July 26, 2010

Dua wanita dirompak enam lelaki bersenjata ketika turun bekerja

CEDERA: Salah seorang mangsa menunjukkan sebahagian daripada kecederaannya.

KUCHING: Dua wanita yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja mereka dirompak oleh enam lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal, menyebabkan mangsa mengalami cedera di bahagian lengan, tangan dan dada.

Kejadian berlaku pada jam 9.30 malam kelmarin semasa kedua-dua mangsa sedang berjalan kaki menuju ke kilang yang terletak hanya 20 minit perjalanan dari rumah mangsa, untuk bekerja syif malam.

Semasa dalam perjalanan kedua-dua mangsa yang berusia 30-an dan 50-an sedar bahawa mereka diekori oleh sekumpulan enam lelaki yang menunggang motosikal.

Lelaki terbabit kemudian mengepung dari arah belakang dan mangsa sambil mengeluarkan pisau dan mengugut untuk mencederakan dua wanita itu, jika mereka enggan menyerahkan duit mereka dan cuba melepaskan diri.

Dalam pergelutan untuk cuba melepaskan diri, kedua-dua mereka tercedera akibat terkena pisau manakala perompak terbabit berjaya merampaskan beg tangan keduanya, sebelum melarikan diri.

Kedua-dua wanita terbabit telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh ahli keluarga mereka untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

The Borneo Post
26 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment