May 21, 2016

Empat jam tersepit bawah runtuhan besi

Pekerja Bangladesh yang cedera parah dibawa ke ambulans untuk dihantar ke hospital. - Foto AZHAR RAMLI

Anggota Bomba dan Penyelamat bersama pasukan SMART mengeluarkan pekerja yang terperangkap di bawah runtuhan dalam besi perancah sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Persiaran Barat, Petaling jaya, petang tadi. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengeluarkan seorang pekerja dari bawah runtuhan besi perancah sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Persiaran Barat, di sini.

Difahamkan runtuhan berlaku di bahagian atas tingkat lima bangunan itu kira-kira 10 pagi tadi menyebabkan besi perencah di tingkat lima dan empat runtuh. Ketika kejadian, ada enam pekerja membabitkan seorang warga tempatan dan lima warga Bangladesh. ‘

Pegawai Operasi Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mustakim Rimon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian kira-kira 10.25 pagi.

Menurutnya, 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya serta Damansara dikerah ke lokasi untuk membantu mangsa.

"Tiga pekerja sempat menyelamatkan diri manakala dua lagi diselamatkan pekerja lain yang berada berdekatan lokasi. Semua mereka cedera ringan.

“Seorang pekerja warga Bangladesh yang tersepit di bawah runtuhan besi perancah diselamatkan anggota bomba kira-kira jam 3 petang tadi. Mangsa cedera parah dari bahagian kaki hingga pinggang," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Mustakim berkata, semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan dan bomba masih melakukan siasatan punca runtuhan itu.

myMetro 15 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment