May 6, 2016

Pemandu lori pasir maut elak kemalangan

CYBERJAYA - Seorang pemandu lori treler pasir maut selepas kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam parit di kawasan Km 29.3 Lebuhraya Elite di sini hari ini setelah hilang kawalan untuk mengelak kemalangan melibatkan dua buah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Polis (ACP) Abdul Aziz Yusof berkata Dzulkapli Kasim, 61, yang beralamat di Batu Pahat, Johor meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden kira-kira 7 pagi itu.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori pasir dipandu Dzulkapli terbabas ketika cuba mengelak daripada berlanggar dengan lori muatan tiga tan dan sebuah kereta yang terlibat dengan kemalangan di lebuh raya itu sebelum itu.

"Lori pasir itu terbabas masuk ke bahu jalan dan merempuh besi penghadang jalan sebelum menjunam ke dalam parit dalam keadaan terbalik," katanya, sambil menambah keadaan itu menyebabkan pemandu itu tersepit dan maut di tempat kejadian.

Abdul Aziz ketika dihubungi hari ini berkata pemandu lori muatan tiga tan berumur 41 tahun dan pemandu kereta berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

6 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment