July 31, 2010

Lenggong calon tapak warisan dunia

LENGGONG – Berikutan Lenggong dicalonkan sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Lenggong (MDL), Tukiren Siron mahu Ahli MDL turut memainkan peranan mereka dalam hal berkenaan.

Tukiren berkata, pemilihan dan pencalonan sesuatu kawasan sebagai tapak warisan dunia adalah kuasa Jabatan Kesenian dan Warisan malah Lenggong dipilih sebagai salah satu calon tapak warisan dunia UNESCO.

Menurutnya, di peringkat MDL sendiri semua pihak perlu sentiasa bersedia untuk perkara ini dan membuat pelbagai persiapan.

“Dengan itu kita tentunya memerlukan kerjasama daripada semua Ahli MDL bagi menjayakan agenda besar meletakkan Lenggong di peta dunia ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli MDL, kelmarin.

Beliau berkata, masyarakat perlu diberikan penerangan jelas berkenaan pencalonan Lenggong sebagai tapak warisan dunia kerana terdapat dalam kalangan mereka terlibat secara langsung dengan perkara ini.

“Kawasan yang terlibat dalam tapak warisan dunia dibahagikan kepada dua zon iaitu ‘core-zone’ merupakan kawasan penting serta banyak melibatkan tanah hak milik masyarakat dan ‘bumper-zone'.

“Itulah pentingnya diberikan penerangan jelas kepada masyarakat kerana setelah kawasan berkenaan diwartakan sebagai calon tapak warisan dunia, tentunya akan terdapat perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat di tapak itu,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak pasti berapa peratus kemungkinan Lenggong terpilih, tetapi tetap berharap UNESCO akan mengiktiraf kawasan itu sebagai tapak warisan dunia.

"Seandainya Lenggong benar-benar terpilih, ia akan dapat bergerak seiring dengan Pulau Pinang dan Melaka, dua tapak warisan dunia sedia ada di negara ini,” katanya.

Sinar Harian
30 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment