January 2, 2016

Hasrat bertemu suami musnah


Henny Karnita menunjukkan laporan polis yang dibuat dan kad pengenalan suami yang disimpan.

SEREMBAN - Suami yang ditunggu, jasad yang diterima. Begitulah, kisah penantian seorang isteri yang penuh hiba, apabila hasrat untuk bertemu suami setelah dua tahun berada di penjara tidak kesampaian, sebaliknya berita kematian pula yang diterima.

Henny Karnita Karnain, 35, ibu kepada empat cahaya mata memaklumkan sehingga kini dia masih lagi sangsi dengan kematian suaminya, Zulfakry Ibrahim, 43, pada 9 Jun lalu, berikutan laporan bedah siasat yang diterima dengan jawapan daripada pihak berkuasa bercanggah.

Menceritakan kembali detik kejadian, pada 3 Jun lalu, dia ke penjara Sandakan Sabah untuk mengambil suaminya yang sepatutnya dibebaskan pada 6 Jun setelah dua tahun menjalani hukuman penjara.

Namun katanya, sebaik sahaja tiba di penjara tersebut, mereka memaklumkan bahawa suaminya telah dipindahkan ke Rumah Merah, iaitu Pusat Tahanan Sementara Sibuga (PTS) atas alasan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kad pengenalan suami ada pada saya, untuk memudahkan saya membuat sebarang permohonan bantuan, termasuk urusan persekolahan anak.

“Mustahil dokumentasi suami tidak ada di penjara kerana dia telah ditahan selama tempoh dua tahun dan bukannya kes baru," katanya semasa ditemui Sinar Harian, semalam.

Kata Henny Karnita,  dia kemudian diarahkan ke Jabatan Imigresen Sandakan untuk bertanyakan hal mengenai suaminya.

Tambahnya, pada 8 Jun, dia menghubungi Jabatan Imigresen untuk bertanyakan mengenai urusan membuat pengecaman identiti, namun pegawai bertugas memaklumkan supaya bersabar.

Katanya, apa yang menjadi tanda tanya walaupun kad pengenalan suami telah ditunjukkan kepada mereka, namun proses tersebut perlu juga dilaksanakan pada hal muka di kad pengenalan itu adalah sama, bukannya gambar lama.

“Kemudiannya, pada 10 Jun, seorang pegawai imigresen menghubungi saya dan memaklumkan bahawa suami sudah meninggal dunia akibat terjatuh dan tidak sedarkan diri, serta meminta saya ke PTS untuk mengambil barang milik suami, selain menuntut jenazahnya di Hospital Sandakan.

“Pada awal kematian, pihak imigresen memberitahu bahawa suaminya mati akibat jatuh, namun melalui laporan bedah siasat yang dikeluarkan pihak hospital, kematian adalah disebabkan jantung tersumbat.

“Saya yakin, Allahyarham suami saya telah diseksa dan dipukul, berdasarkan kesan lebam di seluruh anggota badannya yang jelas kelihatan, selain keadaan hidung yang cedera dipercayai patah,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia dan keluarga masih lagi tidak tahu mengapa Allahyarham suaminya di hantar ke PTS dan menafikan hak kewarganegaraannya secara jelas, sedangkan semua dokumen termasuk kad pengenalan telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lahad Datu, Sabah pada 12 Jun lalu.

Menurut Henny Karnita, dia merayu supaya pihak berkaitan menyiasat segala kelemahan, kecuaian serta kelalaian yang telah berlaku sehingga menyebabkan nyawa suaminya terkorban.

Katanya, surat maklum balas yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, mengenai kejadian tersebut pula adalah tidak boleh diterima.

“MKN Sabah mereka memaklumkan bahawa tiada ahli keluarga yang melawat Allahyarham sepanjang berada di penjara, pada hal kali terakhir saya bertemu suami pada Februari 2015, malah segala bukti dokumen dan laporan keluar masuk lawatan.. saya ada simpan.

“Saya harap ada pihak yang sudi meneliti semula kes ini dan mempertimbangkan siasatan semula bagi mendapatkan keadilan, buat saya dan anak-anak,” katanya.

Tiada pengenalan diri

Sementara itu, melalui surat MKN Sabah yang keluarkan pada 1 Disember lalu, mereka memaklumkan bahawa, pada 9 Jun 2015, pada jam 2 petang, Zulfakry telah dibawa ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk pengecaman cap jari dan hasil daripada proses tersebut telah berjaya membuktikan bahawa Zulfakry adalah seorang warganegara Malaysia.

Jelasnya, pada hari yang sama, Zulfakry dihantar semula ke PTS untuk proses pembebasan, namun malangnya ketika beliau sedang berkemas, dia terjatuh dan pengsan di hadapan tandas dengan turut disaksikan beberapa tahanan lain.

Justeru itu, pihak berkenaan menegaskan bahawa tiada sebarang unsur jenayah yang menjadi punca kematian Allahyarham ketika di PTS.

Sepanjang enam hari berada di PTS, Allahyarham menunjukkan sikap yang sangat mesra dan peramah kepada semua tahanan, malah beberapa jam sebelum kejadian, Allahyarham ada memberi lebihan pakaiannya kepada sebahagian tahanan.

“Sikapnya yang baik dan disenangi semua, membuatkan kami yakin bahawa tiada unsur dendam, mahupun kejadian jenayah berlaku ketika di PTS,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, semua kejadian itu tidak akan berlaku, sekiranya ahli keluarga berjaya mengemukakan kad pengenalan Allahyarham memandangkan selama tempoh dua tahun tiada seorangpun yang menyerahkan kad pengenalannya, bagi proses dokumentasi kewarganegaraan, sehingga memaksa mereka menghantarnya ke PTS.

Sinar Harian 1 Januari 2016


0 comments:

Post a Comment