April 19, 2016

Suami isteri maut kemalangan

Keadaan kereta yang dirempuh motosikal sehingga mengakibatkan tiga mangsa maut. Gambar kecil: Kharodin.

SERI MANJUNG - Tiga individu termasuk sepasang suami isteri maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 12, Jalan Sitiawan – Teluk Intan berhampiran Batu 10, Lekir di sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Kharodin Mat Sukor, 50, yang memandu Perodua Kancil maut selepas dirempuh penunggang motosikal berkuasa tinggi, Muhammad Kusairi Noor Mazlimi, 18, yang turut maut di tempat kejadian.

Manakala, isterinya, Umi Kelsom Hamidun, 53, yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut parah, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Kharodin yang datang dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan membuat pusingan U ketika tiba di tempat kejadian sebelum dirempuh motosikal ditunggang Muhammad Kusairi dari arah sama.

Rempuhan itu mengakibatkan kereta dinaiki mangsa terbalik dan motosikal melambung sebelum terjatuh berhampiran kereta.

Isteri kedua Kharodin, Fauziah Ahmad, 49, reda dengan pemergian suaminya walaupun masih bersedih dengan kejadian itu.

Menurutnya, suaminya itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Seri Manjung dan tinggal di Kampung Gajah.

"Sebelum ini dia ulang-alik ke tempat kerja tapi sejak seminggu lalu dia tinggal di Manjung sebab nak jaga anak yang tak sihat. Isteri pertama pula tinggal di Changkat Lada," katanya.

Fauziah berkata, kebiasaannya setiap pagi suaminya akan menghantar nasi lemak kepadanya tetapi sejak malam sebelum kejadian, dia tidak pulang ke rumah.

"Saya cuba hubunginya tapi tak dapat. Pagi kejadian saya masak sarapan untuk arwah sementara tunggu dia balik.

"Tapi saya terima panggilan daripada adik ipar beritahu suami kemalangan," katanya.

Ibu saudara Muhammad Kusairi, Suliati, 30, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak saudaranya itu pada Khamis lalu.

Menurutnya, anak saudaranya itu nampak berbeza kerana tidak banyak bercakap dan hanya tersenyum sahaja.

"Dia juga sempat berikan RM1 kepada anak saya kerana dia memang suka budak-budak," katanya.

Suliati berkata, anak saudaranya itu tinggal tinggal bersama bapa saudaranya selepas bapanya meninggal dunia tiga tahun lalu.

"Tapi bapa saudaranya juga dah meninggal dunia dua tahun lalu.

"Arwah juga ada hubungi ibu saudaranya di Ayer Tawar nak minta izin guna kereta arwah bapa saudaranya kerana terlalu rindui arwah tapi ibunya tak benarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Teluk Intan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Kawasaki Ninja yang ditunggang remaja berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak.

“Kereta dinaiki pasangan suami isteri dipercayai telah membuat pusingan U menyebabkan motosikal dinaiki Muhammad Kusairi tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu hadapan sebelah pemandu," katanya.

Wan Jamil berkata, semua jenazah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah polytrauma secondary iaitu kecederaan serius di kepala akibat kemalangan itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 11 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment