April 22, 2016

Tangkapan ular meningkat akibat cuaca panas

Anggota JPAM Kota Setar menunjukkan antara ular pelbagai jenis yang ditangkap tahun ini. - Foto Fail

Kuantan: Jumlah tangkapan ular oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di seluruh negara sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, meningkat berikutan cuaca panas melampau.

Ketua Pengarah JPAM Datuk Ogu Salim Omar berkata sejak Januari hingga Mac lalu, 11,994 kes tangkapan ular direkodkan jabatan itu, meningkat 603 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Tahun ini negara kita menghadapi musim panas dan kering, ular mencari tempat perlindungan yang sejuk, lari daripada tempat panas, masuk ke dalam rumah," katanya selepas menutup Kem Tahunan Pertahanan Awan Politeknik Malaysia di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Pahang (POLISAS) di sini, hari ini.

Ogu Salim berkata kesedaran yang meningkat dalam kalangan masyarakat mengenai kebolehan anggota JPAM menjinakkan reptilia berkenaan juga antara faktor peningkatan kes yang dikendalikan agensi itu.

“Saya nasihatkan orang ramai apabila menjumpai binatang berbisa ini, jangan ambil tindakan sendiri sebab ular ada banyak jenis, seperti ular tedung dan ular sawa yang masyarakat tidak tahu.

"Hubungi talian MERS (Malaysian Emergency Response Services) 999. Kami sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan melalui anggota terlatih untuk menangani situasi itu," katanya. - BERNAMA

myMetro 22 April 2016



0 comments:

Post a Comment