April 19, 2016

Sedang siasat kes komando hampir lemas

Melaka: Polis masih menyiasat kejadian seorang anggota komando ditemui dengan tangan kanan bergari pada kaki kiri dan hampir lemas dalam Sungai Timun, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis sudah menerima laporan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Beliau meminta kerjasama pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu polis.

Semalam, seorang anggota komando berpangkat koperal dari Rejimen 11 Gerak Khas Kem Sungai Udang di sini, ditemui dalam sungai itu oleh penduduk dalam keadaan tangan kanan bergari pada kaki kiri serta mukanya cedera teruk.

Mangsa dilaporkan ditemui penduduk kampung dalam sungai itu dan berjaya diselamatkan daripada mati lemas dan kemudian menghubungi polis.

myMetro  18 April 2016


Cubaan bunuh anggota komando?

Lelaki dipercayai anggota komando yang ditemui hampir lemas dalam Sungai Timun, Negeri Sembilan

Melaka: Seorang lelaki dipercayai anggota komando berpangkat koperal dari Rejimen 11 Gerak Khas Kem Sungai Udang, di sini, ditemui dengan tangan kanan bergari pada kaki kiri dan hampir lemas dalam Sungai Timun, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Lelaki itu ditemui dalam sungai terbabit dalam keadaan tangan kanan bergari pada kaki kiri serta mukanya mengalami kecederaan teruk.

Difahamkan mangsa bernasib baik kerana ditemui penduduk kampung sebelum lemas dalam sungai dan berjaya diselamatkan sebelum menghubungi polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai kejadian itu.

"Bagaimanapun sehingga jam 6 petang ini, belum ada sesiapa membuat laporan dan jika ada laporan dibuat, polis akan membuka kertas siasatan," katanya yang menasihatkan pihak yang terbabit supaya membuat laporan segera.

myMetro 17 April 2016


Mangsa kenal penyerang

Melaka: Anggota tentera mungkin terbabit dalam kes cubaan bunuh komando Rejimen 11 Gerak Khas Kem Sungai Udang, di sini, Koperal Mohd Daud Karim, 26, selepas siasatan awal mendapati mangsa mengenali empat lelaki yang memukulnya.

Difahamkan, hasil siasatan awal tentera mendapati, mangsa mengenali suspek bukan seperti laporan awal yang menyatakan mangsa tidak mengenali penyerangnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pihak tentera.

“Sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian itu semalam (kelmarin) kami terus menggerakkan siasatan awal sehinggalah satu laporan diterima. Polis kemudian membuka kertas siasatan membabitkan kejadian ini.

“Siasatan awal tentera mendapati mangsa mengenali suspek dan siasatan lanjut dijalankan,” kata ketika dihubungi.

Difahamkan suspek kini menghilangkan diri sebaik mengetahui Mohd Daud ditemui penduduk kampung dalam keadaan selamat.

Kamaluddin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan kerana suspek dipercayai berkerja di tempat yang sama dengan mangsa.

“Mangsa digari menggunakan gari buatan Thailand,” katanya.

Kamaluddin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dari semua sudut termasuk daripada media sosial.

Dalam pada itu, Kamaluddin berkata, mangsa yang mempunyai dua anak dan dirawat di Hospital Melaka berada keadaan stabil selepas menerima 81 jahitan di kepala.

“Buat masa ini, kami belum menahan mana-mana suspek dan mendapat kerjasama penuh daripada pihak tentera.

“Begitupun, kami tetap menyiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Harian Metro di Hospital Melaka untuk melihat keadaan Mohd Daud gagal kerana tidak dibenarkan pihak tentera yang mengawal wad terbabit.

Harian Metro semalam melaporkan seorang komando dari Rejimen 11 Gerak Khas Kem Sungai Udang, di sini, ditemui penduduk di Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan dalam keadaan muka bengkak dan lebam dengan tangan kanannya digari pada kaki kiri.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

myMetro 19 April 2016


Sarjan didakwa cuba bunuh komando

Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Anggota tentera berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini, hari ini, atas tuduhan cubaan bunuh seorang komando, bulan lalu.

Tertuduh Sapudin Bolek, 42, berasal dari Sarawak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama tujuh yang masih bebas memukul Mohd Daud Karim, 26, dan cuba membunuh mangsa di Kampung Sungai Timun, Negeri Sembilan, 12.50 tengah malam pada 17 April lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dan menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.

myMetro 6 Mei 2016


Dua beradik, wanita nafi cuba bunuh komando 

Melaka: Dua beradik dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer keroh, di sini, semalam, atas tuduhan bersubahat dan melakukan cubaan membunuh seorang anggota komando, April lalu.

Bagaimanapun, Mohd Sazali Abdul Razak, 33, dan adiknya, Mohd Shahabudin Abdul Razak, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, dua beradik itu didakwa memukul Mohd Daud Karim, 26, dengan niat menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Wira Utama, Taman Peruna, Sungai Udang, jam 12.50 tengah malam, 17 April lalu.

Dalam pertuduhan berasingan, isteri kepada Sazali iaitu Nuraini Abd Wazir, 28, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirrhu Samsudin mencadangkan mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh atas faktor kesukaran polis melakukan siasatan pada peringkat awal.

“Tertuduh tidak memberi kerjasama dan bersembunyi ketika siasatan dijalankan. Kes ini juga menjadi tumpuan umum dan mangsa seorang komando, jadi tiada jaminan dibenarkan kerana ada kemungkinan besar tertuduh tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman merayu dibenarkan ikat jamin atas alasan mereka bukan melarikan diri sebaliknya tidak sedar sedang diburu polis.

Norma kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin kepada Nuraini dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

myMetro 24 Mei 2016






0 comments:

Post a Comment