January 3, 2016

Pemuda hampir diculik

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda nyaris diculik selepas diserang oleh tiga lelaki dalam satu kejadian pada kira-kira jam 12.15 tengah malam, di Kampung Jeram, Hulu Tepoh, di sini, Isnin lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 24 tahun sedang menonton televisyen dalam bilik tidurnya bersama ahli keluarga serta tiga rakan sebelum dikejutkan dengan kehadiran ketiga-tiga suspek yang mana salah seorang dikenalinya.

Menurut satu sumber, ketiga-tiga suspek bersenjatakan dua pedang dan sepucuk pistol buatan sendiri telah masuk ke dalam bilik tidur mangsa setelah menendang tingkap bilik tersebut.

"Sejurus suspek menceroboh masuk, mereka dipercayai telah mengamuk dengan memecahkan barangan dalam bilik itu sambil mencari salah seorang rakan mangsa yang kebetulan ada bersama.

"Selepas mendapatkan rakan mangsa itu, salah seorang suspek menghampiri mangsa lalu membelasah dan menggari tangan menggunakan gari yang dibawa bersama," katanya.

Sumber berkenaan menyatakan, suspek belum puas hati dengan mangsa lalu cuba menarik mangsa bersama seorang rakannya untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dinaiki mereka.

Mangsa bagaimanapun nekad melarikan diri dan terjun dalam sungai berhampiran dengan tangannya masih bergari.

Dia hanya mampu melihat ketiga-tiga suspek berkenaan melarikan rakannya dan sebelum itu, mereka sempat mengambil telefon bimbit, beg duit dan 'power bank' milik adik mangsa.

Susulan kejadian, mangsa yang cedera ringan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, di sini, kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya serta risaukan keselamatan rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Ab Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan memaklumkan kes tersebut sedang disiasat.

Sinar Harian 2 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment