July 31, 2010

Lelaki maut kena tikam dua kali di dada

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas ditikam dua kali di dada selepas terlibat dalam pergaduhan di The Zone Stulang Laut, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi, selepas berlaku perselisihan faham di antara mangsa dengan sekumpulan lelaki terdiri daripada lapan orang, di dalam sebuah pusat hiburan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, perselisihan faham itu berlarutan sehingga di pekarangan pusat membeli-belah sehingga menyebabkan pergaduhan.

“Ekoran itu, mangsa ditikam dua kali di bahagian dada dengan senjata tajam, dipercayai pisau.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah dan disahkan maut, manakala kesemua suspek melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Johor, semalam.

Menurutnya, susulan itu, polis melakukan gerakan memburu suspek yang terlibat dan hasilnya, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

“Saki-baki suspek telah dikenal pasti dak kita akan memberkas mereka dalam tempoh waktu terdekat,” katanya.

Suspek ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sinar Harian
30 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment