July 28, 2010

Dua bumbung bangunan sekolah musnah diterbangkan ribut

YAN: Dua blok bagunan di sebuah sekolah rendah di Kuala Sala, dekat sini musnah dilanda ribut lewat petang semalam, menurut Pengarah Pelajaran Kedah Shahidan Abd Rahman.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 petang semalam, memusnahkan bumbung dua blok bangunan Sekolah Kebangsaan Sri Mahawangsa yang mempunyai 291 pelajar.

"Ketika kejadian, tiada pelajar di sekolah kerana waktu persekolahan sudah tamat. Angin ribut yang datang tiba-tiba disusuli dengan hujan lebat telah menerbangkan bumbung di kedua-dua blok bangunan sekolah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua blok yang terlibat dengan bencana itu membabitkan dua bilik guru perempuan dan lima buah kelas.

"Bagi murid tahun enam yang sedang menduduki peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), mereka menduduki peperiksaan di dewan, manakala murid lain yang kelasnya tidak terjejas, ditempatkan di kantin sekolah," katanya.

Shahidan berkata, kerugian yang dialami dianggarkan sebanyak RM200,000 membabitkan bumbung sekolah dan pendawaian elektrik, manakala peralatan-peralatan lain hanya basah disebabkan terkena air hujan.

"Kes ini akan dihantar ke Kementerian Pelajaran dan berharap agar pihak kementerian dapat menyalurkan peruntukan secepat mungkin supaya para pelajar dapat belajar dengan selesa," katanya.

Sementara itu, seorang saksi Zabawi Ahmad, 54, berkata beliau sedang menyapu sampah di tepi rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari sekolah kira-kira jam 6.45 petang semalam.

"Tiba-tiba saya ternampak angin kuat seperti puting beliung datang dari arah laut dan menerbangkan bumbung sekolah tersebut disusuli dengan hujan lebat.

"Disebabkan takut angin datang ke arah rumah saya, saya melaungkan takbir dan angin tersebut menuju ke arah padang sekolah," katanya yang turut memberitahu kejadian itu berlaku kira-kira 15 minit.-Bernama

28 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment