April 22, 2016

Bila papa nak balik?

Thihong tidak dapat menahan kesedihan setiap kali dua anaknya, Yu Chong (kanan) dan adiknya, How En, merindui bapa mereka yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.

SEKINCHAN – “Bila papa mahu balik mama, lamanya papa ke laut,” itu ayat yang sering keluar dari mulut anak sulung Heng Chee Yong, 29, antara dua tekong bot nelayan di Sekinchan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak 3 Mac lalu.

Isteri Chee Yong,  Nguyen Thihong, 29, berkata, anaknya, Heng Yu Chong, 5, sering bertanya ke mana bapanya itu pergi memandangkan sudah lama tidak nampak kelibat suaminya itu di rumah mereka di Bagan Sekinchan.

Thihong berkata, anak lelakinya itu sering menangis kesedihan mengenangkan nasib bapanya itu, apatah lagi mereka tidak pernah terpisah terlalu lama dengan Chee Yong yang disifatkan sebagai seorang bapa penyayang dan bertanggungjawab.

“Kalau dia (Yu Chong) menangis, saya pun tak dapat tahan air mata dari mengalir. Malah, saya peluk Yu Chong dan bisik kepadanya supaya sabar sebab papa akan pulang tak lama lagi.

“Tapi, sampai bila saya nak tipu dia, setiap hari dia tanya tentang suami... saya jadi buntu,” katanya kepada Sinar Harian.

Thihong berkata, anak keduanya, Heng How En, 4, juga pernah beberapa kali bertanya tentang Chee Yong, namun tidak sekerap anak sulungnya itu.

“Saya selalu risau dan cemas fikirkan keadaan kesihatan dan keselamatan suami. Kadang-kadang nak terlelap pun tak tenang, selalu sangat terjaga dari tidur,” katanya.

Menurutnya, dia hanya bekerja mengambil upah menggunting rambut secara sambilan dan bergantung kepada suaminya bagi mencari sumber pendapatan keluarga.

Justeru katanya, dia berharap pihak kerajaan mencari jalan terbaik agar suami dan nelayan lain serta bot yang ditahan tersebut dapat dibebaskan.

Seorang lagi isteri tekong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia, How Yee Ling, 44, mengakui dia dan tiga anaknya berusia 12 hingga 16 tahun turut bimbang terhadap keadaan suaminya,  Chua Lee Teck, 46, yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.

“Rasa rindu dan sedih silih berganti setiap kali kenangkan nasib suami. Kali terakhir jumpa suami pada 1 Mac lalu sebelum dia keluar ke laut.

“Anak-anak juga selalu tanya tentang bapa mereka. Hanya tengok gambar album untuk hilangkan rasa rindu,” katanya sebak.

Bapa Lee Teck, Chua Kee Chong, 66, berkata, dia tertekan dengan situasi yang dihadapinya itu memandangkan anak sulung daripada empat beradik itu masih belum dibebaskan pihak terbabit.

Kee Chong yang juga pemilik bot berkata, dia menjual kedainya untuk membeli bot pukat tunda zon B berusia 16 tahun itu dengan harga RM700, 000 kira-kira tujuh bulan lalu.

“Tak sangka pula, anak dan bot saya kena tahan. Bot inilah punca pendapatan sekeluarga.

“Macam mana nak makan, nak bayar hutang.. hutang bot ada lagi RM 300,000. Walaupun bot tak ada, hutangnya kena bayar RM8,000 sebulan,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiga bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia termasuk dua bot yang berpangkalan di Bagan Sekinchan.

Wartawan Sinar Harian
22 April 2016

0 comments:

Post a Comment