April 30, 2010

24 jam terapung di laut


KUANTAN - Dua nelayan pantai yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sejak keluar menangkap ikan berhampiran kawasan boya kira-kira 7 batu dari Pantai Teluk Cempedak di sini awal pagi, Rabu lalu ditemui dalam keadaan selamat, petang semalam.

Che Abdul Ghani Man, 47 dan rakannya yang dikenali sebagai Nasir, 50-an ditemui dua nelayan berhampiran kawasan Pantai Kampung Cempaka selepas hanyut sejauh kira-kira 20 kilometer dari lokasi tempat bot mereka rosak.

Dua rakan itu terkandas selepas enjin bot gentian kaca sepanjang 18 kaki yang digunakan ketika keluar menangkap ikan rosak kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menangkap ikan.

Ketika ditemui kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat bagaimanapun agak keletihan akibat kelaparan.

Che Abdul Ghani berkata, dia bersama rakannya keluar menangkap ikan selepas subuh Rabu lalu di kawasan boya itu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang, enjin bot 15 kuasa kuda yang digunakan mereka rosak dan tidak dapat dibaiki.

“Saya tidak panik pada mulanya kerana selalunya ada bot-bot nelayan melalui kawasan yang sama untuk pulang bagaimanapun harapan itu hancur apabila kebanyakan bot berada agak jauh dan tidak nampak lambaian kami meminta bantuan.

“Akhirnya kami terpaksa berserah dan membiarkan bot dihanyutkan arus dengan harapan ada nelayan lain yang akan menemui dan menyelamatkan kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Dia berkata, selepas berdoa dengan penuh harapan, akhirnya permintaannya dimakbulkan Allah apabila seorang nelayan dari Kampung Cempaka dekat sini, Mohd Taib Mohd Ali, 58 menyedari lambaian mereka sebelum datang membantu.

“Saya bersyukur kerana terselamat walaupun terpaksa terapung selama lebih 24 jam serta bermalam di tengah lautan dalam keadaan kesejukan dan kelaparan.

“Selama terkandas kami hanya bergantung dengan bekalan tiga buku roti dan air kosong” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia bercadang untuk berehat beberapa hari sebelum meneruskan pekerjaan yang dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam pertemuan semalam, Che Abdul Ghani menafikan musibah yang berlaku itu ada kaitan dengan seekor ikan ibu gelama berwarna kuning keemasan seberat 24 kilogram yang ditangkap sehari sebelum kejadian.

Sementara itu, Mohd Taib yang membantu menyelamatkan dua rakan itu berkata, dia bersama seorang lagi nelayan dalam perjalanan pulang ke Kampung Cempaka selepas selesai menangkap ikan.

Menurutnya, dia ternampak dua lelaki melambai-lambaikan tangan seolah-olah meminta bantuan lalu mendekati mereka.

“Menyedari masalah yang menimpa mereka, saya menunda bot yang rosak itu ke pangkalan ini (Tanjung Api),”katanya.

Kehilangan dua rakan itu menggemparkan penduduk sehingga usaha mencari digerakkan sejak kelmarin sebelum disambung pagi semalam.

Bimbang nasib mereka yang tidak menentu, rakan mereka yang juga pemilik bot, Ramli Ismail membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira dua jam sebelum mangsa tiba di pangkalan.

Sinar Harian
30 April 2010

0 comments:

Post a Comment