May 22, 2010

Hubungan cinta dorong kejayaan

SHAH ALAM: “Hubungan ‘teman tapi mesra’ kami diketahui ahli keluarga dan pada mulanya mereka bangkang. Tapi lama kelamaan mereka restui, tetapi dengan syarat mesti berjaya dalam pelajaran,” kata Muhammad Noor Azam, 22, yang merangkul Anugerah Naib Canselor, pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-72 di Dewan Sri Budiman, di sini, semalam.

Dia yang mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal memperoleh nilai gred purata kumulatif (CGPA) 3.93, manakala rakannya, Izzati Nadia Mohamad, 22, yang mengambil Diploma Kejuruteraan Kimia memperoleh CGPA 3.79.

Kedua-dua mereka kini menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang masing-masing di UiTM induk, di sini.

Muhammad berkata, sesiapa saja boleh bercinta, tetapi perlu bijak dan mengetahui tanggungjawab sebagai pelajar dan matlamat utama berada di universiti.

Anak sulung daripada 10 beradik kepada pasangan pensyarah itu berkata, dia tidak mensia-siakan syarat yang diberikan keluarganya dan akhirnya dia mencatat keputusan cemerlang dengan mendapat hampir semua A dalam subjek yang diambil.

“Hubungan kami mula mesra sejak dua tahun lalu dan masing-masing tidak pernah lupa tanggungjawab utama iaitu menimba ilmu demi masa depan.

“Walaupun tidak dapat melakukan perbincangan pelajaran bersama kerana berlainan jurusan kami tetap cuba membantu satu sama lain,” katanya. Mereka turut mengikat janji untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam ijazah sarjana muda.

Sementara itu, Izzati Nadia yang berasal dari Terengganu berkata, mereka sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain untuk berusaha lebih keras demi kecemerlangan dalam pelajaran.

myMetro
22 Mei 2010

0 comments:

Post a Comment