May 21, 2016

Profesor rebah berkayuh

Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my

Kampar: “Saya tidak menyangka mendiang yang sangat aktif bersukan dan gemar melakukan berbasikal pada waktu malam, meninggal dunia dalam kejadian itu,” kata seorang teman rapat kepada Naib Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof Dr Teh Chee Keng, 51.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, Teh meninggal dunia selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti berbasikal bersama empat rakannya di Kilometer 4.5, Jalan Kampar-Tronoh Mines, dekat sini, kelmarin.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Unit Forensik, Hospital Kampar mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurut teman rapat yang mahu dikenali sebagai Ayub, mendiang tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang teruk, namun ada mengadu mengalami sakit di bahagian dada seminggu sebelum kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian, mangsa mengadu sakit dada dan dia cuba memujuknya untuk dibawa ke klinik, namun mangsa hanya mengambil ubat di rumahnya.

“Saya tidak menyangka mendiang mempunyai masalah jantung. Saya tahu mendiang tidak mahu menyusahkan rakan-rakan dan membuatkan orang sekeliling risau mengenai kesihatannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Kampar, semalam.

Ayub berkata, mendiang adalah seorang rakan yang baik dan sering mengambil berat kebajikan orang lain sepanjang hayatnya.

Katanya, semua warga UTAR yang mengenalinya menganggap dia sebagai ahli keluarga mereka dan kehilangannya cukup dirasai semua.

Sementara itu, seorang teman rapat mendiang dalam aktiviti berbasikal, R Ganesan berkata, dia masih terkejut dengan pemergian rakan karibnya itu.

Katanya, mendiang adalah seorang ahli Kampar Cycling Club (KCC) dan Kampar Golden Rider (KGR) yang aktif berbasikal bersama.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah ketika perayaan Deepavali lalu. Dia sempat melawat saya dan keluarga selepas pulang dari kayuhan dari Kampar ke Teluk Intan.

“Rakan saya ada mengajak untuk menyertai kayuhan mereka kelmarin namun, saya tidak dapat menyertainya kerana sudah membeli tiket wayang pada hari berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh dari basikalnya akibat hilang kawalan.

myMetro 20 Mei 2016


Naib Presiden Universiti TAR maut terjatuh basikal

IPOH - Naib Presiden (Pembangunan Pelajar dan Hubungan Alumni) Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Dr Teh Chee Seng @ Elvis Teh Chee Seng maut selepas terjatuh ketika menunggang basikal di Kilometer 4.5 Jalan Kampar-Tronoh Mines, di Kampar, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon dalam kejadian pada kira-kira 9.50 malam itu, Chee Seng,  51, sedang menunggang basikal secara berkumpulan bersama empat lagi rakan dari arah Tronoh Mines menghala ke Kampar.

"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh ke tengah jalan. Bagaimanapun basikal mangsa tidak mengalami sebarang kerosakan," katanya dalam kenyataan.‎

Beliau berkata, Chee Seng yang beralamat dari Ampang, Selangor itu menunggang basikal jenis Exitway meninggal dunia di tempat kejadian.

Kong Soon berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus dan mempunyai dua lorong serta cuaca baik kecuali persekitaran gelap kerana tiada lampu jalan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya. - Bernama

19 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment