May 22, 2010

OKU minta bantuan disuruh balik cari kerja

KUALA LUMPUR: “Minggu ini saja sudah tiga kali saya pergi minta bantuan bulanan di JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) namun mereka suruh balik dan cari kerja. Tapi semua tempat saya pergi tidak mahu ambil saya bekerja,” luah orang kurang upaya (OKU), Muhammad Aidil Che Mamat, 21.

Walaupun memiliki tubuh mirip individu normal, Aidil sukar mendapatkan bantuan walaupun dia sebenarnya OKU yang mengalami masalah kesihatan mental, malah dia tetap sukar mendapatkan bantuan daripada JKM biarpun memiliki kad OKU.

Ibunya, Siti Rakiah Mamat, 56, berkata, Aidil mendapat bantuan JKM melalui sekolah tetapi selepas tamat belajar bantuan itu terputus dan disarankan membuat permohonan baru.

Namun, apabila permohonan dibuat, Aidil diminta untuk mencari kerja memandangkan susuk tubuhnya kelihatan normal. “Bila pergi, mereka suruh dia (Aidil) cari kerja, macam mana dia hendak bekerja kalau sukar hendak dikawal, tak mahu dengar arahan, dia akan buat apa yang disukai.

Memang kalau tengok tubuhnya seperti orang lain tetapi tak ada majikan hendak ambil dia bekerja kerana masalah kesihatan mentalnya.

“Dia tidak mampu mengawal pemikirannya. Walaupun tidak tahu membaca dan mengira namun dia bijak. Dia sendiri ke JKM dan sendiri mengadu kepada Harian Metro selepas geram kerana sukar mendapat bantuan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, bapanya, Che Mamat Che Daud, 58, berkata, dia yang kini seorang pesara berpendapatan kurang RM200 sebulan meminta JKM menyalurkan bantuan kepada Aidil kerana sudah menjadi hak OKU untuk mendapat bantuan daripada kerajaan.

Katanya, dia tidak faham mengapa Aidil yang memiliki kad OKU tetap sukar mendapat bantuan.

“Saya bukan minta bantuan untuk diri saya dan isteri, tetapi untuk Aidil. Buat masa ini kami masih hidup, bagaimana jika kami tiada? Bukankah setiap OKU itu mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan.

“JKM sepatutnya tidak bersikap acuh tak acuh, memang fizikal Aidil normal, tetapi mentalnya tidak. Dia pernah minta kerja, tetapi siapa hendak ambil bekerja kalau keadaan dia seperti ini?,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rohana Sulaiman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Aidil.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana OKU yang masih belum berdaftar untuk membuat permohonan di JKM berhampiran.

“Semakan nombor kad pengenalan sudah dibuat, dia (Aidil) tidak pernah membuat permohonan kepada pihak kami dan di mana-mana negeri.

“Sehubungan itu, Aidil atau mana-mana golongan OKU yang masih belum membuat permohonan diminta mendaftarkan diri bagi memudahkan JKM menyalurkan bantuan.

“JKM akan bagi bantuan mengikut kelayakan, jika OKU tidak bekerja bantuan bulan RM150 akan diberi, namun jika OKU bekerja bantuan bulanan RM300 akan diberikan,” katanya.

myMetro
22 Mei 2010

1 comment:

  1. "Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rohana Sulaiman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Aidil."

    Macam mana saudara Muhammad Aidil nak buat permohonan secara rasmi kalau tiba kat kaunter belum apa-apa lagi dah disuruh balik? Pikirlah. Kalau aku pun geram.

    Sesape yang mengata saudara Muhammad Aidil ni, pikirkanlah, anda bukan berada di tempat beliau. Anda tak tahu macam mana pengalaman beliau yang ditakdirkan dilahirkan seperti itu. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

    ReplyDelete