April 22, 2016

Kereta terjunam setinggi enam meter

Kereta yang terjunam di tempat letak kereta bawah tanah di Forest Height.

SEREMBAN - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke tempat letak kereta bawah tanah di sebuah pasar raya di Forest Height, Senawang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa memandu kereta jenis Perodua Myvi dari Forest Height 1 dipercayai terbabas lalu merempuh tembok pengadang jalan sebelum terjunam pada ketinggian enam meter.

Ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, K Putthisigamany berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota dan sebuah jentera selepas menerima panggilan kecemasan jam 8.27 malam.

“Sebaik sampai, mangsa telah pun dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam dan dia hanya mengalami cedera ringan.

“Mangsa dibawa dengan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Tuanku Jaafar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Pasar raya tersebut sudah tidak beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Wartawan Sinar Harian
22 April 2016

0 comments:

Post a Comment