April 19, 2016

‘Tolong jagakan kucing saya’

Li Keng (dua, kanan) memberi penjelasan kepada wakil ISPCA mengenai kucing peliharaannya.

IPOH – Seorang warga emas memohon bantuan orang ramai mengambil 42 kucing peliharaannya untuk dijadikan ‘kucing angkat’ apabila sudah tidak mampu lagi untuk menjaga haiwan itu atas faktor usia.

Helen Lim Li Keng, 73, berkata, dia dan suami mula memelihara kucing tersebut atas dasar belas kasihan kerana sering melihat haiwan comel itu menjadi mangsa dera orang tidak bertanggungjawab serta mati di jalanan akibat dilanggar kenderaan.

Menurutnya, pada mulanya mereka membela kira-kira 50 kucing jalanan sahaja, namun dalam tempoh 20 tahun, jumlahnya mencecah lebih 100 ekor.

“Suami saya sakit hampir dua bulan sebelum meninggal dunia minggu lalu, tapi dia sempat pesan kepada saya supaya semua kucing  ini diberikan makan minum serta tempat tinggal selesa dan jangan sesekali kembalikan kucing itu di jalanan,” katanya.

Bekas kerani pejabat guaman itu berkata, pada masa kini kucing paling tua dalam peliharaannya iaitu kucing betina berusia 18 tahun dan yang paling muda adalah anak kucing.

Tambahnya, kesemua kucing diletakkan di dalam sangkar di ruang tamu rumah, bilik serta dapur dan dia akan melepaskan haiwan itu bebas untuk bermain di sekitar rumah dalam keadaan pintu berkunci.

“Dulu dari segi makan, minum dan sangkar kucing, semua perbelanjaan menggunakan duit sendiri. Tetapi, sekarang ada pihak yang sudi memberikan makanan melalui ‘Animal Food Bank’.

“Sangkar kucing-kucing itu juga saya bersihkan setiap pagi bagi memastikan haiwan tersebut hidup dalam keadaan selesa. Namun, ketika suami sakit, saya tidak mampu untuk membersihkan tempat tinggal mereka dengan baik,” katanya.

Justeru, Li Keng berharap, orang ramai dapat membantunya bagi memastikan kucing peliharaannya mendapat ‘tuan baru’ dan tidak hidup di jalanan seperti dulu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Ipoh (ISPCA), Ricky Soong Wai Chiew berkata, pihaknya akan membantu wanita berkenaan dengan membawa haiwan tersebut ke klinik veterinar secara berperingkat bagi tujuan pemandulan.

Katanya, mereka juga akan membawa kucing berkenaan ke Pet Fiesta di Menglembu pada 13 dan 14 Ogos depan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil haiwan itu sebagai ‘kucing angkat’ jika berminat.

“Orang ramai yang berminat untuk memelihara kucing tersebut boleh melayari laman sosial Facebook https://www.facebook.com/ISPCA atau menghubungi talian 019-5532655 (Cheah) untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sinar Harian 4 Apr 2016


Warga emas pernah bela lebih 100 ekor kucing

Keadaan kucing peliharaan Li Keng di rumahnya.

IPOH - Seorang wanita warga emas memohon bantuan orang ramai supaya mengambil 42 ekor kucing peliharaannya untuk dijadikan ‘kucing angkat’ kerana dia tidak mampu lagi untuk menjaga haiwan itu atas faktor usia.

Helen Lim Li Keng, 73, berkata, dia dan suami mula memelihara kucing tersebut atas dasar belas kasihan kerana mereka sering melihat haiwan itu menjadi mangsa dera kepada mereka yang tidak bertanggungjawab serta mati akibat dilanggar kenderaan.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya membela kira-kira 50 ekor kucing jalanan sahaja dan jumlahnya mencecah lebih 100 ekor selepas tempoh 20 tahun.

“Bagaimanapun, kira-kira dua bulan lalu, suami jatuh sakit dan saya perlu menjaganya di hospital, pada masa sama saya juga perlu menjaga kucing peliharaan kami.

“Namun, pada minggu lalu, suami telah meninggal dunia dan sebelum itu dia berpesan kepada saya supaya kucing peliharaan kami diberikan makan minum serta tempat tinggal selesa dan jangan sesekali kembalikan kucing itu di jalanan,” katanya.

Bekas kerani pejabat guaman itu berkata, pada masa kini kucing paling tua dalam peliharaannya iaitu kucing betina berusia 18 tahun.

Tambahnya, kesemua kucing diletakkan di dalam sangkar di ruang tamu rumah, bilik serta dapur dan dia akan melepaskan haiwan itu bebas untuk bermain di sekitar rumah dalam keadaan pintu berkunci.

“Dulu dari segi makan, minum dan sangkar kucing, kesemua perbelanjaan tersebut menggunakan duit sendiri. Tetapi, sekarang ada pihak yang sudi memberikan makanan melalui ‘Animal Food Bank’.

“Sangkar kucing-kucing itu juga saya bersihkan setiap pagi bagi memastikan haiwan tersebut hidup dalam keadaan selesa. Namun, ketika suami sakit, saya tidak mampu untuk membersihkan tempat tinggal mereka dengan baik,” jelasnya.

Justeru, Li Keng berharap, orang ramai dapat membantunya bagi memastikan kucing peliharaannya mendapat ‘tuan baru’ dan tidak hidup di jalanan seperti dulu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Ipoh (ISPCA), Ricky Soong Wai Chiew berkata, pihaknya akan membantu wanita berkenaan dengan membawa haiwan tersebut ke klinik veterinar secara berperingkat bagi tujuan pemandulan.

Katanya, mereka juga akan membawa kucing berkenaan ke Pet Fiesta di Menglembu pada 13 dan 14 Ogos depan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil haiwan itu sebagai ‘kucing angkat’ jika berminat.

“Orang ramai yang berminat untuk memelihara kucing tersebut boleh melayari laman sosial Facebook https://www.facebook.com/ISPCA atau menghubungi talian 019-553 2655 (Cheah) untuk mendapatkan maklumat lanjut,” ujarnya.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment