May 21, 2016

Lima cedera nahas dua lori

Keadaan lori yang rosak teruk akibat kemalangan itu

TAPAH – Lima cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua lori di Kilometer 327.5 Lebuhraya Utara Selatan kira-kira 500 meter sebelum susur keluar Tol Tapah, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, pemandu lori berusia 52 tahun bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 26 dan 17 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Buloh, Selangor menuju ke Kedah.

“Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lagi lori melanggar bahagian belakang kenderaan yang dinaiki tiga beranak itu sewaktu mereka berada di lorong kiri jalan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan kenderaan yang dinaiki tiga lelaki terbabit melanggar pengadang jalan dan terbalik manakala sebuah lagi lori yang turut dinaiki tiga orang termasuk dua warga asing melintang di lorong kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut rosak pada bahagian hadapan dan belakang.

"Kesemua mangsa cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
15 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment