August 14, 2010

Tragedi pasar Ramadan



FAKTA:


KEJADIAN : 3 maut dan 17 cedera akibat ribut
LOKASI : Bazaar Ramadan Stadium Jasin, Melaka
TARIKH DAN WAKTU : 13 Ogos 2010 pada pukul 4.45 petang


Mangsa-mangsa yang maut:
1. Abdul Omar, 73 (peniaga)
2. Mahadi Muhammad, 39 (peniaga)
3. Muhammad Wahab, 45 (pengunjung)

JASIN: “Saya dapat berita ada ribut dan kerana tidak sedap hati saya terus ke tempat ayah berniaga, namun ketika dalam perjalanan (ke pasar Ramadan) saya diberitahu ayah meninggal.”

Begitu kata Latip Abdul, 49, anak kepada seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dari Batu 15, Kampung Air Merbau, Bemban, yang maut akibat dihempap besi kaki khemah tempat dia berniaga di Pasar Ramadan Stadium Jasin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, dua peniaga dan seorang pengunjung pasar Ramadan berkenaan terbunuh, dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi beberapa jam selepas dimasukkan di hospital.

Abdul mati di tempat kejadian selepas ribut meranap dan menerbangkan keseluruhan 21 khemah besar peniaga di kawasan letak kereta di stadium berkenaan.

Pembantu gerai murtabak, Mahadi Muhammad, 39, dari Taman Maju, turut mati di tempat kejadian dipercayai terkena tapak besi kaki khemah yang diterbangkan ribut yang melanda hampir empat minit.

Pengunjung yang terbunuh dikenali sebagai Muhammad Wahab, 45, dari Kampung Rim, di sini, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka, kira-kira jam 7.15 malam. Kejadian itu mengakibatkan 17 lagi termasuk pengunjung cedera.

MUSNAH...Pasar Ramadan Stadium Jasin macam dilanda garuda.

Menurut Latip, dia mendapat panggilan jam 5 petang memaklumkan kejadian ribut berlaku di tempat bapanya berniaga menyebabkannya bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sepanjang perjalanan dengan memandu bersendirian dari Ayer Merbau, angin bertiup kencang sehingga dia tiba di Taman Maju keadaan mula tenang.

“Saya dapat panggilan daripada rakan mengatakan ayah meninggal dunia akibat ribut itu. Sejurus tiba di Pasar Ramadan itu hujan makin lebat dan saya terkejut apabila melihat semua khemah berterbangan serta makanan yang dijual berselerakan.

“Saya tidak menyangka kejadian ribut berlaku seteruk itu. Saya turun dari kereta dan pergi ke kawasan tempat ayah berniaga, namun diberitahu ayah dihantar ke hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Jasin, malam tadi.

Latip berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu kecuali sebelum ini dia beria-ia mahu berniaga cendol, biarpun ahli keluarga menasihatinya supaya tidak menjalankan perniagaan kerana usianya sudah tua dan tidak berapa sihat.

“Namun, arwah tetap mahu meneruskan perniagaannya di pasar Ramadan berkenaan,” katanya.

MALANG...orang ramai di sisi dua mangsa yang terbunuh.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan ketika kejadian, Abdul berada di sebuah gerai lain membeli makanan.

Namun, dia dihempap khemah besar yang menjadi tempat pelindung peniaga di situ ketika berlaku angin kencang.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Zarina Hassan, 33, yang juga majikan kepada Mahadi, berkata ketika kejadian dia dan Allahyarham membungkus murtabak apabila keadaan cuaca bertukar mendung, sebelum angin bertiup kencang lalu menerbangkan khemah di hadapan mereka berniaga.

Katanya, dia yang panik terus lari menyelamatkan diri dan mendengar Mahadi memanggil namanya, tetapi ketika itu berada di hadapan.

“Apabila menoleh saja ke belakang, saya lihat dia terlantar dengan kepala dan mulutnya berdarah.

“Saya amat terkejut serta takut. Dia tidak bercakap dan bergerak kerana keadaannya amat parah ketika itu,” katanya sambil memberitahu jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Jasin.

KRITIKAL...seorang mangsa parah dibawa ke hospital.

Peniaga, Mohd Abd Latip, 56, berkata sebelum kejadian angin bertiup dengan kencang sebanyak dua kali, namun tiupan terakhir terus menerbangkan semua khemah yang ada di pasar Ramadan itu sehinggakan empat daripadanya didakwa melayang setinggi tujuh meter menyamai ketinggian lampu limpah di stadium berhampiran.

“Saya amat takut ketika itu, dan kedengaran orang menjerit serta berlari lintang-pukang sambil dia menyelamatkan diri. Saya sempat melihat khemah itu diterbangkan begitu tinggi kerana angin bertiup sangat kencang ketika itu,” katanya .

myMetro
14 Ogos 2010


Dua maut khemah bazar Ramadan di Jasin roboh

Salah seorang peniaga mengutip barang-barang yang berharga di gerainya di Bazaar Ramadan Stadium Jasin yang berselerak selepas dipukul ribut mengakibatkan dua peniaga maut dan beberapa lagi cedera di Jasin, Melaka, 13 Ogos 2010. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

ANTARA mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas tempat mereka berniaga di Bazaar Ramadan Stadium Jasin dipukul ribut mengakibatkan dua peniaga maut dan beberapa lagi cedera di Jasin, Melaka, 13 Ogos 2010. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

JASIN: Dua orang termasuk seorang peniaga cendol terbunuh manakala seorang parah dan 17 lagi cedera apabila khemah bazar Ramadan di perkarangan Stadium Jasin roboh dan diterbangkan angin ribut pada 4.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Che Suza Che Hitam, berkata mangsa yang maut adalah peniaga bazar, Abdul Omar, 70, dari Batu 16, Kampung Ayer Merbau dan Mahadi Mohamad, 40, dari Batu 15 Ayer Merbau.

"Siasatan awal mendapati Abdul meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dipercayai terkena palang besi khemah yang diterbangkan angin manakala Mahadi meninggal dunia di Hospital Jasin.

"Mangsa yang parah pula dipercayai peniaga, namun identitinya masih belum dikenalpasti. Dia sudah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Manakala 17 lagi yang cedera adalah pengunjung dan peniaga dan mereka mendapat rawatan lanjut di Hospital Jasin," katanya.

Berita Harian
13 Ogos 2010


Ribut maut

Saleha Husin, isteri kepada Abdul Omar yang meninggal dunia dalam kejadian ribut di Bazar Ramadan Stadium Jasin, kelihatan sedih dan sayu ketika mengemaskan barang-barang perniagaannya di Jasin, Melaka, 14 Ogos 2010. - Utusan

JASIN: Isteri kepada seorang peniaga cendol hanya mampu menitiskan air mata apabila melihat suaminya, Abdul Omar, 73, terbaring kaku berlumuran darah dalam kejadian ribut di Pasar Ramadan Stadium Jasin, di sini, kelmarin.

Dia berkata, sebelum kejadian, arwah lebih banyak duduk dan hanya membantu saja kerana keadaan kesihatannya kurang sihat, termasuk melayan pelanggan.

Katanya, arwah tiba-tiba bangun tanpa berkata apa-apa lalu berjalan terus ke gerai lain sebelum angin kuat melanda menyebabkan keadaan kawasan pasar Ramadan berkenaan bertukar menjadi kelam-kabut.

"Mak cik hanya menundukkan kepala saja ketika itu dan sempat melihat khemah terangkat sebelum ribut reda. Pada masa sama, banyak barangan sudah bertaburan serta bersepah-sepah di merata tempat.

"Ketika itu, saya mula mencari suami sebelum ternampak sekujur tubuhnya terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di bahagian belakang khemah menyebabkan berasa begitu pilu dan sedih.

"Memang dalam tempoh itu, keadaan menjadi kelam-kabut apabila orang lain (peniaga dan pengunjung) lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri dan tiada siapa pun membantu untuk menyelamatkan suami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Arwah juga menunjukkan perubahan sikap apabila lebih banyak mendiamkan diri saja sepanjang hari, kelmarin berbanding kerana dia memang dikenali sebagai seorang yang peramah dan riuh.

myMetro
15 Ogos 2010


Tidak sahut panggilan

MELAKA: “Hati saya rasa amat tersentuh dan sebak apabila melihat keadaan arwah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kecederaan dialaminya, malah dia turut tidak menyahut apabila namanya dipanggil berulang kali.”

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dari Kampung Air Merbau, Bemban, dan pembantu gerai murtabak, Mahadi Muhammad, 39, dari Jertih, Terengganu turut maut akibat mengalami kecederaan sama.

Adnan dari Taman Maju, Jasin, berkata arwah yang juga anak bongsu daripada lapan beradik datang ke rumah kira-kira jam 8 pagi kelmarin untuk meminjam van miliknya kerana dikatakan mahu mengambil ayam bersama rakannya.

Menurutnya, dia tidak bertanya banyak kerana arwah memang kebiasaannya akan meminjam van berkenaan, selain mahu bergegas kerana mempunyai urusan di Kuala Lumpur.

Katanya, arwah kemudian memulangkan semula van berkenaan pada sebelah tengah hari tetapi mereka tidak sempat bertemu kerana tiada di rumah.

“Bagaimanapun, saya tiba-tiba mendapat panggilan kira-kira jam 6.15 petang semalam (kelmarin) memaklumkan arwah mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jasin,” katanya.

myMetro
15 Ogos 2010


Maut ditimpa besi khemah

KAMPUNG GONG NERING -: :Pembantu gerai martabak, Mahadi Mohamad, 40, yang terbunuh akibat ditimpa khemah ketika berniaga di bazar Ramadan pekarangan Stadium Jasin, Melaka, sempat menghubungi bapanya Mohamamd @ Abdullah Sulong, 68, sehari sebelum umat Islam menyambut ibadat puasa.

Mohamad berkata, anak sulung daripada lima beradik itu pergi ke Jasin menaiki bas sehari sebelum puasa untuk membantu ibu angkatnya di sana berniaga martabak.

Mohamad berkata, sebaik tiba, Mahadi menghubunginya memberitahu dia sudah selamat tiba dan akan berniaga martabak bermula hari pertama berpuasa.

“Itulah kali terakhir dia menghubungi saya melalui telefon memberitahu selamat sampai di Jasin untuk membantu ibu angkatnya berniaga. Dia kenal ramai orang di sana sebab saya pernah tinggal lama di Melaka ketika bertugas sebagai tentera dahulu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohamad berkata, anaknya yang masih bujang, seorang yang berjiwa seni kerana ketika di rumah, dia meminati kerja menggubah pokok bonsai, membuat kerusi taman daripada simen selain membantunya membalut kusyen kereta atau kerja yang memerlukan ketelitian.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada rakan lama Mahadi di Jasin memberitahu dia (Mahadi) terlibat dalam kemalangan.

“Pada mulanya pemanggil itu tidak memberitahu Mahadi meninggal dunia kerana tidak mahu saya terperanjat,” katanya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham tiba di rumah bapanya di sini jam 10.30 pagi semalam dengan kenderaan jenazah Hospital Jasin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jertih pada jam 12 tengah hari.

Mohamad berkata, jenazah anaknya tiba dalam keadaan sempurna, termasuk sudah dimandi dan dikafankan.

“Saya sedih dengan pemergian anak sulung saya ini tetapi kami sekeluarga redha dengan pemergiannya. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan membawa pulang dan mengebumikan jenazah anak saya,” katanya.

Turut hadir menziarahi jenazah semalam, Penasihat Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebelum itu, akhbar tempatan kelmarin melaporkan tiga peniaga bazar Ramadan di Stadium Jasin di sini maut termasuk Mahadi dan 18 lagi cedera akibat ditimpa besi khemah yang berterbangan setinggi tiang lampu 40 meter dalam kejadian ribut.

Sinar Harian
15 Ogos 2010


Arwah teringin makan kuih

RIM- Kakak sulung kepada Allahyarham Muhammad Wahab, 49, salah seorang mangsa yang terbunuh dalam kejadian ribut di Bazar Ramadan Jasin, kelmarin tidak menyangka hasrat adik bongsunya itu untuk membeli kuih bertukar tragedi.

Rokiah Wahab, 67, berkata arwah adiknya menyatakan hasrat untuk membeli kuih tepung pelita bersama-sama makanan kegemarannya, tapai di pasar Ramadan itu.

Namun, disebabkan cuaca yang semakin gelap kerana hendak hujan, adiknya keluar awal untuk membeli juadah berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga 6.30 petang, adiknya belum pulang sebelum dikejutkan dengan berita dia dimasukkan ke Hospital Jasin kerana kemalangan di Bazar Ramadan itu.

“Adik kedua semasa menghubungi saya memberitahu Muhammad berada di dalam keadaan kritikal dan di kejarkan ke Hospital Melaka (HM).

“Sebaik sahaja kami tiba ke HM untuk melihat adik, dua anak buah meminta saya bersabar kerana adik saya tidak lagi bernyawa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya dekat Kampung Rim, di sini semalam.

Rokiah berkata, adik bongsunya masih lagi bujang dan tinggal bersamanya sejak 10 tahun lalu serta rajin membantunya di rumah. Menurutnya, sebelum kejadian, Allahyarham Muhammad ada menunjukkan perangai pelik ketika mahu keluar menunaikan solat Jumaat, tengahari itu.

“Semasa mahu keluar menunaikan solat Jumaat, arwah pada mulanya memakai kain pelekat. Tetapi, selepas keluar rumah, arwah masuk semula dan memakai seluar untuk ke masjid.

“Ramai rakan-rakannya menegurnya mengapa memakai seluar untuk menunaikan solat Jumaat, namun saya hanya melihat sahaja tindakannya itu,” katanya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Muhammad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rim sebelum solat Zohor, semalam.

Dalam kejadian petang kelmarin, tiga maut selepas berlaku ribut di Bazar Ramadan dekat Stadium Jasin sehingga menyebabkan kesemua barangan serta khemah peniaga rosak teruk.

Sinar Harian
15 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment