November 4, 2013

Mayat dibaluti selimut ditemui di bawah jambatan

Mayat yang ditemui berikat dan dibungkus dengan selimut menggemparkan penduduk setempat. - Foto Sinar Harian

Tanjong Karang: Orang ramai yang melalui kawasan bawah jambatan Sungai Tengi, berhampiran Pekan Tanjong Karang, di sini, gempar dengan penemuan mayat lelaki reput dan berbau busuk, petang semalam.

Lebih mengejutkan, mayat ditemui jam 1.15 tengah hari itu dipercayai dibunuh kerana dibungkus dengan kain selimut selain mempunyai tali dijerut pada leher.

Selain itu, mayat lelaki terbabit juga diikat dengan seketul batu dipercayai untuk ditenggelamkan dan menghapuskan bukti.

Menurut sumber, terdapat tali nilon berwarna hijau pada leher mangsa.

“Ketika ditemui, mayat masih berpakaian lengkap iaitu kemeja berkolar berwarna kelabu dan seluar panjang warna biru muda berserta tali pinggang jenama Doula.

“Keadaan mayat ketika ditemui hanya tinggal tengkorak selain bahagian badannya hanya tinggal tulang kerana daging pada tubuhnya juga mereput,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat daripada orang awam jam 1.15 tengah hari.

Menurut beliau, siasatan mendapati mayat yang ditutup dengan selimut itu berhampiran dengan tebing sungai ketika air surut dan anggotanya terpaksa mengikat mayat itu pada kayu berhampiran sementara menunggu pasukan forensik tiba ke tempat kejadian.

Katanya, mayat ditemui lengkap berpakaian dan polis masih menunggu laporan bedah siasat mengenai identiti mayat berikutan keadaannya yang reput.

“Mayat dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat lanjut bagi mengetahui identiti sebenar dan tempoh lelaki itu dibunuh.

“Kami percaya mangsa sudah lama mati berdasarkan pada mayat mereput namun siasatan lanjut masih dijalankan dan punca kematian hanya boleh diketahui selepas bedah siasat dijalankan esok (hari ini),” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro 5 Nov 2013


Ngeri mayat berbungkus selimut

TANJONG KARANG - Hasrat seorang lelaki mahu menangguk ikan di bawah jambatan di pekan Tanjong Karang, di sini terbantut apabila menemui bungkusan kain selimut berbau busuk kira-kira jam 1.15 petang, semalam.

Kerana curiga, lelaki terbabit mendekati bungkusan dan terkejut apabila mendapati mayat berikat dalam keadaan mengerikan sebelum menyuruh anaknya menghubungi pihak polis.

Kejadian itu turut menggemparkan orang ramai dan mula mengerumuni kawasan jambatan berhampiran bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang meskipun bau agak memualkan.

Sinar Harian difahamkan, lelaki itu dipercayai mati dibunuh beberapa bulan sebelum ditemui penduduk kerana berdasarkan keadaan badannya yang sudah mereput manakala leher mangsa dijerut dengan tali.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.15 petang dan pegawai polis yang diketuai Inspektor Rozaini Rosmin bergegas ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, mayat lelaki itu diikat dengan tali nilon berwarna hijau di bahagian badan, tangan dan kaki. Manakala seketul batu berbentuk empat segi turut berikat pada badan mayat yang dibungkus dengan kain selimut.

“Keadaan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak  manakala bahagian badan mereput menyukarkan pihak polis mengenal pasti cap jari mangsa. Pihak polis turut menemui kesan kecederaan pada paha dan pinggang mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian
semalam.

Muhd Taib menjelaskan, siasatan mendapati mayat yang ditemui berhampiran tebing sungai ketika air surut dan anggotanya terpaksa mengikat mayat itu pada kayu berhampiran sementara menunggu pasukan forensik tiba ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui berpakaian baju kemeja-T kelabu berkolar bulat dan memakai seluar jean biru muda dengan tali pinggang berjenama Doula.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui. Kita percaya dia sudah lama mati berdasarkan keadaan mayat. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan dan punca kematian hanya boleh diketahui selepas bedah siasat dijalankan esok (hari ini).

“Mayat kemudian  dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya yang menolak kes itu ada kaitan dengan penemuan kes lelaki berikat dengan batu yang ditemui berhampiran Jeti Lorong Budiman Sungai Tengi pada 10 September lalu.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor atau Bilik Mayat Hospital Tanjong Karang untuk tujuan pengecaman.

Sinar Harian 5 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment