June 22, 2010

Pelajar cipta penapis asap

Pelajar SMK Kinarut menunjukkan ciptaan mereka ‘Bio Smoke Filter’ (penapis asap) yang memenangi kategori sekolah menengah pada Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 21 Jun – Kebimbangan terhadap kualiti udara yang semakin tercemar memberi ilham kepada Kelab Reka Cipta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut di Papar menghasilkan Penapis Asap Bio (Bio Smoke Filter).

Penapis Asap Bio merupakan penapis asap yang berfungsi meneutralkan serta membersihkan asap-asap hitam yang dikeluarkan oleh kilang-kilang.

Penapis mesra alam yang dicipta oleh sekumpulan lima pelajar tingkatan empat tersebut turut mampu menghilangkan bau asap yang dikeluarkan oleh kilang-kilang perindustrian.

Kejayaan mencipta Penapis Asap Bio itu lebih bermakna apabila sekolah itu turut memenangi kategori sekolah menengah pada Pertandingan Inovasi, Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Sabah, baru-baru ini.

Meskipun alat tersebut kelihatan ringkas tetapi ia boleh dianggap sebagai ciptaan yang membanggakan dalam usaha menjaga dan memulihara alam sekitar.

Ketua Kumpulan tersebut, Mohd. Yassin Donjuan, 16, berkata, idea bagi mencipta alat inovasi itu diperoleh selepas menyedari kualiti udara yang semakin tercemar yang memberi kesan buruk kepada kesihatan awam.

“Atas kesedaran ini, kami memikirkan untuk membuat Penapis Asap Bio ini.

“Kami mengambil masa beberapa bulan mencari kaedah-kaedah mudah bagi menciptanya dengan dibantu guru pembimbing Kelab Reka Cipta SMK Kinarut,” katanya.

Katanya, Penapis Asap Bio tersebut amat praktikal digunakan di kilang-kilang kerana mampu menapis asap seterusnya mengeluarkan udara bersih.

“Kami menggunakan arang yang berfungsi memerangkap asap hitam yang disejat menggunakan humidifier iaitu pelembap ruangan yang diletakkan di dalam air.

“Bau daripada asap ini pula akan ditapis oleh arang supaya apabila dibebaskan ke udara ia tidak berbau busuk,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Yassin berkata, kos keseluruhan bagi menyiapkan projek tersebut adalah kira-kira RM1,000 bagi membeli peralatan seperti balang kaca, paip getah dan arang.

Menurutnya, proses menyiapkan projek berkenaan hanya mengambil masa kira-kira sebulan, termasuk mengadakan ujian keberkesanan.

Dalam pada itu, katanya, kelebihan lain yang ada pada alat ini termasuklah penggunaan kos yang efektif kerana tidak memerlukan tenaga elektrik.

“Apa yang perlu adalah menukar alat pelembap ruangan atau humidifier pada masa tertentu. Air kotor hasil sejatan asap hitam terlebih dahulu melalui proses penyulingan sebelum dibuang,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli kumpulan berkenaan Mohd. Muaz Ghazali berkata, ahli kumpulan itu sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang berminat menggunakan alat tersebut.

“Alat ini masih di peringkat pengenalan memandangkan ia dicipta untuk pertandingan. Apa pun kami berbangga kerana telah buktikan bahawa Penapis Asap Bio memang berkesan dan berharap hasil inovasi ini akan diterima pakai oleh semua pihak termasuk kerajaan,” katanya.

Utusan Online
21 Jun 2010

3 comments:

  1. macam mana nak contact dengan tuan punya project ni?

    ReplyDelete
  2. rindu sma my classmate ni :)

    ReplyDelete
  3. NURATIQAH JANI : classmate mu kh ni? mcm mna mau dpt contact dorang ni ar?

    ReplyDelete