November 4, 2013

Pasangan maut balik dari majlis resepsi kahwin

Keadaan kereta Persona yang dinaiki Chai Soon (gambar kecil kiri) dan Siew Boon yang maut dalam nahas di Kilometer 25, Jalan Muar-Batu Pahat, dekat Parit Belukang, Sungai Balang, semalam.

MUAR - Dua maut manakala tujuh lagi cedera dalam dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Pesona, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dan bas di Sungai Berlukang, dekat Parit Jawa , Jalan Muar-Batu Pahat pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Tan Chia Soon, 55, dan isterinya, How Siew Boon, 54, yang menaiki Proton Persona terbunuh di tempat kejadian.

Tiga wanita berusia  23, 44 dan 54, yang menaiki kenderaan pelbagai guna pula cedera manakala empat lagi penumpang tidak cedera.

Pemandu bas yang berada di belakang kereta berkenaan juga cedera selepas basnya terbabas ke dalam parit ketika mengelak ke kiri jalan dari melanggar kedua-dua kenderaan yang remuk itu.

Terdapat 20 penumpang di dalam bas berkenaan namun mereka tidak cedera.

Kakak Tan, Tan Bay Kian, 45, berkata, abang dan kakak iparnya sedang dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat selepas menghadiri satu majlis resepsi perkahwinan seorang rakan baik di sebuah restoran di Muar.

Ketika ditemui di rumah mayat hospital, dia berkata pasangan tersebut meninggalkan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan.

Bay Kian berkata abangnya bekerja sebagai penjaga kubur di sebuah tanah perkuburan di Batu Pahat manakala isterinya seorang suri rumah.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata siasatan masih dijalankan.

Sumber NST 4 Nov 2013


Suami isteri maut balik majlis kahwin

Muar: Sepasang suami isteri meninggal dunia dalam keadaan penuh tragik apabila suaminya terperosok di tempat pemandu, manakala isterinya tercampak keluar sejauh lebih dua meter dari Proton Persona dinaiki mereka selepas merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dan sebuah bas persiaran di Kilometer 25, Jalan Muar-Batu Pahat, berhampiran Parit Belukang, Sungai Balang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa Tan Chai Soon, 55, dan isterinya, How Siew Boon, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.

Empat mangsa lain yang cedera seorang penumpang Nissan Serena, Hanizah Misran, 44, yang patah tangan kiri, pemandu bas berusia 46 tahun serta dua penumpang bas wanita berusia 23 tahun dan 44 tahun.

Harian Metro difahamkan ketika kejadian pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Puteri, Batu Pahat.

Mereka sebelum itu dipercayai ke bandar ini untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan anak mereka.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Tan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV dan bas berkenaan.

Rempuhan secara berdepan itu mengakibatkan kenderaan dinaiki pasangan berkenaan remuk teruk di bahagian depan, menyebabkan Tan terperosok di tempat duduk pemandu, manakala How tercampak keluar.

Pegawai Kanan Bomba 2 Balai Bomba dan Penyelamat Muar Rahman Taib berkata, satu jentera bersama lapan anggota ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.

“Ketika kami tiba, mangsa sudah meninggal dunia dan mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Kami terpaksa mengambil masa untuk mengeluarkan mayat, namun semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, mayat seorang lagi mangsa ditemui di kawasan berhampiran dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian.

Katanya, semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan dilaporkan stabil.

myMetro 5 Nov 2013


'Tak tergamak ibu tahu abang, kakak maut'

Muar: “Ibu menghidap sakit jantung dan saya tidak tergamak memberitahunya berita buruk kematian abang dan kakak ipar kerana bimbang kesihatannya,” kata adik mangsa kemalangan maut, Tan Lee Kien, 45.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, Tan Chai Soon, 55, dan isterinya, How Siew Boon, 54, maut selepas PROTON Persona yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dan bas ekspres.

Kejadian di Kilometer 25, Jalan Muar-Batu Pahat, dekat Parit Belukang, Sungai Balang itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak daripada kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Puteri, Batu Pahat, selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan anak mereka di Muar.

Kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh Nissan Serena dan bas ekspres daripada arah bertentangan.

Kejadian itu turut menyebabkan MPV yang dinaiki tujuh orang sekeluarga terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang lampu, manakala bas yang membawa 28 penumpang terbabas memasuki kebun sawit di tepi jalan berkenaan.

Penumpang Nissan Serena, Hanizah Misran, 44, patah tangan kiri, manakala pemandu bas berusia 46 bersama dua penumpang wanita berusia 23 tahun dan 44 tahun, turut cedera.

Lee Kien berkata, abang sulungnya yang mempunyai tiga anak menjaga ibu mereka yang berusia 80 tahun dan tinggal bersama, malah hubungan dua beranak itu sungguh rapat.

Abang rapat dengan ibu 

“Abang rapat dengan ibu dan selalu berkongsi kisah suka duka menyebabkan saya bimbang untuk memaklumkan berita sedih ini kepada ibu,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar di sini, semalam.

Lee Kien berkata, abangnya baru bersara beberapa bulan dari bekerja di sebuah kawasan tanah perkuburan di Batu Pahat dan sejak itu dia sering membawa isterinya keluar bersiar-siar pada hujung minggu.

Katanya, beberapa hari lalu, beliau menziarahi ibu dan abangnya yang kelihatan ceria seperti sedia kala menyebabkannya tidak menyangka ia pertemuan terakhir, sekali gus menyebabkan sambutan Tahun Baru Cina pada Februari tahun depan tidak lengkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berita Harian 5 Nov 2013


0 comments:

Post a Comment