu berkata, keadaan adiknya itu dilihat seperti bukan terlibat dengan kemalangan pun.

Menurutnya, bedah siasat telah dijalankan dan semua urusan berkaitan dengan perkara tersebut mereka serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas membuat aduan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Kami sekeluarga berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan berharap kebenaran akan berpihak kepada adik saya,’’ katanya.

Sinar Harian
29 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment