August 14, 2010

Wanita ditahan cuba tanam bayi

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Tindakan seorang wanita disyaki warga asing yang cuba menanam mayat bayinya dengan bantuan rakannya tidak kesampaian apabila dia ditahan polis hari ini.

Wanita berusia 40-an itu ditahan di rumah kongsi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Sebelum itu, suspek datang ke kawasan tersebut pada pukul 11.30 pagi untuk meminta bantuan seorang rakannya untuk menanam mayat bayinya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek datang dengan membawa sebuah beg yang berisi mayat bayi berkenaan.

Difahamkan, wanita itu keguguran dan tidak dapat melahirkan anaknya di hospital kerana tidak memiliki dokumen sah.

Beliau berkata, bagaimanapun, salah seorang daripada penghuni rumah kongsi tersebut yang berasa curiga segera menghubungi polis.

“Apabila tiba di kawasan rumah kongsi itu, kita dapati suspek membawa satu beg berwarna hitam yang berisi mayat bayi.

“Kita kemudian menahan suspek dan siasatan awal mendapati wanita itu telah melahirkan bayi berkenaan kira-kira pukul 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Khairi, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung status dan kewarganegaraan wanita terbabit.

Katanya, setakat ini, pihaknya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Utusan
14 Ogos 2010


BACA JUGA DI SINI http://ondscene.blogspot.com/2010/08/lagi-mayat-bayi-ditemui.html

0 comments:

Post a Comment